YALA (THAILAND): Pihak berkuasa meningkatkan kawalan keselamatan dan pemantauan di Selatan Thailand ke tahap tertinggi, susulan siri serangan dan insiden keganasan di Wilayah Yala, Songkhla dan Satun sejak malam kelmarin hingga pagi semalam.
Arahan memperketatkan kawalan dan meletakkan pasukan keselamatan dalam keadaan bersiap siaga dikeluarkan Komander Polis Wilayah 9, Leftenan Jeneral Piyawat Chaloemsri, semalam.
Jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, pihak berkuasa percaya semua insiden yang berlaku antara pukul 8.30 malam hingga 7.30 pagi itu, adalah tindakan balas dendam kumpulan pemisah selain memperingati kejatuhan Patani kepada Siam pada 11 November 1785.
Beliau berkata, perisikan tentera dan polis percaya kumpulan pemisah sedang mengatur gerak kerja untuk melakukan keganasan di lima wilayah iaitu Narathiwat, Yala, Pattani, Songkhla dan Satun, selepas tindakan tegas pihak berkuasa terhadap mereka, termasuk pertempuran di Daerah Thanto, Yala yang mengorbankan seorang suspek pada Isnin lalu.
“Semua pihak berkuasa telah diarah sentiasa siap siaga menghadapi sebarang kemungkinan serta meningkatkan kewaspadaan terhadap kemungkinan serangan balas daripada kumpulan pemisah, sebagaimana yang berlaku sejak malam hingga pagi semalam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Jurucakap itu mendedahkan susulan amaran yang dikeluarkan itu, bahagian perisikan tentera dan polis memintas sebuah kenderaan dipercayai akan digunakan sebagai ‘bom kereta’ yang menyasarkan lokasi tertentu di bandar pelancongan Hat Yai.
Beliau berkata, seorang suspek anggota kumpulan pemisah berusia 27 tahun turut ditahan selepas kereta Toyota Vios yang dipandunya dipintas di Jalan Ban Ta Paed, Mukim Tha Muang, Thepha, Songkhla, kira-kira pukul 4 petang kelmarin.
“Pihak berkuasa mengesyaki kenderaan berkenaan mungkin akan digunakan untuk pemasangan bahan letupan dan dijadikan bom kereta bagi merancang serangan di Wilayah Songkhla.
“Hasil siasatan mendapati suspek adalah individu yang dikehendaki di bawah Dekri Darurat 2022 dan dipercayai sebagai rakan subahat dalam membantu kumpulan pemisah di Daerah Thepha,” katanya.
Mengulas lanjut, jurucakap itu berkata, sebanyak 15 kejadian keganasan dilaporkan berlaku di Wilayah Yala, Songkhla dan Satun sejak kelmarin, dengan lapan daripadanya membabitkan bahan letupan buatan sendiri (IED) yang ditanam di tepi jalan dan di kawasan pejabat kerajaan.
Menurutnya, serangan bom itu melibatkan empat kes di Daerah Sadao dan Chana di Wilayah Songkhla, diikuti tiga di Daerah Mueang, Satun dan satu di Daerah Mueang, Yala.
“Pasukan keselamatan kini meningkatkan rondaan dan operasi pencarian di kawasan tanggungjawab masing-masing bagi mengesan, menyekat dan menahan pihak yang terlibat secara serius, sekali gus mencegah penggunaan kenderaan yang dipasang bahan letupan untuk melakukan serangan di kawasan bandar dan penempatan penduduk.
“Semua unit diarahkan untuk berwaspada dan menyelaras usaha mereka, termasuk menubuhkan pusat pemeriksaan dan sekatan jalan raya di semua laluan yang masuk dan keluar dari kawasan bandar.
“Rondaan dan penggeledahan intensif dalam kawasan tanggungjawab masing-masing adalah perlu untuk memintas, mencari, dan menangkap mereka yang terlibat dalam penggunaan kenderaan yang sarat dengan bom untuk melakukan serangan di kawasan bandar dan komuniti,” katanya.-UTUSAN.











