Jurutera ubah bangkai pesawat jadi kubu perlindungan perang - Utusan Malaysia

Jurutera ubah bangkai pesawat jadi kubu perlindungan perang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEORANG jurutera England menghasilkan projek unik dengan menanam bangkai pesawat Boeing 737 dibelinya menerusi Facebook pada harga 4,000 pound (RM21,660) di halaman belakang rumahnya untuk dijadikan ruang hiburan bawah tanah yang turut berfungsi sebagai kubu perlindungan ketika perang.

Badan pesawat seberat tiga tan milik syarikat penerbangan Bmibaby jenis Boeing 737-500 itu menjadi tambahan terbaharu kepada kompleks kubu bawah tanah yang dibina oleh jurutera, Dave Billings, 45, sejak beberapa tahun lalu di kediamannya di Hilton, Derbyshire.

Diilhamkan daripada filem klasik Perang Dunia Kedua, The Great Escape, projek bernilai 50,000 pound (RM270,729) itu dilengkapi rangkaian terowong, bilik rahsia dan pintu masuk tersembunyi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Rakaman video tular memaparkan sekumpulan pembantu menggunakan peralatan khas untuk menurunkan badan pesawat gergasi itu secara perlahan-lahan ke dalam lubang yang disediakan.

Billings menganggarkan tempat perlindungan bawah tanah itu mampu menampung keperluan keluarganya sehingga tiga bulan sekiranya Perang Dunia Ketiga tercetus.

Bagi melengkapkan kemudahan berkenaan, beliau merancang memasang ruang lif tersembunyi di dalam pondok telefon awam berwarna merah untuk membawa pengunjung turun ke ruang pesawat yang ditanam itu.

Jurutera berkenaan berkata, anak lelakinya, Oliver berusia lapan tahun yang meminati pesawat, menyokong projek luar biasa itu sejak awal, namun beliau perlu mengambil masa lebih lama untuk meyakinkan isterinya, Beth.

“Beth pernah mempersoalkan mengapa saya membelanjakan wang untuk membeli pesawat lama dan menganggapnya sebagai barang lusuh, tetapi kini dia mula menerima idea ini.

“Tujuan utamanya adalah untuk berseronok serta menyediakan tempat untuk kami mengadakan parti dan berehat, tetapi ia juga boleh dijadikan tempat perlindungan daripada kesan letupan nuklear,” katanya.

Menurut Billings, langkah seterusnya adalah menimbus badan pesawat itu menggunakan lapisan konkrit dan tanah setebal kira-kira 76 sentimeter.

Beliau berkata, kemudahan itu akan dilengkapi bekalan elektrik dan air, selain panel solar yang dipasang di bahagian atas serta telaga tiub bagi mendapatkan sumber air.

“Tandas pesawat akan diubah suai supaya boleh digunakan dan disambungkan kepada tangki septik kami. Struktur itu juga akan mempunyai sistem pengudaraan sendiri.

“Bergantung kepada jumlah bekalan makanan yang disimpan, kami boleh hidup tanpa bergantung kepada bekalan luar untuk tempoh yang lama jika perlu,” katanya.

Walaupun dilengkapi pelbagai kemudahan untuk menghadapi situasi kecemasan, Billings menegaskan tujuan utama pembinaan kubu itu hanya sekadar suka-suka.

“Jika saya benar-benar seorang yang membuat persediaan menghadapi bencana, saya pasti akan menghentikan semua perkara lain untuk menumpukan perhatian kepada projek ini.

“Saya melakukan semua ini kerana ia menarik dan saya menikmatinya. Namun, projek kali ini lebih menarik kerana mempunyai fungsi tersendiri.

“Jika keadaan semakin buruk dan tempat ini diperlukan, saya boleh mempercepatkan kerja pembinaannya, tetapi saya tidak fikir sesiapa akan mengebom kawasan Derbyshire Dales,” katanya.

Projek luar biasa itu turut didokumentasikan menerusi saluran YouTube miliknya, Tornado Dave dan dijangka siap menjelang Februari tahun depan.

“Beth menetapkan projek ini mesti disiapkan sebelum ulang tahun perkahwinan kami yang ke-10. Jadi, saya mempunyai tarikh akhir yang perlu dipatuhi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini