MUKADIMAH
DI SEBALIK pelbagai aset yang ditenggelami banjir di Selangor, figura ini kembali menjadi perhatian apabila mendedahkan perancangan projek mengatasi masalah banjir yang pernah dirangka ketika menerajui pentadbiran negeri itu sebagai Menteri Besar.
Namun, ada pihak yang mempertikaikan cadangan tersebut. Justeru wartawan Mingguan Malaysia MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu bual bekas Menteri Besar Selangor, DR. MOHAMED KHIR TOYO bagi mendapatkan perspektifnya. Turut membantu jurufoto FARIZ RUSADIO.
BANDAR TERUSAN
MINGGUAN MALAYSIA: Ada pihak mungkin tertanya-tanya mengapa Dr. membangkit semula isu Canal City selepas hampir 20 tahun. Boleh jelaskan latar belakang projek tersebut dan rasional ia dirancang satu ketika dahulu?
MOHAMED KHIR: Idea Canal City ini idea saya tapi gerak kerja bukanlah hanya libatkan saya seorang saja. Ia timbul apabila masalah banjir ketika itu memerlukan penyelesaian jangka panjang dan bukannya sekadar kurangkan kesan banjir.
Perancangan sebenar ini bermula selepas saya dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad merancang pembinaan smart tunnel (terowong pintar) dan mahu membina terowong lencongan (bypass tunnel).
Namun, saya katakan pada masa itu, rancangan tersebut agak merugikan kerana terowong itu hanya akan digunakan sekali atau dua kali setahun ketika berlaku banjir.
Jadi, saya mencadangkan pada Dr. Mahathir supaya terowong itu mempunyai dua fungsi, iaitu menjadi laluan air ketika hujan dan jalan raya ketika cuaca kering.
Sebabnya kita ada dua tasik, iaitu Tasik Barembang dan sebuah lagi tasik di Petaling Jaya, yang berfungsi sebagai kawasan takungan serta pengimbang air. Jadi, kalau tasik sudah penuh kita sempat keluarkan kenderaan itu dari terowong tersebut dan menyalurkannya ke kawasan takungan sebelum dilepaskan melalui sistem yang dirancang.
Kemudian kita buat kajian dengan melibatkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta perunding dari Belanda. Hasilnya mendapati masalah utama di Selangor ini adalah kedudukan kawasan bandar yang rendah. Apabila hujan lebat berlaku serentak dengan air laut pasang, ia akan bertembung dan air sungai sukar mengalir keluar kerana berlaku pertembungan aliran.
Keadaan itu menyebabkan air bertakung dan meningkatkan risiko banjir. Justeru, perunding mencadangkan supaya diwujudkan saluran keluar tambahan untuk mengalirkan air dengan lebih cepat, selain menyediakan kawasan penyimpanan air.
Daripada kajian itu, maka timbullah cadangan membina sebuah terusan besar yang menghubungkan Sungai Klang dengan Sungai Langat, di samping dua tasik besar tersebut sebagai kawasan pengimbang.
Ketika itu, anggaran kos pembinaan terusan sahaja hampir RM1 bilion. Jadi, kita fikir balik, mengapa tidak dibangunkan sebuah bandar berkonsepkan terusan atau Canal City di kawasan berkenaan.
Konsepnya adalah pembangunan bandar sepanjang terusan, dengan saluran air besar dan kecil yang menghubungkan kawasan perumahan. Rumah-rumah akan dibina di sepanjang saluran tersebut, seolah-olah mempunyai sungai kecil di bahagian hadapan dan belakang.
Kita kemudian meminta Jabatan Perancangan Bandar Negeri Selangor dan JPS memperincikan konsep pembangunan itu.
Cuma, kalau ada yang bertanya mengenai butiran teknikal projek itu, saya mungkin tidak ingat semuanya kerana sudah hampir 20 tahun berlalu. Dokumen berkaitan masih ada di JPS dan Jabatan Perancangan Bandar.
Apakah kelebihan pembangunan Canal City dalam aspek ekonomi dan penyelesaian banjir?
Daripada perancangan itu, kita melihat potensi untuk memperoleh pulangan ekonomi yang lebih besar berbanding hanya membelanjakan hampir RM1 bilion bagi membina terusan.
Melalui konsep pembangunan bandar berasaskan terusan, kita menganggarkan potensi pendapatan kasar boleh mencecah RM10 bilion.
Kita boleh melantik syarikat kerajaan negeri, termasuk PNB Negeri Selangor dan bersama syarikat swasta. Tapi apabila bekas Menteri Besar mengambil alih tugas saya selepas itu iaitu Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, boleh kata projek berkenaan tidak diteruskan pada masa itu walaupun ia melibatkan pegawai yang sama.
Ini antara perkara yang saya kesalkan. Apatah lagi tanah yang sepatutnya dibangunkan mengikut konsep Canal City akhirnya diberikan kepada pihak yang sama untuk pembangunan tanpa teruskan sebagaimana perancangan asal.
