SETIAP kali pilihan raya pelbagai janji dan harapan diberikan oleh parti politk dan pemimpinnya untuk meraih undi dengan mengemukakan manifesto.
Dalam politik, manifesto bermaksud kenyataan bertulis atau senarai janji oleh sesebuah parti politik atau calon pilihan raya bagi menerangkan hala tuju dan perancangan jika mereka menang. Ia menawarkan idea-idea baharu untuk membangunkan sesuatu kawasan, negeri atau negara. Matlamat utamanya adalah untuk meraih undi.
Manifesto diambil daripada perkataan Itali manifestum yang membawa maksud jelas atau terserlah. Ia mula digunakan di dalam bahasa Inggeris pada tahun 1620 dalam karya berjudul History of the Council Trento.
Ramai pengundi akan teruja apabila mendengar atau membaca manifesto parti politik kerana selalunya ia disaluti dengan janji-janji manis tetapi tidak kurang juga kecewa apabila janji hanya tinggal janji apabila parti politik ini memenangi pilihan raya dan mendapat kuasa.
Dari sudut perundangan adakah manifesto ini boleh dituntut pengundi sekiranya mereka memenangi pilihan raya?
Di luar negara, dalam kes Indira Nehru Gandhi vs Shri Raj Narain & Anr, Mahkamah Agung India menyatakan bahawa prinsip pilihan raya yang bebas dan adil adalah struktur asas di dalam perlembagaan. Pilihan raya mestilah dijalankan dengan adil dan bebas, selain itu, jika berlaku sebaliknya ia meruntuhkan struktur asas sesebuah perlembagaan.
Di dalam kes Subraminam Balaji v. State of Tamil Nadu & Others (2013), mahkamah mengarahkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya membuatkan garis panduan tentang manifesto. Setelah berbincang dengan parti-parti politik maka dipersetujukan bahawa manifesto bukanlah dianggap sebagai perbuatan rasuah di bawah undang-undang pilihan raya di sana.
Manifesto tidak wujud dalam mana-mana undang-undang, oleh itu ia tidak boleh dipaksa untuk ditunaikan oleh parti politik.
Malaysia juga tidak dapat lari daripada janji-janji daripada parti politik. Pelbagai manifesto dibuat demi meraih undi pengundi semasa tempoh berkempen.
Dalam hal ini, Mahkamah Rayuan juga telah diajukan dengan persoalan sama berkenaan janji-janji di dalam manifesto yang tidak ditunaikan. Di dalam Kes Kerajaan Negeri Selangor lawan Murtini Kasman yang mana semasa Pilihan Raya Umum 2008, gabungan Pakatan Rakyat mengeluarkan manifesto kempen sekiranya dipilih di Selangor, Kerajaan Negeri akan memberi elaun kepada setiap ibu tunggal di Selangor. Bagaimanapun, setelah diberi kuasa, Kerajaan Negeri tidak memperkenalkan skim elaun itu.
Pada 2012, responden yang terdiri daripada ibu-ibu tunggal di Selangor, memfailkan guaman di Mahkamah Tinggi terhadap Kerajaan Negeri dan Menteri Besar Selangor atas alasan perayu-perayu gagal mengotakan manifesto pilihan raya.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa manifesto bukanlah satu janji suci. Ia bukanlah dibuat oleh kerajaan tapi oleh parti politik manakala kerajaan dan parti politik adalah entiti berbeza.
Mahkamah rayuan telah memetik satu kes di luar negara, Bromley London Borough Council v. Greater London Council (1982) 1 All ER 129. Dalam kes itu, antaranya Lord Denning berkata: “Dalam memberikan pertimbangan sedemikian kepada manifesto tersebut, saya berpendapat majoriti ahli majlis berada di bawah satu tanggapan yang sangat keliru.
“Mana-mana manifesto yang dikeluarkan parti politik bertujuan mendapatkan undi, tidak boleh dianggap sebagai kitab suci. Ia tidak boleh dianggap sebagai suatu bon yang ditandatangani, dimeterai dan diserahkan. Ia selalunya mengandungi janji-janji atau cadangan-cadangan yang langsung tidak boleh dilaksanakan atau mustahil untuk dicapai.
“Sangat sedikit dalam kalangan pengundi yang membaca keseluruhan manifesto itu. Sebilangan besar hanya mengetahuinya daripada apa yang mereka baca di akhbar atau dengar di televisyen. Ramai yang tidak tahu langsung tentang apa yang terkandung di dalamnya. Apabila mereka pergi ke pusat pengundian, tiada seorang pun yang mengundi demi manifesto tersebut.
“Sesetengah pengundi mungkin dipengaruhi oleh satu cadangan. Yang lain oleh cadangan lain. Ramai yang langsung tidak dipengaruhi olehnya. Mereka mengundi untuk sesebuah parti dan bukannya untuk manifesto.
“Saya tidak ragu-ragu bahawa dalam kes ini ramai pembayar cukai kadar (ratepayers) mengundi Parti Buruh walaupun, khusus untuk perkara ini sahaja, ia bertentangan dengan kepentingan mereka. Dan begitu juga sebaliknya.
“Pada pandangan saya, tiada parti yang boleh atau patut mendakwa mendapat mandat dan komitmen bagi mana-mana satu perkara dalam manifesto yang panjang. Apabila parti itu memegang kuasa, ia patut mempertimbangkan semula mana-mana cadangan atau janji atas wajar (merits) tanpa terpaksa untuk menepatinya atau terikat kepadanya. Ia sepatutnya mempertimbangkan apa yang terbaik untuk dilakukan dalam keadaan kes tersebut dan melaksanakannya jika ia praktikal dan adil.”
Di dalam kes Regina v. Liverpool Corporation, Ex Parte Liverpool Taxi Fleet Operators’ Association & Anor (1972), mahkamah menyatakan janji politik itu tidak mempunyai apa-apa nilai.
Di dalam kes Kerajaan Negeri Selangor adalah kali pertama mahkamah di Malaysia mendengar pencabaran mengenai manifesto. Oleh itu, manifesto bukanlah satu janji dan kitab suci masih terpakai di dalam keadaan isu ini di Malaysia.
Malah jika menentukan sama ada suatu aku janji oleh kerajaan merupakan satu kontrak yang mengikat dari segi undang-undang yang boleh dikuatkuasakan di mahkamah atau sekadar satu kenyataan dasar atau satu kewajipan kerajaan yang tidak boleh diadili (not justiciable),
Adalah perlu untuk mengenalpasti daripada keadaan sekeliling dan peruntukan-peruntukan berkaitan sama ada aku janji itu adalah untuk manfaat satu kelas masyarakat yang terhad atau untuk manfaat awam secara keseluruhannya.
Jika ia adalah untuk manfaat yang kedua itu, ia tidak boleh diadili seperti dalam kes Iskander Gayo & Ors v. Datuk Joseph Pairin Kitingan & Ors (1996).
Namun demikian menjadi tanggungjawab parti-parti politik berdasarkan prinsip pilihan raya yang adil dan saksama agar tidak menabur janji-janji yang tidak dapat dipenuhi demi meraih undi untuk mendapatkan kuasa.
Datuk Syed Azimal Amir Abu Bakar ialah Pengamal Undang-undang.











