WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terpaksa menghentikan seketika perhimpunan kempen pilihan raya pertengahan penggal di Daytona Beach, Florida, selepas mengalami kesukaran untuk membuka matanya di hadapan ribuan penyokong.
Kejadian itu berlaku kira-kira sejam selepas majlis bermula apabila Trump bertindak menyapu matanya menggunakan sapu tangan yang dibasahkan dengan air daripada gelas.
“Anda tidak kisah? Mata saya termasuk sesuatu, lihat ini,” kata Trump kepada para hadirin sebelum menyapu matanya.
Beliau kemudian berseloroh dengan menyatakan alangkah baiknya jika beliau mempunyai ubat titik mata pada waktu itu bagi melegakan ketidakselesaan yang dialaminya.
Presiden berusia 80 tahun itu turut mengambil kesempatan mendepani kritikan dan spekulasi pihak luar yang mendakwa kesihatannya semakin merosot berikutan pembatalan beberapa siri ceramah sebelum ini.
“Jika saya guna ubat titik mata, mereka akan kata saya sakit parah dan wujud masalah kesihatan yang serius,” katanya bagi menepis sebarang andaian negatif.
Sebelum ini, kepimpinan beliau mencetuskan tanda tanya selepas membatalkan dua perhimpunan kempen di Kansas dan Iowa secara tiba-tiba sebelum kedua-dua acara berkenaan dijadualkan semula pada Jumaat.
Acara kempen di Daytona Beach itu bermula hampir sejam lewat daripada jadual asal, satu situasi yang sering berlaku sepanjang siri jelajah kempen beliau sejak Pilihan Raya Umum 2024.
Sebelum insiden berkenaan, Trump turut dilanda kontroversi apabila mengeluarkan kenyataan keras terhadap seorang wartawan yang bertanyakan punca pembatalan kempennya di Kansas. – AGENSI











