KOTA BHARU: Perkhidmatan klinikal dan pembedahan jantung di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) terus berjalan seperti biasa dengan bantuan pakar dari luar Kelantan yang hadir secara berjadual.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr. Mohd. Azman Yacob berkata, pihaknya sudah mengenal pasti pakar baharu dan dijangka melapor diri pertengahan Disember ini.
“Pakar turut hadir secara berjadual bagi memastikan operasi perkhidmatan pembedahan jantung di hospital berkenaan dapat diteruskan seperti biasa.
“Operasi klinikal berjalan seperti biasa, pembedahan berjadual akan dibantu oleh pakar datang secara berjadual,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kebimbangan orang ramai susulan berita peletakan jawatan pakar bedah jantung HRPZ II yang tular di laman sosial Facebook kelmarin.
Dr. Azman memberitahu, langkah itu bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan kepada pesakit tidak terjejas susulan peletakan jawatan pakar jantung di hospital berkenaan.
Terdahulu, tular dakwaan di media sosial bahawa pakar bedah jantung di hospital berkenaan telah meletakkan jawatan sehingga menimbulkan kebimbangan mengenai kesinambungan rawatan pesakit, termasuk dakwaan kes kritikal terpaksa dirujuk ke negeri lain. – UTUSAN










