KUALA LUMPUR: Penyanyi, Shahir Zawawi memaklumkan semasa menerima panggilan untuk menyertai Gegar Vaganza musim ke-13 (GV13), dia diuji kecederaan kedua bahagian lutut yang agak serius.
Disebabkan itu, penyanyi berusia 38 tahun itu melakukan diet ekstrem untuk mengelakkan kecederaan lutut menjadi lebih teruk selain mengembalikan stamina sebelum bermula pertandingan nyanyian berkenaan .
“Berat saya sebelum ini 100 kilogram. Alhamdulillah, sekarang sempat menurunkan dalam 13 kilogram. Diharapkan saya dapat mengurangkan kira-kira 13 kilogram lagi untuk mendapatkan berat ideal.
“Saya melakukan diet ekstrem sebab kesannya cepat, tapi ada yang mengatakan ianya tidak bagus untuk kesihatan. Tapi, itu cara saya.
“Itu sebabnya bentuk fizikal saya tidak konsisten, ada masa besar, ada masa sedikit kecil. Saya harap sepanjang mengikuti Gegar Vaganza ini, saya dapat terus kurangkan berat badan.
“Saya juga perlu turunkan berat untuk mengelakkan kecederaan kaki. Perkara ini memberi semangat kepada saya untuk kurus,” kongsinya pada sidang media GV13 baru-baru ini.
Shahir berkata menjadi cabaran untuk dia mengurangkan berat badannya kerana sekarang ini dia sudah berumah tangga.
Namun, perkara itu tidak menjadi penghalang untuk dia mendapatkan berat badan ideal kerana dibantu program kawalan pemakanan ekstrem yang menampakkan kesan.
“Perkara itu tidak dapat dielakkan. Alhamdulillah, isteri, Jaskin Jaludin, menjaga makan minum saya dengan baik. Tapi ianya bukanlah sebab saya berisi kerana sebelum berkahwin, berat saya sudah begini.
“Tetapi selepas berkahwin, menjadi cabaran untuk saya kawal pemakanan kerana sebelum berumah tangga, makan dan minum saya tidak dijaga, jadi mudah untuk saya kawal berat badan.
“Apa pun, saya kena berusaha untuk dapatkan berat ideal supaya boleh beraksi dengan baik di pentas GV nanti,” kongsinya.
Bercakap mengenai pembabitan dalam GV13, pelantun lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu memaklumkan dia gemuruh apatah lagi pertandingan tersebut disertai bekas juara Akademi Fantasia.
“Saya pikul beban yang sangat besar. Bila masuk pertandingan, jangkaan penonton tinggi, mereka mahukan kelainan bukan sekadar menyanyi setiap lagu dalam versi asal.
“Tambahan pula, persembahan kami akan dijurikan golongan profesional. Jadi sepanjang pertandingan ini, akan ada persaingan sengit antara peserta,” katanya lagi.
GV13 bakal membuka tirainya lapan November ini dengan 13 bekas juara Akademi Fantasia berentap merebut kejuaraan.
Program berkenaan mengekalkan Nabil Ahmad, Sherry Alhadad dan Jihan Musa sebagai hos, manakala Datuk Ramli MS, Datuk Shafinaz Selamat dan Hetty Koes Endang selaku juri tetap.- UTUSAN