Pada pandangan Dr. adakah terdapat perbezaan antara projek tebatan banjir yang mahu dilaksanakan kerajaan negeri dengan Canal City?
Bagi saya, Selangor memerlukan dua pendekatan berbeza, iaitu projek tebatan banjir dan projek penyelesaian banjir.
Projek tebatan banjir lebih kepada mengurangkan kesan banjir untuk sementara waktu. Contohnya, pembinaan kolam takungan bagi menampung air hujan.
Namun, sekiranya hujan turun melebihi kapasiti yang mampu ditampung, kawasan itu masih boleh mengalami banjir.
Isu sebenarnya adalah bagaimana air dapat disalurkan ke tempat lain dengan cepat, terutama ketika hujan lebat dan air laut pasang.
Itulah sebabnya kita memerlukan projek penyelesaian banjir yang lebih menyeluruh, termasuk pembinaan terusan dan sistem saliran yang mampu membawa air keluar ke laut dalam tempoh singkat.
Dua perkara ini tidak boleh disamakan. Kerajaan tidak boleh hanya memberi tumpuan kepada projek tebatan banjir tanpa merancang bagaimana air yang ditakung itu akhirnya dapat disalurkan keluar.
DENDA RM1 JUTA
Bagaimana pendekatan Dr. ketika menjadi Menteri Besar dalam memastikan pembangunan perumahan tidak menjadi punca berlakunya banjir?
Ketika zaman saya, pemaju yang membangunkan tanah khususnya kawasan seluas kira-kira 20 hektar wajib menyediakan kolam takungan sebelum kerja-kerja tanah dimulakan.
Syarat itu diperkenalkan selepas saya melihat kejadian banjir besar di Bandar Puteri, Puchong. Pada masa itu saya mendapati antara masalahnya ialah ketiadaan kolam takungan di kawasan pembangunan.
Selepas itu, daripada itu kita menetapkan syarat supaya setiap pembangunan menyediakan kolam takungan terlebih dahulu. Pemaju yang gagal mematuhi syarat tersebut boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta.
Malah, kita pernah mengambil tindakan terhadap kira-kira 27 syarikat yang gagal mematuhi peraturan berkenaan.
Pendekatan itu penting kerana apabila kawasan tanah dibangunkan, permukaan bumi yang sebelum ini menyerap air akan ditutupi bangunan dan simen. Air hujan yang sepatutnya meresap ke dalam tanah perlu ditampung di kolam takungan.
Kolam itu juga secara tidak langsung berfungsi memerangkap lumpur daripada kerja-kerja pembersihan tanah supaya tidak memasuki sistem perparitan sedia ada.
Sebab itu, pada tanggungjawab menyediakan kolam takungan perlu dipikul pihak pemaju, bukan semata-mata kerajaan. Kita tidak boleh menghalang pemilik tanah daripada membangunkan tanah mereka. Namun, kerajaan perlu menetapkan syarat yang wajib dipatuhi.
Sekiranya kawasan hutan dibangunkan menjadi perumahan, air hujan yang sebelum ini diserap oleh tanah perlu mempunyai tempat untuk ditakung.
Kerajaan juga tidak perlu membelanjakan wang yang banyak untuk membina kolam takungan bagi setiap pembangunan baharu sekiranya pemaju diwajibkan menyediakannya sejak awal.
Adakah pendekatan tersebut berkesan?
Ya. Kita melihat keadaan banjir semakin terkawal dan kita tidak lagi berdepan kejadian banjir besar seperti sebelumnya di beberapa kawasan yang pernah mengalami masalah tersebut.
Saya tidak mengatakan semua masalah banjir dapat diselesaikan sepenuhnya, tetapi pendekatan itu menunjukkan hasil. Kita juga perlu memahami bahawa penyelesaian banjir memerlukan kesinambungan. Apabila sesuatu program tidak diteruskan atau diselenggara, masalah yang sama boleh berulang.
Sebagai contoh, di Seri Muda, selepas program penyelesaian banjir dilaksanakan untuk 10 tahun ia berjaya. Namun, kerajaan negeri perlu menyelenggara semula projek penyelesaian banjir selepas tempoh berkenaan dan bukan dilaksanakan sekali sahaja.
TIDAK SEDIAKAN KOLAM TAKUNGAN
Pandangan Dr. berkenaan kejadian banjir di Puncak Alam baru-baru ini ?
Apa yang berlaku di Puncak Alam adalah kerja-kerja tanah dilakukan tanpa penyediaan kolam takungan terlebih dahulu. Bila hujan turun, lumpur daripada kawasan tanah yang telah dibersihkan akan mengalir masuk ke dalam longkang.
Hujan pertama mungkin belum menyebabkan banjir, tetapi lumpur sudah mula memenuhi sistem perparitan. Apabila hujan turun kali kedua dan ketiga, longkang semakin tersumbat sehingga tidak mampu menampung aliran air.
Akhirnya, air melimpah dan menyebabkan banjir. Kalau kolam takungan disediakan lebih awal, lumpur itu akan terkumpul di dalam kolam dan bukannya memasuki sistem perparitan. Jika kolam dipenuhi lumpur, pemaju hanya perlu membersihkan atau mendalaminya. Tetapi apabila lumpur sudah memasuki sistem longkang sepanjang berpuluh-puluh kilometer, bagaimana kita hendak menyelesaikannya?
Kita terpaksa mengorek dan membina semula longkang. Itu memerlukan kos yang jauh lebih besar.
Kerajaan negeri baru-baru ini mengumumkan peruntukan RM36.45 juta bagi 47 projek tebatan banjir di Selangor, termasuk di Kampung Melayu Subang, Kampung Kubu Gajah dan Puncak Alam. Pandangan Dr. ?
Kalau kita melihat peruntukan RM36 juta untuk 47 projek, secara purata setiap projek hanya menerima kira-kira RM 775,000. Persoalannya, jumlah tersebut mampu atau tidak untuk menyelesaikan masalah banjir secara menyeluruh?
Pada saya, kerajaan perlu melaksanakan kajian dan perancangan impak banjir secara menyeluruh terlebih dahulu. Kita perlu melihat keseluruhan kawasan tadahan, sistem sungai dan saliran serta bagaimana air dapat disalurkan keluar.
Jangan sekadar membina longkang kecil atau kolam takungan tanpa melihat keseluruhan sistem. Kalau longkang dibina tanpa mengambil kira keadaan sungai, air sungai juga boleh melimpah masuk ke dalam sistem saliran tersebut.
Di samping itu, sebelum kerja-kerja untuk mendalamkan longkang, kita perlu melihat sama ada sungai yang menjadi laluan utama air itu juga perlu didalamkan.
Kita perlu melakukan sesuatu yang berbeza sekiranya mahu mendapatkan hasil yang berbeza.
Adakah kerajaan negeri perlu mewajibkan pemaju menyediakan kolam takungan?
Ya, saya berpandangan kerajaan perlu mewajibkan semula setiap pemaju menyediakan kolam takungan sebelum memulakan kerja-kerja tanah. Kita sudah melaksanakan pendekatan itu sekitar 2006 hingga 2008.
Pada masa itu, pembangunan baharu perlu menyediakan kolam takungan terlebih dahulu sebelum kerja pembersihan tanah dilakukan.
Tujuannya bukan sahaja untuk menampung air hujan, tetapi juga memastikan lumpur tidak memasuki sistem perparitan.
Kalau dasar itu diteruskan, saya percaya banyak masalah banjir yang berpunca daripada pembangunan baharu dapat dielakkan.
Bagi kawasan yang sudah lama dibangunkan dan tidak mempunyai kemudahan tersebut, kerajaan mungkin perlu menggunakan peruntukan sendiri untuk melaksanakan kerja-kerja penyelesaian banjir.
POLITIK
Adakah keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menjadi tanda aras kepada kerjasama politik Melayu yang kini semakin mendapat perhatian?
Bagi saya, kita tidak sepatutnya menyalahkan orang Melayu kerana mahu bersatu. Perkara pertama yang perlu difahami adalah rakyat sudah hilang keyakinan terhadap kerajaan.
Kerjasama antara parti Melayu dan Barisan Nasional (BN) berlaku kerana rakyat sedang mencari penyelesaian terhadap masalah yang mereka hadapi. Jangan terus mengatakan orang Melayu bersatu semata-mata kerana mahu memilih kerajaan berdasarkan kaum.
Isunya adalah rakyat sudah tidak berpuas hati dengan kerajaan dan mahu mencari jalan untuk mengubah keadaan. Apabila rakyat mencari penyelesaian, sebahagian melihat perpaduan orang Melayu sebagai salah satu jalan.
Pemimpin sepatutnya menggalakkan perpaduan, bukannya mempersoalkan mengapa orang Melayu mahu bersatu.
Keputusan PRN Johor, Melaka dan Negeri Sembilan sebelum ini juga memperlihatkan perkembangan sokongan politik yang perlu diberikan perhatian.
Kita tidak sepatutnya menyalahkan pengundi muda atau mana-mana kelompok. Sebaliknya, pemimpin perlu melihat semula prestasi dan pendekatan kerajaan.
Selepas menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr. menyertai Parti Wawasan Negara (Wawasan). Mengapa?
Saya baru sertai Wawasan dalam bulan lapan lalu. Antara faktor sebab pemimpin dalam gabungan ini mengutamakan khidmat rakyat. Ada personal touch.
Tidak sebagaimana parti lain termasuk PKR, atau Bersama. Masuk kampung orang hendak bertanding, tapi Bersatu tiada benda itu (personal touch).
Malah ada yang asyik bergaduh sesama sendiri dan terus menerus memecat orang. Lagipun saya lihat Bersatu sudah hilang arah. – Mingguan Malaysia











