Di sebalik perjalanan seninya sebagai pelakon, tidak ramai mengetahui Wan Raja memiliki bakat besar dalam bidang seni lukis yang sudah dipupuk sejak kecil.
Kerap berkongsi Siri Contiang (Conteng) yang memaparkan dirinya menghasilkan potret beberapa barisan pelakon terkenal, ada yang berpendapat dia mula pandai melukis kerana isterinya, Yaya Maembong yang sememangnya hadir daripada keluarga berseni.
Namun, Wan Raja berkata, minatnya terhadap seni lukis bermula sejak berusia empat tahun.
“Ramai sangka saya belajar melukis dengan bapa mertua, tidak. Saya mula melukis sejak berusia empat tahun. Ketika sekolah rendah, saya mengikuti kelas seni bersama guru lukisan yang juga merupakan rakan ibu saya.
“Apabila masuk Tingkatan Satu, saya belajar di sekolah agama tetapi sekolah itu tidak menawarkan Pendidikan Seni, sebaliknya digantikan Bahasa Arab. Bukan bermakna saya tidak suka Bahasa Arab atau agama, tetapi saya memang terlalu meminati seni.
“Jadi, saya sengaja menggagalkan mata pelajaran Bahasa Arab supaya dapat berpindah sekolah. Saya tidak kisah hendak bersekolah di mana-mana, asalkan sekolah itu menawarkan Pendidikan Seni,” katanya kepada Pancaindera.

Keputusan itu, membawa Wan Raja melanjutkan persekolahan di Methodist Boys’ School, sekali gus membuka ruang untuk kembali mendalami bidang seni lukis.
“Ketika mula masuk sekolah itu, saya sebenarnya tidak begitu tahu mengenai Pendidikan Seni di peringkat menengah. Ada seorang pelajar yang memang sangat hebat dalam subjek tersebut.
“Jadi, saya belajar bersungguh-sungguh sehingga akhirnya mendapat A1 dan menjadi pelajar terbaik dalam Pendidikan Seni di sekolah itu. Dari situlah ibu semakin memahami saya memang terlalu meminati seni dan tidak boleh dipisahkan daripada bidang tersebut.

“Selepas tamat sekolah, saya memohon untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Seni dan Reka Bentuk di Universiti Teknologi MARA. Selepas menamatkan pengajian ijazah, saya menyambung pelajaran pada peringkat sarjana dalam bidang Pendidikan Seni.
“Bagaimanapun, saya tidak sempat menamatkan pengajian kerana menerima tawaran menjadi pensyarah seni di kolej swasta di Pulau Pinang selama lima tahun sebelum ceburi dunia lakonan,” jelasnya.

Mengenai Siri Contiang, Wan Raja berkata, idea tersebut bermula selepas seorang pembantu peribadi daripada generasi Z menggalakkannya menggunakan TikTok sebagai platform mengetengahkan bakat terpendamnya.
“Sebenarnya, saya antara orang yang dahulu tidak suka TikTok. Ketika itu, saya tengok ramai orang hanya menari. Tetapi pembantu peribadi saya beritahu, TikTok bukan semestinya untuk menari.
Dia cadangkan saya menghasilkan kandungan berdasarkan kemahiran sendiri seperti berlakon atau melukis.
“Saya fikir, memandangkan saya mempunyai ijazah dalam Seni dan Reka Bentuk, apa salahnya mengasah semula kemahiran melukis melalui kandungan media sosial,” kongsinya.
Sehingga kini, pelakon drama Mencari Isteri Sempurna itu sudah berjaya menghasilkan 33 potret wajah selebriti tanah air seperti Nasir Bilal Khan, Sharnaaz Ahmad, Zul Ariffin dan Che Puan Sarimah Ibrahim.











