Melaka perkukuh kesiapsiagaan banjir menjelang hari mengundi - Utusan Malaysia

Melaka perkukuh kesiapsiagaan banjir menjelang hari mengundi

AB. Rauf Yusoh ketika sidang akhbar selepas Lawatan Ketua Menteri ke Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Kota Laksamana di Jalan Hang Tuah di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri mempertingkat kesiapsiagaan menghadapi risiko banjir menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November ini, susulan ramalan cuaca yang menunjukkan beberapa kawasan berpotensi mengalami hujan dan ribut petir bermula Isnin ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, pelbagai langkah persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) telah dilaksanakan lebih awal bagi memastikan keselamatan rakyat serta kelancaran urusan pilihan raya tidak terjejas sekiranya berlaku cuaca buruk.

Menurutnya, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka bersama agensi berkaitan, khususnya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mempertingkat keupayaan pengurusan risiko banjir menerusi perancangan awal, pemantauan berterusan dan penyelarasan aset.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kerajaan negeri telah melaksanakan mesyuarat dan mempergiat langkah kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) lagi.

“Persediaan ini melibatkan pemantauan banjir selama 24 jam, pengukuhan sistem amaran awal serta memastikan semua aset kawalan banjir berada dalam keadaan bersedia untuk digerakkan sekiranya berlaku kecemasan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Lawatan Ketua Menteri ke Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Kota Laksamana di Jalan Hang Tuah di sini hari ini.

Menurut ramalan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Melaka dijangka mengalami ribut petir di kebanyakan tempat pada 9 dan 10 November manakala hujan di beberapa kawasan termasuk kawasan pedalaman diramalkan berlaku pada 11 hingga 13 November.

Pada hari pengundian 14 November pula, cuaca dijangka tidak hujan pada sebelah pagi tetapi ribut petir berpotensi berlaku di beberapa kawasan pedalaman pada sebelah petang.

Ab. Rauf berkata, antara langkah utama yang dilaksanakan ialah pemantauan banjir 24 jam membabitkan enam lembangan sungai utama bagi merekodkan data hujan serta paras air sungai secara berterusan.

Katanya, sistem amaran awal turut diperkukuhkan menerusi 14 siren amaran banjir dan 10 kamera pemantauan di lokasi strategik di seluruh negeri ini.

“Selain itu, sebanyak 102 lokasi titik panas banjir telah dikenal pasti berdasarkan rekod kejadian berulang sekurang-kurangnya tiga kali dalam tempoh tiga tahun terkini.

“Langkah mengenal pasti lokasi berisiko ini penting supaya tindakan awal dapat diambil sekiranya berlaku peningkatan paras air atau hujan lebat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini