KOTA BHARU: Pasangan rakyat Malaysia yang berhasrat bernikah di luar negara, khususnya di Selatan Thailand, perlu menyemak terlebih dahulu senarai kadi bertauliah bagi memastikan perkahwinan mereka sah di sisi hukum syarak dan tidak berdepan implikasi undang-undang.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, Malaysia sebenarnya mempunyai senarai qadi bertauliah, termasuk yang berkhidmat di luar negara, untuk dijadikan rujukan pasangan sebelum melangsungkan perkahwinan.
Menurutnya, senarai berkenaan turut menjadi rujukan mahkamah apabila pasangan terbabit mahu mendaftarkan perkahwinan mereka di Malaysia.
Katanya, perkahwinan yang dilaksanakan tanpa mengikut ketetapan undang-undang boleh mengundang pelbagai implikasi, termasuk membabitkan status nasab anak yang bakal dilahirkan.
“Pesanan saya, semua pasangan perlu jujur dan sentiasa mengikut lunas undang-undang dalam menguruskan perkahwinan. Lebih-lebih lagi ia boleh membawa kesan terhadap zuriat yang bakal dilahirkan.
“Kita jangan sekadar fikir perkahwinan sekarang ini tetapi mesti fikir nasab anak yang bakal lahir daripada perkahwinan itu kerana kesannya sangat besar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Kembara Mahabbah Madani di Kedai Buloh, di sini hari ini.
Marhamah memberitahu, rakyat Malaysia sebaik-baiknya memilih untuk bernikah dalam negara bagi mengelakkan masalah dokumentasi dan pengesahan perkahwinan yang boleh timbul apabila mahu mendaftarkan pernikahan di kemudian hari.
Katanya, pihaknya sudah menemui banyak kes membabitkan dokumen perkahwinan tidak lengkap selain penggunaan khidmat qadi tidak bertauliah sehingga menyukarkan pasangan terbabit.
“Kita sudah jumpa banyak kes di Malaysia. Dokumen tidak lengkap ditambah pula qadi tidak bertauliah yang pastinya akan membawa kepada implikasi undang-undang dan akhirnya akan menyusahkan pasangan itu sendiri.
“Komunikasi dalam keluarga juga penting dalam hal ini. Perlu ada perbincangan dan hikmah. Jangan hanya sebab mahu senang sekarang, akhirnya kita menyusahkan diri di kemudian hari. Fikir panjang dan ingat hukum,” ujarnya.
Pada 30 Oktober lalu, Utusan Malaysia melaporkan pasangan rakyat Malaysia yang bernikah di Selatan Thailand menggunakan khidmat sindiket haram berisiko terjerumus melakukan zina sekiranya pernikahan mereka dikendalikan qadi atau jurunikah tidak bertauliah.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam Wilayah Yala, Thailand, Abdul Basid Che Mat berkata, pasangan yang menggunakan khidmat sindiket berisiko diperdaya menerusi sijil nikah palsu sehingga menyangka perkahwinan mereka sah, sedangkan akad nikah berkenaan tidak memenuhi ketetapan hukum Islam.
“Menurut peraturan dan hukum, jika pernikahan tidak dilakukan oleh jurunikah bertauliah, pernikahan itu tidak sah. Sindiket itu juga mungkin mengeluarkan sijil nikah tetapi ia adalah palsu,” katanya. – UTUSAN








