Memperkasa kerjasama ekonomi Islam di persada antarabangsa - Utusan Malaysia

Memperkasa kerjasama ekonomi Islam di persada antarabangsa

Bank Pembangunan Islam merupakan antara institusi yang diwujudkan bagi membantu pembangunan ekonomi negara-negara Islam. – GAmbar HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Walaupun umat Islam merangkumi kira-kira 25 peratus daripada jumlah penduduk dunia, sistem ekonomi Islam masih belum mendapat tempat yang sewajarnya, termasuk di negara-negara Islam sendiri. Sistem ekonomi kapitalis masih diamalkan secara meluas di banyak negara Islam.

Selain itu, amalan sistem ekonomi Islam yang ada pada masa ini masih tertumpu kepada bidang kewangan dan perbankan, manakala usaha menerapkan amalan berteraskan ekonomi Islam di luar sektor kewangan masih dalam proses pembangunan dan penambahbaikan (work in progress).

Di peringkat antarabangsa, usaha yang menitikberatkan amalan Islam dalam ekonomi sesebuah negara masih belum dipelopori secara meluas, walaupun Pertubuhan Kerjasama Islam (Organisation of Islamic Cooperation atau OIC) telah lama ditubuhkan. Bank Pembangunan Islam (Islamic Development Bank atau IDB) merupakan antara institusi yang diwujudkan dalam kerangka kerjasama OIC.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kita boleh perhatikan bahawa masih banyak bidang ekonomi yang perlu diusahakan untuk meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan kerjasama ekonomi Islam, khususnya di peringkat antarabangsa.

Pada masa ini, banyak bentuk kerjasama ekonomi antarabangsa dipelopori oleh institusi antarabangsa bukan Islam, seperti Bank Dunia dalam bidang pembangunan, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam bidang kestabilan kewangan dan pembayaran antarabangsa, serta Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dalam bidang perdagangan antarabangsa.

Begitu juga dengan pelbagai badan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau United Nations.

OIC pula masih kurang berkesan dalam menerajui kepentingan umat Islam, terutama setelah menyaksikan pelbagai peristiwa antarabangsa yang menimpa masyarakat Islam, seperti yang berlaku di Gaza, Bosnia, Sudan dan sebagainya.

Sesungguhnya, masih terbentang luas ruang kerjasama ekonomi antarabangsa yang boleh diterokai, khususnya dalam kalangan negara Islam, melangkaui bidang-bidang kerjasama yang telah dipelopori oleh institusi sedia ada seperti WTO, IMF, Bank Dunia dan lain-lain.

Antara bidang yang amat penting adalah industri halal, termasuk produk dan perkhidmatan halal seperti pelancongan dan perhotelan, serta bidang pembangunan sumber manusia dan modal insan.

Dalam bidang pembangunan modal insan dan bakat (talent development), memang terdapat banyak aspek yang boleh diperbaiki dan dimajukan secara bersama demi kepentingan ummah keseluruhannya.

Mungkin inilah antara sebab beberapa pemimpin negara Islam, termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad, menyokong penubuhan satu kumpulan yang dikenali sebagai Developing Eight (D-8) pada tahun 1997, hasil inisiatif Perdana Menteri Türkiye ketika itu, Prof. Dr. Necmettin Erbakan.

Kumpulan D-8 pada asalnya dianggotai oleh Malaysia, Indonesia, Bangladesh, Mesir, Nigeria, Pakistan, Türkiye dan Iran. Azerbaijan diterima sebagai anggota kesembilan pada Disember 2024 dan melengkapkan proses keanggotaan penuhnya pada Mac 2025, sekali gus memperluas kerjasama ekonomi dalam kalangan negara anggotanya.

Kumpulan D-8 mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai pemangkin kerjasama ekonomi yang lebih kukuh dan bermakna.

Ketua-ketua negara D-8 mengadakan sidang kemuncak setiap dua tahun, manakala mesyuarat Menteri Luar dan mesyuarat Pesuruhjaya (Commissioners) dilaksanakan mengikut jadual masing-masing. Mesyuarat Pesuruhjaya lazimnya diadakan dua kali setahun. Segala urusan pentadbiran dan penyelarasan D-8 dilaksanakan oleh sekretariatnya yang berpusat di Istanbul, Türkiye.

Seorang tokoh diplomat Malaysia yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Agung D-8 di Istanbul, Datuk Ku Jaafar Ku Shaari, telah berusaha mengaktifkan semula kumpulan ini agar kerjasama antara negara anggotanya menjadi lebih ketara dan bermakna sepanjang tempoh beliau menjawat jawatan tersebut.

Antara lain, beliau telah menggalakkan kerjasama antara sektor swasta dalam kalangan negara anggota D-8, selain memperkukuh kerjasama antara institusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta universiti di negara-negara berkenaan.

Dijangkakan bahawa tahap kerjasama dalam kalangan negara D-8 akan bertambah baik dan bidang-bidang kerjasama akan menjadi lebih luas pada masa hadapan.

Sebenarnya, kerjasama ekonomi, sosial dan politik dalam kalangan negara Islam, sama ada melalui D-8 mahupun OIC, memang perlu dipertingkatkan lagi supaya peluang pelaburan, perdagangan, latihan, pendidikan dan perkhidmatan dapat diperluas.

Dengan itu, manfaatnya dapat dinikmati oleh masyarakat secara keseluruhannya, khususnya golongan muda yang sentiasa memerlukan akses kepada teknologi dan peluang pekerjaan untuk membina kehidupan mereka.

Memandangkan cabaran ekonomi antarabangsa dan perkembangan geopolitik dunia, sumber pertumbuhan pendapatan dan peluang pekerjaan perlu dikaji serta diterokai daripada pelbagai sudut. Antara peluang yang boleh dimanfaatkan ialah kerjasama rentas sempadan (cross-border), khususnya antara negara-negara yang bersempadan.

Dasar-dasar awam, khususnya dasar ekonomi, mungkin boleh memberikan keutamaan kepada usaha ini bagi memudahkan aktiviti perniagaan rentas sempadan dijalankan dengan lebih cekap.

Antaranya termasuk mengurangkan perbezaan kadar cukai yang terlalu besar antara kawasan atau negara bersempadan. Perbezaan cukai yang ketara boleh mengundang kegiatan penyeludupan (smuggling) dan pengelakan cukai.

Selain itu, kebanyakan negara masih kurang menggunakan pertalian agama sebagai asas untuk meningkatkan kerjasama ekonomi antara negara kerana mereka lebih tertarik kepada faktor-faktor ekonomi tradisional dalam membentuk kerjasama serantau. Namun, jika dikaji secara terperinci, faktor agama sebenarnya mempunyai potensi tersendiri sebagai pemangkin kepada kerjasama ekonomi antara negara.

Misalnya, ibadah haji dan umrah serta lawatan ke Masjid Al-Aqsa membuka banyak peluang kerjasama dalam bidang penerbangan, perhotelan, pengangkutan dan pelbagai perkhidmatan berkaitan. Begitu juga dengan ramai pelancong dari Malaysia yang mengunjungi Türkiye untuk melihat peninggalan sejarah Empayar Uthmaniyah di sana.

Keadaan yang sama dapat dilihat melalui lawatan penganut Kristian ke Kota Vatican, serta lawatan ke India dan China untuk melihat peninggalan sejarah agama Hindu dan Buddha.

Penulisan ini mengutarakan cadangan agar kerjasama ekonomi antara negara-negara Islam perlu dipertingkatkan ke tahap yang lebih mendalam dan luas, melangkaui bidang-bidang biasa seperti perdagangan, pelaburan dan pelancongan.

Pendidikan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), teknologi serta kebudayaan sememangnya berpotensi untuk dijadikan asas kerjasama ekonomi antara negara Islam.

Untuk tujuan ini, pertubuhan D-8 yang mempunyai kira-kira 1.2 bilion penduduk serta jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) gabungan melebihi AS$5 trilion berpotensi menjadi pemangkin ke arah kerjasama yang lebih bermakna dan ketara.

Sebagai sektor yang lebih peka terhadap soal keuntungan, sektor swastalah yang patut dilibatkan dalam proses perundingan awal bagi mencari titik pertemuan bersama dalam usaha meningkatkan kerjasama ekonomi dalam kalangan negara-negara Islam.

Penelitian awal saya menunjukkan bahawa industri halal, termasuk sektor perbankan Islam, takaful dan makanan halal, berpotensi memainkan peranan penting dalam memperkukuh kerjasama ekonomi Islam di peringkat antarabangsa.

Sahabat saya, Bahrin Ayub, bersama syarikatnya, Kumpulan Hidayah, pernah meneroka peluang untuk membangunkan industri makanan halal di rantau Amerika Selatan.

Barangkali peluang ini wajar diterokai semula seiring dengan usaha memperluas jaringan kerjasama ekonomi Islam di peringkat global. Insya-Allah, usaha yang baik ini akan turut mendapat keberkatan-Nya.

Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob ialah Pengarah Eksekutif, MIER

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini