“AKAK tidak berapa ingat apa yang terjadi sepanjang tiga tahun itu, semuanya samar-samar,”
DEMIKIAN kata pelakon Jun Lojong selepas sesi fotografi yang hanya mengambil masa kira-kira 15 minit, menjadikannya sesi paling pantas pernah kami lakukan. Semuanya berlangsung mudah, Jun atau Junainah M. Lojong, 47, tahu memberi gaya dan persona yang diperlukan untuk penghias wajah Pancaindera.
Jun yang selesa disapa sebagai Kak Jun menyedut kopi ais sambil mengerling saya beberapa kali. Berseloroh seakan sudah mengagak temu bual ini mahu menggali isi hatinya selepas sebuah protes di media sosial daripada peminat filem Polong dan Khadam, susulan tidak puas hati namanya gagal lolos dalam kalangan lima terbaik Festival Filem Malaysia ke-35. Saya terkekeh tidak menafikan.
Namun, siapa sangka temu bual kami berlangsung lebih lama, Jun berkongsi sebuah cerita lebih besar, sangat dalam berbanding kemelut FFM35 yang dibincangkan ramai orang. Bermula dengan soalan pembuka, bagaimana dunia lakonan sampai kepadanya? Jun yang juga isteri kepada pengarah, Nam Ron mendedahkan rahsia ketika dirinya berusia awal 30-an, dilanda sakit selama tiga tahun.
Dia berkata kepada orang ramai bahawa semua itu ‘depresi’ membuatnya ulang-alik ke hospital mendapatkan rawatan. Namun juga tidak menafikan ada unsur misteri, mistik kerana kelakuannya sangat aneh ketika itu.
“Kawan abang Nam Ron yang cakap nampak sesuatu, ada orang hantar ‘benda’ kepada akak. Ketika itu akak tidak ingat banyak benda, cuma apa yang akak ingat ada suara-suara cakap akak teruk.
Bisik perkara negatif ‘Kau nak buat apa lagi?’, ‘Kau dah tak ada apa-apa’, sampai pernah terfikir nak ambil pisau di dapur tapi abang simpan semua. Peliknya, ada suara bisik beritahu pisau itu di mana tempat abang simpan atas almari.
“Abang juga cerita ketika itu, dia balik kerja nampak akak selalu duduk dekat sudut bilik menangis. Tak makan. Kadang tak bangun. Sampai akak abaikan anak, ketika itu umurnya dalam tiga tahun, duduk bawah meja bertepung. Habis badan penuh tepung warna putih, mungkin dia lapar agaknya.
“Sampai sekarang bila memikirkan itu, akak sangat sedih. Itu satu-satunya perkara yang akak sesalkan, anak terabai. Tapi akak sungguh tak ingat apa-apa ketika itu,” Jun menangis, dadanya berombak. Saya memberikannya masa mengumpul kekuatan.


Tambah Jun yang juga pernah memenangi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, FFM3, Nam Ron mengambil keputusan mengunci mulut mengenai peristiwa aneh melanda Jun. Perkara itu hanya diketahui kawan terdekat selebihnya hanya ‘Jun depresi sebab proposal master ditolak’.
“Menurut abang, ada suatu masa kelakuan akak mula aneh. Dia bawa balik mi, akak makan dua tangan macam sangat lapar sambil mata buntang. Bila renjis air penawar, mata akak merah macam tengah marah.
“Pernah dia bawa ustaz datang rumah, kak Jun ingat masa itu tiba-tiba rasa nak mandi pergi hospital. Sedangkan sebelum itu nak bangun pun tidak larat dan tak mahu jumpa sesiapa.
“Rupanya ustaz ada di ruang tamu, bila ustaz pegang akak, mulalah histeria dan meracau. Bila ustaz ‘buang’ baru akak sedar, macam baru bangun tidur dan tak ingat apa-apa,” katanya. Hasil rawatan ke psikiatri dan rawatan alternatif kemudian perlahan-lahan mengeluarkan Jun dari kehidupan lamanya.

Malah, Jun juga mengambil nasihat psikiatri untuk meninggalkan kehidupan lama dan fokus kepada ‘diri’ baharu dengan meninggalkan keinginan memiliki ‘master’, kumpulan kawan lama dan bertemu orang baharu.
“Selepas itu pengarah, Tunku Mona pujuk saya berlakon dalam filem Redha, awalnya akak tidak mahu. Tapi dia kata sanggup tunggu sampai akak bersedia, akhirnya itulah titik tolak akak serius berlakon dan menganggap ia sebagai ‘escapism’ buat diri dan sesi pemulihan.
“Siapa sangka filem itu juga membuatkan akak memenangi Pelakon Wanita Terbaik di Manila,” katanya. Oleh itu, bagi Jun, menang anugerah atau tidak bukanlah perkara yang menjadi buruannya.
“Walau sudah menang anugerah, tawaran berlakon tetap susah nak dapat, industri berpegang kepada jumah pengikut di media sosial. Akak pula hanya ada 2,000 pengikut di media sosial. Tapi akak tak salahkan mereka, ini memang trend sekarang.
“Tapi akak tak mahu ‘jual diri’ dengan kandungan mengarut. Biarlah orang kenal akak dengan nama watak. Sampai hari ini orang panggil nama Kak Ma atau Maria Hadi dalam cerita Polong pun tidak mengapa,” katanya.
Lakonan bukanlah asing bagi Jun, malah dia sudah beberapa kali terlibat dalam teater sejak di Akademi Seni Kebangsaan yang kini dipanggil ASWARA. Walaupun Jun merupakan pelajar seni tari, namun dia aktif terlibat dalam pementasan yang turut menjadi detik pengenalannya dengan Nam Ron atau Shahili Abdan.

Pilih Nam Ron sampai akhir usia
Kata Jun, pada asalnya dia hanya menganggap Nam Ron sebagai ‘abang angkat’ sahaja. Maklumlah mereka sama-sama menjadi generasi awal semasa penubuhan ASWARA. Tambahan pula, Nam Ron semasa zaman muda dikenali sebagai ‘lelaki gila’. Namun itulah yang membuatnya jatuh cinta.
“Orang kreatif ini pelik dan tidak normal. Dulu dia akan bercakap dengan pokok dekat tangga. Pernah juga jalan kaki dari Wangsa Maju ke Keramat semata-mana nak jumpa akak. Katanya sepanjang jalan akan dapat banyak idea.
“Tapi karakter aneh dialah yang buat akak tertarik. Kami berdua tidak suka benda yang ramai orang suka. Itulah jodoh namanya. Dulu dia selalu kacau akak, pernah mahu berkelahi dengan bekas kekasih akak, sangat drama.
“Selepas kenal tujuh tahun, kami selesa berkawan dan pilih untuk berkahwin. Kami berdua orang yang setia. Kalau Nam Ron orangnya, sampai bila-bila akak akan pilih dia. Akak percaya dia juga sama,” katanya menutup temu ramah dengan mata bercahaya. Jun kemudian mengerling telefon bimbit.
“Oh, abang sudah sampai di bawah (lobi). Hari ini dia ambil akak pulang kerja. Akak beransur dulu ya,” katanya girang, tersenyum manis lagaknya seperti semalam baru dilamun cinta.











