Kempen #SinarUntukGaza kumpul RM695,282.50

Kempen #SinarUntukGaza kumpul RM695,282.50

Kempen #SinarUntukGaza mengumpul RM695,282.50 menerusi dua fasa kutipan tahun ini bagi membiayai bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kempen #SinarUntukGaza mengumpul RM695,282.50 menerusi dua fasa kutipan tahun ini bagi membiayai bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.

Daripada jumlah itu, RM423,651 dikumpul pada fasa kedua dan diserahkan oleh Jasmine Food Corporation Sdn. Bhd. (Jasmine) kepada Cinta Gaza Malaysia (CGM).

Jasmine dan CGM dalam kenyataan bersama berkata, dana fasa kedua yang dikumpul dari April hingga September lalu akan digunakan untuk mengagihkan pek makanan dan menyediakan bekalan air bersih kepada penduduk Gaza.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada fasa pertama yang berlangsung dari Januari hingga Mac lalu, kempen itu mengumpul RM271,631.50. Dana berkenaan digunakan untuk mengagihkan pek makanan dan makanan panas kepada 10,373 penerima di Gaza.

“Sepanjang kempen itu, sebahagian daripada hasil setiap pembelian Beras Era Cap Sinar Timur disalurkan menerusi CGM bagi membiayai bantuan kemanusiaan di Gaza,” katanya dalam kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif Jasmine, Alan Kwong berkata, kempen itu memberi peluang kepada pelanggan untuk menyumbang kepada usaha kemanusiaan menerusi pembelian harian.

“Walaupun kempen ini telah sampai ke penghujung bagi tahun ini, semangat keprihatinan dan kebaikan yang dibawanya tidak seharusnya berakhir di sini.

“Kita mungkin tidak mampu menyelesaikan setiap cabaran yang dihadapi rakyat Gaza, tetapi apabila kita bergerak bersama, kita mampu menghasilkan perubahan yang bermakna,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CGM, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, kerjasama dengan sektor korporat penting bagi memastikan bantuan kepada rakyat Palestin dapat disalurkan secara berterusan.

“Sumbangan RM695,282.50 ini bukan sekadar angka. Di sebalik setiap ringgit terdapat makanan yang sampai kepada keluarga, air bersih yang dapat digunakan dan sedikit ruang untuk rakyat Gaza meneruskan kehidupan dalam keadaan yang amat mencabar,” katanya.

Menurut beliau, agihan makanan kepada 10,373 penerima pada fasa pertama menunjukkan hasil kerjasama antara syarikat, pelanggan dan pertubuhan kemanusiaan.

CGM turut mengalu-alukan penyertaan lebih banyak syarikat dalam usaha membantu rakyat Palestin menerusi program tanggungjawab sosial korporat masing-masing. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini