BAGI Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota di bawah Parlimen Parit di Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad, khidmat kepada masyarakat bukan sekadar tanggungjawab sebagai wakil rakyat, sebaliknya kesinambungan hubungan yang telah dibina sekian lama di kawasan yang menjadi tempat beliau mencari rezeki dan berbakti.
Berbekalkan pengalaman sebagai doktor perubatan dan penglibatan dalam politik, Dr Najihatussalehah, 60, menjadikan kebajikan penduduk sebagai antara tumpuan utama sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan itu.
Kedudukannya sebagai pengamal perubatan yang mengusahakan klinik sendiri di pekan Bota Kanan turut memberikan ruang untuk beliau mengenali masyarakat setempat dengan lebih dekat, selain memahami pelbagai cabaran yang dihadapi penduduk, khususnya berkaitan kos sara hidup.
Hubungan itu menjadi antara sebab beliau selesa bertanding di DUN Bota pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022, yang menyaksikan beliau dipilih sebagai wakil rakyat.
“Saya suka bila bertanding DUN Bota sebab saya mempunyai klinik di sini. Saya pernah berkhidmat di Hospital Changkat Melintang di Bota dan ramai mengenali saya dalam kalangan masyarakat Bota,” katanya.
Sebelum memenangi kerusi DUN Bota, beliau telah beberapa kali menyertai pilihan raya sejak 2008, bermula dengan bertanding di Parlimen Parit, diikuti DUN B
elanja pada 2013, sebelum kembali bertanding di Parlimen Parit pada 2018.
Beliau memperoleh ijazah perubatan dari Universiti Malaya (UM) pada 1992 sebelum memulakan perkhidmatan di Hospital Kuala Lumpur dan kemudiannya ditempatkan sebagai pegawai perubatan di Hospital Changkat Melintang, Bota. Bagaimanapun, tempoh perkhidmatannya dalam sektor kerajaan tidak panjang apabila beliau mengambil keputusan meletakkan jawatan.
Selepas itu, beliau pernah berkhidmat bersama bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali, yang juga bekas Ahli Parlimen Bagan Serai, sebelum membuka klinik sendiri di Bota Kanan.
Bota bukan sekadar lokasi beliau menjalankan perniagaan, malah mempunyai hubungan peribadi yang tersendiri. Walaupun dilahirkan di Kampung Pasir Kubu pada November 1966, kawasan itu sudah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidupnya sejak sekian lama.
Kampung Pasir Kubu ketika itu berada dalam kawasan Pulau Tiga, yang termasuk dalam Parlimen Parit sebelum perubahan kawasan pentadbiran dan persempadanan politik. Bapanya berasal dari Semanggol, manakala ibunya berasal dari kawasan Bota.
Latar belakang keluarganya turut mempengaruhi perjalanan pendidikan beliau. Pendidikan awal dari tadika hingga Darjah Enam dilalui di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), sebelum beliau kerap berpindah mengikut penempatan bapanya yang bertugas sebagai guru di beberapa kawasan, termasuk Batu Gajah, Parit dan Semanggol.
Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di Sekolah Raja Perempuan Taayah, Ipoh, sehingga Tingkatan Tiga sebelum memperoleh tawaran ke sekolah berasrama penuh selepas menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP).
Beliau kemudian menyambung persekolahan di Sekolah Agama Wilayah Persekutuan, yang kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu. Menurutnya, beliau antara kumpulan perintis yang mengikuti pengajian di sekolah berkenaan.
Pengalaman membesar dalam keluarga pendidik dan melalui kehidupan di beberapa kawasan memberikan latar belakang tersendiri kepada beliau sebelum menceburi bidang perubatan, seterusnya politik dan khidmat masyarakat.
Dalam menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat, Dr. Najihatussalehah sebelum ini mengadakan program hari bertemu rakyat sebulan sekali bagi mendengar aduan penduduk serta mengenal pasti bentuk bantuan yang diperlukan.
Antara masalah yang sering dibangkitkan adalah kos sara hidup, termasuk keluarga yang kehabisan bekalan beras, tidak mencukupi wang untuk perbelanjaan anak-anak, kesukaran membayar bil air dan kos menampung perjalanan ke hospital.
“Kita dengar macam-macam aduan mengenai masalah yang biasa dihadapi masyarakat kampung. Dengan sumber peruntukan yang diberikan kerajaan, walaupun sedikit, saya cuba menguruskannya dengan sebaik mungkin dan mengagih-agihkan bantuan.
“Tak dapat beri semua, jangan tinggal semua. Itu prinsip saya. Saya usahakan untuk memberi bantuan, sekurang-kurangnya tidak mengecewakan mereka yang datang mengadu masalah,” katanya.
Selain bantuan keperluan harian, beliau turut memberi perhatian kepada peniaga kecil menerusi sumbangan khemah perniagaan. Setakat ini, lebih 100 penerima mendapat manfaat daripada inisiatif berkenaan, manakala lebih 20 orang menerima bantuan itu pada tahun ini sahaja.
Sejak April lalu, beliau memperkenalkan program Baucar Berkat sebagai pendekatan alternatif kepada pemberian barangan keperluan. Melalui program itu, 40 baucar bernilai RM50 setiap satu disediakan, dengan jumlah penerima boleh ditambah sehingga 60 orang bergantung pada keperluan dan peruntukan.
“Kaedah baucar membolehkan penerima memilih sendiri barangan yang diperlukan, selain memastikan bantuan dapat dinikmati secara bergilir,” katanya.
Dengan lebih 30,000 pengundi di DUN Bota dan sebahagian besar penduduk terdiri daripada golongan berusia bawah 40 tahun, Dr. Najihatussalehah turut memberi perhatian kepada keperluan anak muda, termasuk yang bekerja dalam sektor ekonomi gig.
Di Bandar Seri Iskandar, misalnya, beliau mendekati pekerja e-hailing menerusi program bersama dan sumbangan pada bulan Ramadan. Pendekatan itu sebagai usaha untuk terus mendampingi masyarakat pelbagai peringkat umur, daripada keluarga yang berdepan tekanan kewangan hingga golongan muda yang mencari sumber pendapatan. – Mingguan Malaysia











