Pendaratan ikan darat naik 2.3 peratus

Pendaratan ikan darat naik 2.3 peratus

MOHAMAD SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pendaratan perikanan darat negara meningkat 2.3 peratus tahun lalu susulan keberkesanan langkah kerajaan mengawal pembiakan dan penyebaran spesies ikan perosak di sungai, tasik dan kolam penternakan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sektor itu merekodkan 9,653 tan metrik pendaratan pada 2024 berbanding 9,434 tan metrik pada 2023.

“Kenaikan ini menunjukkan kawalan spesies perosak yang dilaksanakan jabatan berkaitan memberi kesan positif kepada ekosistem ikan air tawar tempatan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Alias Razak (PN-Kuala Nerus) yang meminta beliau menyatakan keberkesanan langkah-langkah yang telah dilaksanakan oleh Kementerian bagi mengawal serta membendung pembiakan dan penyebaran spesies ikan perosak di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata antara spesies invasif yang dikawal termasuk Ikan Bandaraya, Keli Afrika dan Baung Ekor Merah, dengan 31 siri pemburuan dilaksanakan sejak 2022, berjaya mengeluarkan 8.8 tan metrik ikan asing dari perairan negara.

Selain itu, sebanyak 101 siri inventori perikanan darat dijalankan sepanjang RMKe-12 bagi memantau biodiversiti dan mengesan spesies asing, disokong program kesedaran serta sistem aduan MYFirst yang bakal beroperasi pada 2026.

“Kita juga lepaskan 53 juta ekor ikan asli dalam tempoh RMKe-12 bagi menyeimbangkan semula ekosistem di perairan umum,” katanya.

Mohamad turut memaklumkan bahawa pengemaskinian Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) sedang dilakukan untuk memasukkan larangan pelepasan ikan asing, yang akan memperuntukkan denda sehingga RM20,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×