Usah panik, stok beras negara enam bulan, ikan lapan bulan - Utusan Malaysia

Usah panik, stok beras negara enam bulan, ikan lapan bulan

MOHAMAD Sabu membantu menjual sepapan telur dengan harga RM5 pada Majlis Perasmian Himpunan Semarak Tani@Jualan Agro Madani Mega di Bukit Katil, Melaka hari ini. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Rakyat tidak disarankan membuat simpanan makanan secara berlebihan seperti yang disarankan oleh Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) kerana kerajaan menjamin bekalan makanan negara berada pada tahap mencukupi dan terkawal.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, orang ramai tidak perlu melakukan pembelian panik kerana kerajaan sentiasa memantau kedudukan bekalan berdasarkan maklumat dan kajian, termasuk membabitkan institusi penyelidikan serta pakar berkaitan perubahan iklim.

Menurutnya, kerajaan bertanggungjawab memastikan simpanan bekalan makanan berada pada tahap mencukupi bagi menghadapi sebarang kemungkinan gangguan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tidak perlu rakyat pergi membeli makanan secara berlebihan atau membuat pembelian panik. Bekalan kita seperti biasa dan kerajaan sentiasa membuat persediaan.

“Kita berbincang secara berterusan dengan pihak universiti, para penyelidik dan pihak berkaitan mengenai perubahan iklim serta pelbagai kemungkinan yang boleh memberi kesan kepada bekalan makanan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Himpunan Semarak Tani@Jualan Agro Madani Mega di Bukit Katil di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan FOMCA yang menyarankan isi rumah menyediakan makanan, air minuman dan barangan keperluan asas dalam jumlah sederhana.

Simpanan yang disarankan sekurang-kurangnya untuk tempoh 72 jam atau tiga hari sebagai langkah persediaan kemungkinan seperti banjir, bekalan elektrik atau masalah penghantaran.

Mohamad berkata, stok penimbal beras negara ketika ini mampu menampung keperluan untuk sekurang-kurangnya enam bulan manakala bekalan ikan pula mencukupi sehingga lapan bulan.

“Kerajaan bersama kementerian-kementerian berkaitan dan pihak swasta sentiasa memastikan bekalan simpanan berada pada tahap yang mencukupi.

“Jadi, tidak perlulah rakyat membeli secara berlebihan kerana itu boleh menyebabkan permintaan meningkat secara mendadak dan akhirnya mengganggu kestabilan bekalan di pasaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini