PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menjalankan pemeriksaan susulan di kilang Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. bagi mengesahkan pematuhan terhadap Akta Makanan 1983.
Menurut KKM, pihaknya masih menunggu keputusan analisis makmal bagi membantu siasatan berhubung dakwaan keracunan makanan.
Bagaimanapun, katanya, usaha mengesan produk terbabit masih terbatas kerana maklumat kelompok pengilangan dan tarikh luput yang diterima tidak lengkap.
Namun, KKM berkata, baki produk serta bungkusannya telah diambil dengan persetujuan pengadu untuk dianalisis.
“Siasatan awal dijalankan susulan aduan tular di media sosial dan laporan media mengenai dakwaan keracunan makanan selepas pengambilan Gardenia Original Classic White Bread dan Twiggies Choc-A-Lot.
“Tindakan penguatkuasaan sewajarnya akan diambil sekiranya terdapat bukti pelanggaran atau risiko keselamatan makanan,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, KKM berkata, pihaknya turut mendapatkan penjelasan daripada Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd.
Menurut syarikat itu, siasatan dalamannya tidak menemukan sebarang penyimpangan dalam proses pengeluaran, perubahan resipi atau ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan kawalan keselamatan makanan bagi produk terbabit.
KKM bagaimanapun menegaskan, dapatan siasatan dalaman syarikat itu belum menjadi asas untuk membuat kesimpulan muktamad mengenai punca simptom yang dilaporkan.
Orang ramai dinasihatkan supaya mengelakkan spekulasi, manakala individu yang mengalami muntah, cirit-birit atau ketidakselesaan selepas mengambil produk yang disyaki diminta segera mendapatkan rawatan dan melaporkannya kepada Pejabat Kesihatan Daerah terdekat. – UTUSAN











