Tidak wajar BN desak bubar Parlimen

Tidak wajar BN desak bubar Parlimen

MOHAMAD SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sebarang gesaan supaya Parlimen dibubarkan lebih awal termasuk daripada pimpinan Barisan Nasional (BN) adalah tidak wajar kerana ia merupakan hak prerogatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kuasa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi pembubaran Parlimen juga berada pada Perdana Menteri.

“Kuasa untuk membubarkan Parlimen terletak sepenuhnya pada Perdana Menteri. Justeru, gesaan untuk membubarkannya lebih awal adalah tidak wajar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kuasa untuk membubarkan Parlimen pada bila-bila masa merupakan hak prerogatif Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam sidang akhbar selepas Himpunan Semarak Tani bersama Nelayan Melaka di sini, hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berpandangan adalah lebih baik Parlimen dibubarkan berbanding melaksanakan rombakan Kabinet ketika ini.

Ahmad Zahid berkata, beliau tidak melihat sebarang keperluan untuk mengadakan rombakan Kabinet.

“Walaupun ada seorang yang mungkin komited untuk meletakkan jawatan ketika sampainya Datuk Seri Najib Tun Razak ke rumah beliau bagi menjalani baki hukumannya.

“Sebaik-baiknya bukan rombakan Kabinet, sebaik-baiknya Parlimen dibubarkan. Itu kita berikan mandat semula kepada rakyat dan kita bentuklah kerajaan baharu selepas itu,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, satu mekanisme perundangan perlu diwujudkan bagi membolehkan banduan menjalani separuh tempoh hukuman di penjara dan separuh lagi melalui tahanan rumah yang tertakluk kepada peraturan adil, telus serta terpakai kepada semua.

Katanya, prinsip kesaksamaan di sisi undang-undang tidak boleh dikompromi atas faktor kedudukan, pengaruh politik atau hubungan kekeluargaan.

Beliau berkata, gaji sebagai menteri sebanyak RM11,900 sebulan akan diserahkan kepada pertumbuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan prinsip kesaksamaan undang-undang sehingga pembubaran Parlimen penggal ini.

“Undang-undang mesti adil kepada semua. Keadilan tidak boleh menjadi hak eksklusif golongan tertentu. Malaysia tidak boleh mengamalkan sistem keadilan dua darjat.

“Sebagai tanda komitmen terhadap perjuangan ini, saya akan menyerahkan sepenuhnya gaji saya sebagai menteri sehingga pembubaran Parlimen penggal ini, bagi membantu membiayai usaha badan-badan NGO yang akan menggerakkan perjuangan tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini