Protes pekerja tekstil lumpuhkan kilang, Bangladesh tubuh lembaga gaji

Protes pekerja tekstil lumpuhkan kilang, Bangladesh tubuh lembaga gaji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DHAKA: Bangladesh akan menubuhkan lembaga gaji bagi mengkaji semula kadar upah pekerja industri tekstil susulan protes yang menyebabkan puluhan kilang ditutup, mencetuskan pertempuran dengan polis dan turut memberi tekanan baharu kepada sektor eksport utama negara itu.

Lapor Reuters, pekerja di negara Asia Selatan itu menuntut gaji minimum bulanan sebanyak 30,000 taka (RM980), lebih dua kali ganda berbanding kadar semasa 12,500 taka (RM408) berikutan peningkatan kos makanan, perumahan, pengangkutan dan penjagaan kesihatan telah menjejaskan kuasa beli mereka dengan ketara.

Pertikaian itu mencetuskan kebimbangan terhadap gangguan kepada industri yang menggaji kira-kira empat juta pekerja, menjana lebih 80 peratus pendapatan eksport Bangladesh serta membekalkan pakaian kepada banyak jenama terkemuka Barat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri Buruh dan Pekerjaan, Ariful Haque Chowdhury, kerajaan akan secara rasmi menubuhkan lembaga gaji itu selepas mengadakan perbincangan dengan pemimpin kesatuan pekerja dan wakil industri bagi meredakan ketegangan.

Ariful menggesa pekerja kembali bertugas sambil menegaskan keputusan kerajaan untuk mengkaji semula struktur gaji telah memenuhi tuntutan utama mereka.

Beliau memberi amaran penutupan kilang berpanjangan dan gangguan pengeluaran boleh menyebabkan kelewatan penghantaran eksport serta pembayaran daripada pembeli antarabangsa, sekali gus menambah kesukaran kepada pengilang dan pekerja.

Superintenden Polis di kawasan perindustrian Ashulia, Mohammad Mominul Islam Bhuiyan berkata, protes pada Sabtu menyebabkan kira-kira 30 kilang tekstil di Ashulia, sebuah hab pembuatan utama di pinggir Dhaka mengisytiharkan cuti.

Ratusan pekerja menyekat sebuah persimpangan utama di ibu negara itu, manakala demonstrasi di zon perindustrian lain turut mengganggu lalu lintas dan operasi kilang.

Polis berkata, pertempuran antara pekerja dan anggota keselamatan di Ashulia menyebabkan beberapa individu cedera, termasuk anggota polis. Anggota polis menggunakan gas pemedih mata dan bom bunyi bagi menyuraikan penunjuk perasaan.

Industri pakaian siap Bangladesh yang merupakan kedua terbesar di dunia selepas China, menyumbang kira-kira 10 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan menjadi tulang belakang ekonomi negara itu.

Bagaimanapun, pengilang berkata, sektor berkenaan berdepan cabaran yang semakin meningkat, termasuk kenaikan kos pengeluaran, kekurangan bekalan gas dan elektrik secara berkala serta ketidaktentuan pasaran tenaga susulan ketegangan di Asia Barat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini