PUTRAJAYA: Ganjaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi acara berpasukan akhirnya dinaikkan dengan pemenang pingat emas kini menerima RM40,000 seorang berbanding RM15,000 sejak 24 tahun lalu.
Peningkatan sebanyak 166.67 peratus itu menyaksikan kerajaan turut menyemak ganjaran bagi pingat perak daripada RM8,000 kepada RM20,000, manakala pingat gangsa meningkat daripada RM4,000 kepada RM10,000 seorang.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan prestasi sukan negara serta pengorbanan atlet acara berpasukan mendapat pengiktirafan sewajarnya.
“Kalau kita lihat perkembangan atlet-atlet kita yang luar biasa hebat, kita perlu memberikan ganjaran yang terbaik.
“Kita juga perlu memberikan suntikan baharu supaya atlet lebih bersemangat, selain memastikan kebajikan dan ganjaran mereka terjamin,” katanya pada sidang media khas SHAKAM di Menara KBS, semalam.
Beliau berkata, kadar baharu itu diluluskan menerusi Mesyuarat Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN) pada 10 November lalu dan berkuat kuasa serta-merta, termasuk bagi pencapaian atlet pada temasya tahun ini.
Menerusi penetapan baharu itu, setiap atlet yang memenangi pingat dalam acara membabitkan lebih daripada seorang peserta akan menerima 50 peratus daripada nilai ganjaran acara individu.
“Bagi pingat emas, setiap atlet akan menerima RM40,000. Kalau satu pasukan itu mempunyai lima orang atlet, jumlah keseluruhan ganjaran ialah RM200,000 berbanding sebelum ini hanya RM75,000,” katanya.
Semakan itu membabitkan 66 atlet daripada 10 pasukan pemenang pingat Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, termasuk skuad sepak takraw, skuasy, hoki, berbasikal trek, karate dan e-sukan yang akan menerima bayaran tambahan.
Dari segi kewangan, pelaksanaan kadar baharu itu membabitkan tambahan peruntukan RM1.152 juta termasuk insentif jurulatih menerusi Skim Galakan Jurulatih (SGAR), manakala jumlah ganjaran bagi tiga temasya 2026 meningkat daripada RM4.26 juta kepada RM5.41 juta.
Taufiq berkata, tambahan peruntukan itu tidak akan menjejaskan program pembangunan, latihan atau penyertaan atlet dalam kejohanan antarabangsa, sebaliknya menjadi dorongan kepada atlet sedia ada serta generasi pelapis untuk terus memburu kejayaan.-UTUSAN











