MELAKA: Jentera Pakatan Harapan (PH) tidak boleh ambil mudah persaingan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, meskipun ada kawasan tertentu dianggap mampu meraih kemenangan.
Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, kekalahan yang tidak dijangka di Negeri Sembilan perlu dijadikan pengajaran agar jentera parti tidak terlalu selesa atau memandang ringan gerak kerja kempen.
Menurutnya, perjalanan PRN mempunyai cabaran berbeza berbanding pilihan raya umum (PRU) dan ia memerlukan komitmen penuh jentera dalam mendekati pengundi.
“Pilihan raya negeri tak sama, jangan take things for granted (ambil mudah).
“Kita yang mana pernah faham PRU tahu, bila PRN kita tak sangka. Jangan ambil sambil lewa, bertenang dan cari pengundi.
“Belajar daripada pengalaman di Negeri Sembilan. Itu kubu kita tapi tahu-tahu boleh kalah. Jadi maksudnya, jangan ambil mudah dan jangan anggap sesuatu kerusi itu senang untuk dimenangi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Jentera Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput di sini hari ini.
Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata, gerak kerja di peringkat akar umbi perlu terus dipergiat dengan memastikan pengundi disantuni secara bersemuka sepanjang tempoh kempen.
Katanya, pendekatan peribadi menerusi konsep berjabat tangan penting kerana ia membina hubungan dengan pengundi.
“Tiap-tiap pengundi itu penting. Kita kena jumpa mereka dan kalau tak boleh jumpa sekalipun, jangan tarik diri.
“Every handshake counts, cuba sedaya upaya dapatkan sokongan mereka.
“Yang penting, bawa mereka keluar mengundi kerana itu penentu kemenangan kali ini,” katanya.
Wan Azizah turut menekankan kepentingan memilih wakil rakyat yang berpengalaman dan mampu memberikan perkhidmatan kepada masyarakat setempat.
Menurutnya, penyelesaian masalah tempatan perlu menjadi keutamaan kerana tanggungjawab seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berbeza dengan Ahli Parlimen.
“Apa yang kita perlukan adalah wakil rakyat yang boleh bekerja untuk selesaikan isu-isu tempatan di Paya Rumput dan Melaka,” katanya. – UTUSAN











