PUTRAJAYA: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam perlu memperkukuh keupayaan menjana dana secara profesional dengan tidak hanya bergantung kepada peruntukan kerajaan, sebaliknya meneroka sumber pembiayaan daripada sektor swasta dan antarabangsa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, ketika ini, sumber pendanaan NGO Islam merangkumi pelbagai saluran termasuk dana kerajaan, majlis agama Islam negeri, zakat, wakaf dan sektor korporat.
Beliau berkata, menerusi pengenalan Sijil Profesional Tadbir Urus Kewangan NGO Islam, pertubuhan berkenaan akan dilatih mengenai kaedah mendapatkan dana secara profesional daripada pelbagai sumber.
“Jadi apa yang kita inginkan menerusi sijil profesional ini, NGO-NGO kita dilatih bagaimana untuk mereka menjana dana ataupun mendapatkan dana secara profesional, sama ada dari sektor kerajaan, awam ataupun sektor swasta atau di peringkat antarabangsa,” katanya ketika ditemui pada majlis penutup Kursus Profesional Tadbir Urus Kewangan NGO Islam di sini hari ini.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata,Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) turut meneroka beberapa peluang bagi membolehkan NGO Islam mendapatkan sumber pendanaan antarabangsa.
Bagaimanapun, katanya, usaha itu perlu tertakluk kepada peraturan dan undang-undang negara.
Terdahulu, seramai 150 peserta daripada pelbagai NGO Islam menyertai Kursus Profesional Tadbir Urus Kewangan NGO Islam bermula 31 Oktober lalu.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, pihaknya akan terus mendekati dan menyantuni rakan NGO Islam melalui pelbagai inisiatif, termasuk usaha meningkatkan keupayaan pengurusan organisasi, tadbir urus dan akauntabiliti demi manfaat ummah. – UTUSAN











