Iran hukum mati tiga lelaki terlibat protes antikerajaan

Iran hukum mati tiga lelaki terlibat protes antikerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran melaksanakan hukuman mati terhadap tiga lelaki yang didakwa menjalankan operasi bagi pihak Israel dan Amerika Syarikat (AS) ketika demonstrasi antikerajaan pada Januari lalu, menurut badan kehakiman negara itu hari ini.

Ketiga-tiga lelaki berkenaan, Hassan Divband, Hamid Kazemi dan Reza Zanganeh, dihukum gantung selepas Mahkamah Agung mengekalkan hukuman mati terhadap mereka, lapor laman web badan kehakiman, Mizan Online.

Menurut laporan itu, mereka didapati bersalah kerana terlibat dalam aktiviti operasi bagi pihak Israel, AS dan kumpulan yang dianggap musuh Iran ketika demonstrasi berlangsung.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mereka turut didakwa membaling bom petrol dan bom tangan, menggunakan senjata tajam serta senjata api, selain membakar kemudahan awam di bandar Karaj, barat Teheran.

Beberapa tertuduh lain dalam kes sama dijatuhi hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun.

Demonstrasi yang bermula pada Disember lalu susulan peningkatan kos sara hidup kemudian merebak menjadi gerakan antipemerintah secara besar-besaran, dengan kemuncaknya pada 8 dan 9 Januari.

Pihak berkuasa Iran melaporkan lebih 3,000 kematian sepanjang gelombang protes itu dan menyifatkan keganasan berkenaan sebagai tindakan pengganas yang didalangi AS serta Israel.

Bagaimanapun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpangkalan di luar Iran mengemukakan angka korban lebih tinggi dan mendakwa pasukan keselamatan negara itu melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan.

Pelaksanaan hukuman mati di Iran dilaporkan meningkat sejak perang di Asia Barat tercetus pada akhir Februari lalu susulan serangan AS dan Israel terhadap negara itu.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini