Selepas penamaan calon, pertarungan sebenar bermula - Utusan Malaysia

Selepas penamaan calon, pertarungan sebenar bermula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Berakhirnya proses penamaan calon semalam menandakan bermulanya secara rasmi persaingan politik dalam pesta demokrasi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Segala percaturan mengenai pemilihan calon, pembahagian kerusi dan kerjasama antara parti kini beralih kepada cabaran sebenar iaitu meyakinkan pengundi.

Tempoh kempen selama dua minggu ini akan menguji kemampuan setiap gabungan menggerakkan jentera, mempertahankan kawasan tradisi dan menawarkan kepimpinan yang dipercayai rakyat. PRN Melaka kali ini bukan sekadar menentukan kerajaan negeri, malah menjadi medan menilai kekuatan kepimpinan, peranan isu tempatan dan dinamika kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Memuatkan artikel berkaitan…

Barisan Nasional (BN) memasuki PRN Melaka ke-16 sebagai penyandang kerajaan negeri selepas memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN pada 2021. Pengalaman mentadbir, rekod pembangunan dan kekuatan akar umbi menjadi kelebihan BN. Namun gabungan ini perlu berwaspada kerana pengalaman penyandang kerajaan dalam PRN Negeri Sembilan dua bulan lalu perlu dijadikan iktibar bahawa strategi politik perlu dicatur berdasarkan perkembangan politik semasa.

Keputusan mengetengahkan lapan calon baru, termasuk menggugurkan beberapa penyandang, anggota Exco dan bekas Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali, mencerminkan usaha pembaharuan kepimpinan. Bagaimanapun langkah ini menuntut pengurusan dalaman yang cermat dan berhati-hati bagi mengelakkan rasa tidak puas hati menjejaskan gerak kerja kempen.

Kelebihan utama BN adalah kepimpinan Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri yang membolehkan pencapaian pentadbiran negeri dijadikan asas persaingan politik. Pemimpin muda seperti Dr. Akmal Saleh, Mohd. Noor Helmy Abdul Halem dan Dira Abu Zahar turut berpotensi mendekati pengundi muda.

Namun, ketegangan dengan MCA berhubung pembahagian kerusi tidak boleh dipandang ringan meskipun MCA akhirnya akur dengan keputusan pucuk pimpinan BN dan kepimpinan BN masih perlu meneruskan usaha untuk memulihkan kesan krisis tersebut bagi memastikan kelancaran jentera pilihan raya.

Pakatan Harapan (PH) pula perlu mempertahankan lima kerusi DUN sedia ada sambil menembusi kawasan separa bandar dan luar bandar. Penampilan 13 muka baru membuka ruang pembaharuan, namun PH perlu segera membina keyakinan pengundi. Pengekalan Adly Zahari di Bukit Katil mencerminkan kesinambungan kepimpinan walaupun PH masih berdepan cabaran menandingi pengaruh Ab Rauf sebagai ‘poster boy’ utama Melaka.

Pendekatan PH yang lebih selektif dalam pertambahan kerusi turut menggambarkan pengiktirafan terhadap kekuatan lawan. Kerusi panas seperti Bukit Katil, Durian Tunggal, Klebang dan Machap Jaya wajar diberikan perhatian kerana faktor calon dan corak sokongan setempat. PH juga perlu menghubungkan isu nasional dengan tuntutan tempatan untuk mendekati pengundi atas pagar.

Di sebalik kerjasama politik BN dengan PH dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, BN memilih arus yang bertentangan dengan meneruskan kesinambungan strategi dengan Pas/PN melalui formula pembahagian 21 dan tujuh kerusi yang berpotensi melonjakkan peralihan undi Melayu dan mengubah sepenuhnya corak persaingan.

Namun, pemindahan sokongan antara dua penyokong parti ini tidak berlaku secara automatik kerana kebarangkalian pengundi Pas keseluruhannya menyokong calon BN adalah mustahil, begitu juga sebahagian penyokong UMNO terhadap calon Pas.

Justeru, kekuatan kerjasama tersebut hanya dapat diukur apabila jentera kedua-dua pihak benar-benar bekerja bersama manakala persetujuan pemimpin semata-mata tidak memadai tanpa kesediaan anggota akar umbi menerima calon dan memobilisasi pengundi sehingga hari pengundian.

Kehadiran Bersatu menambahkan dimensi baru dalam persaingan PRN Melaka ke-16, khususnya apabila PH memberi laluan kepada parti itu untuk bertanding di tujuh kerusi DUN.
Kerjasama ini memperlihatkan perubahan percaturan politik apabila Bersatu berusaha membina semula pengaruhnya selepas berdepan pelbagai kemelut dalaman dan perubahan hubungan politik di peringkat nasional.

Namun, cabaran utama Bersatu adalah untuk membuktikan kekuatan jentera akar umbi, penerimaan pengundi terhadap calon yang diketengahkan serta kemampuan menarik sokongan pengundi Melayu yang menjadi asas persaingan politiknya. Keputusan bertanding dengan kerjasama PH turut menguji sejauh mana penyokong kedua-dua parti dapat menerima perubahan hubungan politik tersebut, khususnya selepas pernah berada di pihak yang bertentangan.

Justeru, PRN Melaka kali ini bukan sekadar medan perebutan kerusi bagi Bersatu, tetapi juga menjadi ujian penting terhadap hala tuju, kekuatan organisasi dan kerelevanan parti itu dalam landskap politik baru.

Secara keseluruhannya, BN memasuki gelanggang PRN Melaka ke-16 dengan kelebihan sebagai penyandang kerajaan negeri, PH berusaha memperluas pengaruh, manakala Pas dan Bersatu menguji kekuatan masing-masing dalam landskap politik Melaka yang semakin dinamik.

Namun, sejarah pilihan raya membuktikan bahawa kelebihan politik dan kekuatan jentera semata-mata bukanlah jaminan kemenangan. Penamaan calon hanyalah permulaan kepada persaingan sebenar yang bakal menguji kewibawaan calon, keberkesanan strategi kempen dan kemampuan setiap parti memahami denyut nadi rakyat.

Akhirnya, rakyat Melaka dalam pilihan raya negeri kali ini bukan sekadar memilih parti atau calon tetapi menentukan corak kepimpinan dan hala tuju negeri untuk lima tahun akan datang.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya.  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini