Laporan media antarabangsa jahat – Duta Russia - Utusan Malaysia

Laporan media antarabangsa jahat – Duta Russia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah
RUSSIA kini menjadi tumpuan dunia berikutan konflik dengan Ukraine yang dianggap sebagai satu ‘pencerobohan’ yang memusnahkan.
Malah, ‘pencerobohan’ itu memasuki ulang tahun pertama iaitu pada 24 Februari lalu dan berdasarkan laporan media antarabangsa, Russia digambarkan sebagai tidak berperikemanusiaan kerana enggan melakukan gencatan senjata.
Sehubungan itu, wartawan Mingguan Malaysia, AZMAN IBRAHIM, C. SHEILA RANI dan NAWWAR ABDUL RAHIM serta jurugambar, SHIDDIEQIIN ZON berpeluang menemu bual Duta Russia ke Malaysia, NAIYL M. LATYPOV di kediamannya di Jalan Ampang di sini Selasa lalu.

Mingguan MALAYSIA: Adakah anda berpuas hati dengan laporan media antarabangsa mengenai negara anda yang digambarkan ‘jahat’ terhadap Ukraine?
NAIYL M. LATYPOV: Kisah konflik di antara Russia dengan Ukraine amat panjang dan banyak cerita digambarkan dengan salah mengenainya. Kebanyakan agensi berita antarabangsa dimiliki Barat dan Amerika Syarikat (AS). Mereka memanipulasi cerita sehingga menggambarkan kami sebagai ‘jahat’.

Jadi, adakah semua laporan itu tidak tepat?
Ya. Negara-negara Barat kebanyakannya sekutu AS dan AS menggunakan Ukraine sebagai platform untuk ‘menyerang’ kami. Kami juga sebenarnya tidak mahukan peperangan dan berharap ia dihentikan menerusi perjanjian damai. Namun, keadaan itu menjadi semakin parah apabila AS campur tangan dan media-media Barat mula memanipulasi cerita. Mereka tidak bercerita mengenai apa yang Ukraine buat terhadap kami. Rakyat Russia juga ramai yang terbunuh akibat dibedil dengan peluru berpandu. Namun itu tidak diceritakan.

Jadi, bagaimana hendak atasi perkara ini?
Kami mempunyai pilihan dengan menggunakan media Russia berbahasa Inggeris yang semakin berpengaruh. Portal berita sputnik.news kini semakin dibaca dan diberi gambaran yang tepat. Malah, ramai penduduk Barat terutamanya dari AS membacanya.

VAKSIN Covid-19
Mengenai soalan lain, Russia dilaporkan menginovasikan vaksin Covid-19 tersendiri pada 2019 yang dinamakan Sputnik V dan digunakan di 71 negara. Adakah rakyat anda yakin dengan produk ini?
Dalam hal ini, saya memuji rakyat Malaysia yang berdisiplin tinggi. Saya difahamkan kira-kira 95 peratus rakyat di negara ini lengkap divaksinasi, berbanding di negara saya masih ramai tidak divaksinasi. Kira-kira 60 peratus sahaja rakyat Russia mendapat vaksin berkenaan.

Adakah timbul sentimen antivaksin di Russia?
Mungkin. komuniti antivaksin tidak dinafikan ramai pada waktu itu. Namun, jumlah yang mendapatkan vaksinasi itu juga semakin ramai. Kini, saya difahamkan jumlah jangkitan Covid-19 di Russia juga terkawal dan dalam jumlah yang sedikit.

Kenapa Sputnik V tidak memasuki pasaran Malaysia?
Sebenarnya ada beberapa isu teknikal dan salah faham di antara kerajaan Russia dengan agensi kerajaan di sini. Sputnik V juga tidak didaftarkan di Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

TAK SUKA DURIAN
Bercakap perihal lain, adakah anda bersetuju durian Musang King berpotensi memasuki pasaran Russia?
Oh! Tidak. saya tidak berasa durian merupakan kegemaran rakyat Russia berikutan baunya yang tidak menyenangkan. Namun, saya bersetuju durian amat baik dan mampu memberi kehangatan badan terutamanya pada waktu musim sejuk. Di Russia, kami mempunyai cuaca yang sangat sejuk. – MINGGUAN MALAYSIA

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×