KESAN-kesan bahang Kudrat: 1868 (Kudrat) dari semesta ‘High Council’ sudah boleh dirasa dengan melihat prestasi empat episod naskhah awal yang menduduki tangga pertama sepanjang ditayangkan menerusi platform penstriman. Impaknya boleh dibaca dengan tiket jualan awal mencecah RM2 juta serta teori tentang siapa pembunuh, siapa hero berlegar di laman sosial.
Zulaikha Zakaria sebagai sutradara menjadi individu bertanggungjawab membawa Kudrat sebagai sebuah naskhah yang mengkritik, tetapi juga orang pertama yang perlu menjawab segala dakwaan terkait naskhah ini. Jawablah! Zulaikha.
Sejak Projek: High Council lagi, karya selalu dianggap penyebab gejala buli di sekolah sehingga ada yang meninggal dunia. Kudrat:1868 juga terima kritikan yang sama apabila karakter dan aksi ganas dianggap ‘cool’ oleh anak muda, apa komen anda?
Mungkin hanya visualnya sahaja ganas. Walaupun begitu, saya dan pasukan pastikan watak-watak yang berbuat jahat mendapat balasan. Balasannya pula kita dapat lihat dengan jelas, terutama apabila siri ini membawa ke layar perak (filem).
Setiap watak yang melakukan kejahatan, kesannya akan sangat besar. Sebelum ini mungkin Kahar di projek High Council dia jadi ‘baik’ di pengakhiran, tapi dalam Kudrat, kita tengok apa jadi dekat watak seperti Abbas dan Rafizi.
Jadi hendak dirangkumkan mesej utama Kudrat ini lebih kepada kesan lebih ganas terhadap tindakan agresif?
Betul. Kita bukan bercakap pasal buli fizikal semata-mata, tapi kita bercakap pasal hierarki. Bagaimana orang yang berada di atas atau orang yang berkuasa menggunakan kuasa mereka untuk menindas orang di bawah. Itulah satu bentuk buli yang kami mahu ketengahkan.
Persekitaran yang toksik boleh mengubah orang yang asalnya baik menjadi kasar. Jika perasan dalam episod 4 kita ceritakan kembali latar belakang keluarga dan rumah untuk tunjuk kenapa watak itu jadi begitu.
Tidak hanya isu buli, Kudrat terkait isu penggunaan AI dan saya fikir Zulaikha sendiri tahu mengenai ini. Boleh jelaskan mengenai dakwaan itu?
Saya kena jelaskan, untuk filem memang tiada penggunaan AI langsung. Namun, untuk siri televisyen, ada satu lagu di penghujung episod 4 yang memang menggunakan AI tapi hanya bahagian vokalnya sahaja. Lirik dibuat sendiri juga muziknya kita beli dari ‘library’.
Kenapa?
Ada dua sebab. Pertama, faktor masa. Kami bekerja dalam tempoh sangat padat dan tidak sempat untuk merakam suara penyanyi asal untuk babak itu.
Kedua, ia adalah keputusan kreatif. Lagu itu adalah pembayang kepada apa yang bakal berlaku dalam filem nanti. Liriknya menyebut ‘I was hiding from the truth’ dan syot kamera sengaja difokuskan dari muka Abbas dan Rafizi. Ia satu metafora untuk menunjukkan siapa sebenarnya yang memegang rahsia atau kebenaran dalam cerita ini.
Untuk filem yang berbahas tentang hierarki dan politik, agak berat untuk penonton bawah 16 tahun.
Saya lihat ramai peminat bawah umur mahu tonton di panggung. Bagaimana menurut anda?
Saya sangat hargai sokongan peminat muda, tetapi saya menyeru agar remaja menonton naskhah ini bersama penjaga atau ibu bapa.
Ada perkara yang mungkin nampak ‘gah’ atau ‘cool’ pada mata kasar, tetapi mesej di sebaliknya perlu dijelaskan oleh orang dewasa. Jangan sampai mereka salah faham dan fikir perlakuan agresif itu dibenarkan. Ibu bapa perlu fahamkan mereka tentang kesan buruk daripada sistem hierarki yang salah.
Bagaimana pula dengan tapisan daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF)? Adakah banyak babak keganasan yang dipotong?
Sebenarnya tidak banyak. Saya rasa dalam dua babak sahaja yang terpaksa dipotong. Itupun bukan semata-mata kerana babak itu terlalu ganas, tetapi lebih kepada tujuan untuk merapatkan lagi penceritaan supaya plot nampak lebih padat dan kemas. Kami sentiasa menghormati garis panduan yang ditetapkan oleh LPF.
Harapan anda untuk Kudrat secara keseluruhan?
Saya berharap penonton tidak hanya melihat keganasan di skrin, tetapi melihat ‘jiwa’ dan pengajaran di sebaliknya.
Kami belajar banyak daripada maklum balas penonton sejak High Council lagi, dan Kudrat adalah hasil daripada evolusi penceritaan yang kami cuba bawa untuk industri filem dan drama tempatan. Terima kasih atas sokongan semua.










