KUALA LUMPUR: Sebanyak 60,632 kandungan buli diturunkan oleh pemberi perkhidmatan berdasarkan permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi tempoh 1 Januari 2022 hingga 15 September 2026.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, sebanyak 1,277 kandungan berunsur fitnah dan 55,895 kandungan palsu turut diturunkan oleh pemberi perkhidmatan dalam tempoh sama.
Katanya, kerjasama MCMC dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) merangkumi penyelarasan penurunan kandungan dan sekatan laman sesawang, selain bantuan teknikal, perkongsian maklumat serta analisis forensik digital.
“Dari aspek perundangan, kerajaan telah memperkukuh kerangka kawal selia melalui pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] serta penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 [Akta 866] mulai 1 Januari 2026.
“Penguatkuasaan terhadap kesalahan fitnah dan buli siber turut melibatkan PDRM di bawah Kanun Keseksaan [Akta 574].
“MCMC melaksanakan tindakan kawal selia terhadap penyebaran kandungan memudaratkan dalam talian mengikut bidang kuasanya,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) berhubung langkah pencegahan kementerian bagi menangani unsur negatif dalam media sosial seperti fitnah, buli dan penyebaran berita tidak benar.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kerajaan turut memperkukuh tanggungjawab penyedia perkhidmatan melalui pelaksanaan Akta 866 bagi menangani kandungan memudaratkan dalam talian, termasuk kandungan berkaitan buli siber yang tertakluk kepada peruntukan akta itu.
Katanya, usaha tersebut turut diperkukuh melalui penubuhan jawatankuasa khas menangani buli siber yang melibatkan kementerian dan agensi berkaitan bagi menyelaraskan langkah pencegahan serta penguatkuasaan secara bersepadu.
“Bagi membendung penyebaran berita tidak benar, MCMC menyediakan Portal Sebenarnya.my sebagai platform semakan fakta nasional yang telah menerbitkan sebanyak 1,211 artikel bagi tempoh 1 Januari 2022 hingga 15 September 2026.
“Usaha ini diperkukuh melalui pengenalan Artificial Intelligence Fact-check Assistant (AIFA) pada 28 Januari 2025 yang telah memproses sebanyak 242,706 mesej sehingga 15 September 2026, bagi memudahkan masyarakat menyemak kesahihan maklumat sebelum menyebarkannya,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, MCMC melaksanakan Kempen Internet Selamat sejak Januari 2025 bagi meningkatkan kesedaran dan literasi digital masyarakat khususnya mengenai risiko buli siber, penyebaran maklumat palsu serta penggunaan media sosial secara beretika dan bertanggungjawab.
Menurutnya, kempen itu melibatkan lebih 2.8 juta peserta setakat 30 September 2026 melalui program di sekolah, institusi pengajian tinggi dan komuniti di seluruh negara.
Katanya, pendekatan kerajaan dalam menangani penyalahgunaan media sosial mengambil kira keperluan melindungi keselamatan pengguna serta menghormati kebebasan bersuara selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa. – UTUSAN











