SUNGAI PETANI: Empat orang lelaki warganegara Bangladesh didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan berpakat menjalankan aktiviti penipuan dalam talian, bulan lalu.
Tiada pengakuan direkodkan selepas tertuduh, Rajibul Islam, 32; Muhammad Tawheed, 26; Forkan Ali, 23, dan Mohamad Jahir Uddin, 20, memaklumkan tidak memahami bahasa Melayu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama melakukan pakat jahat dengan bersetuju menjalankan aktiviti penipuan dalam talian di sebuah premis di Jalan Pahlawan, Taman Lagenda Indah, pada 9.30 malam, 21 Oktober lalu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hazwani Mohd Noor manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Majistret menetapkan jaminan RM8,000 bagi setiap tertuduh dengan dua penjamin warga tempatan, selain mengarahkan pasport diserah kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 10 Januari 2027 untuk sebutan semula kes bagi membolehkan pelantikan jurubahasa dibuat dan kesemua tertuduh ditahan di penjara Sungai Petani kerana tidak menjelaskan wang jaminan yang dikenakan terhadap mereka. – UTUSAN











