MOSCOW: Duta Besar Russia ke Amerika Syarikat (AS), Alexander Darchiev meninggal dunia secara mengejut pada usia 66 tahun selepas setahun setengah berkhidmat dalam jawatan itu, menurut Kementerian Luar Russia pada Rabu.
Kementerian itu menyifatkan Darchiev sebagai diplomat cemerlang, pemimpin berpengalaman dan rakan sekerja yang baik.
Beliau dilantik ke jawatan berkenaan pada Mac 2025. Moscow tidak memberikan butiran lanjut mengenai punca kematiannya.
Jabatan Negara AS mengesahkan Darchiev meninggal dunia pada Rabu di Moscow.
“Kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan insan tersayang Darchiev. Untuk maklumat lanjut mengenai kematiannya, sila rujuk Kerajaan Russia,” kata jurucakap Jabatan Negara AS.
Darchiev sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Russia ke Kanada dari 2014 hingga 2021.
Beliau dilantik ke jawatan di AS tahun lalu, tidak lama selepas Presiden, Donald Trump kembali berkuasa, ketika konflik Ukraine yang dilancarkan Moscow sejak beberapa tahun lalu terus meruncingkan hubungan Russia dengan negara-negara Barat.
Darchiev merupakan pakar dalam hubungan Russia-AS dan pernah mengetuai Jabatan Amerika Utara di Kementerian Luar Russia dari 2021 hingga 2024.
Ketika Russia melancarkan serangan ke atas Ukraine pada 2022, Darchiev menyifatkan tindakan itu sebagai langkah yang perlu.-AFP








