Houthi nafi serang Mekah, Madinah seperti dakwaan Arab Saudi - Utusan Malaysia

Houthi nafi serang Mekah, Madinah seperti dakwaan Arab Saudi

SERPIHAN peluru berpandu jatuh di Mekah akibat tindakan pintasan Arab Saudi. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Kumpulan Houthi pada Sabtu menafikan menyasarkan Mekah dan Madinah, selepas pihak berkuasa Arab Saudi melaporkan tindakan menangani serpihan peluru yang jatuh susulan pemintasan di kawasan berkenaan.

“Apa yang disebarkan musuh (Arab) Saudi kononnya pasukan kami menyasarkan kawasan suci Mekah dan Madinah adalah satu pembohongan besar,” kata jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree.

Sebelum ini, serpihan daripada pemintasan dua peluru berpandu balistik yang dilancarkan Houthi dari Yaman yang disokong Iran jatuh di beberapa lokasi di barat Arab Saudi pada Sabtu, termasuk berhampiran kota suci Mekah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Peluru berpandu itu dipintas ketika menuju ke sasaran masing-masing, menurut jurucakap Pertahanan Awam Arab Saudi.

Sebahagian serpihan peluru berpandu itu jatuh di Wadi Al-Mughammas, yang terletak hanya 20 kilometer dari Masjidil Haram di Mekah, tempat paling suci bagi umat Islam.

Serpihan daripada pemintasan itu turut jatuh di kawasan kejiranan Al-Nuzha di Jeddah, Wadi Jalil di Taif dan Masturah di wilayah Rabigh, menurut jurucakap berkenaan.

Kenyataan itu tidak melaporkan sebarang kematian atau kecederaan mahupun butiran lanjut mengenai kerosakan.

Pasukan pakatan yang menyokong kerajaan Yaman yang sah sebelum itu memaklumkan pada Sabtu bahawa mereka memintas peluru berpandu balistik yang dilancarkan Houthi ke arah ibu negara Arab Saudi, Riyadh, Taif dan Yanbu.

Sebuah dron turut dipintas di wilayah Timur Arab Saudi pada awal Sabtu, menurut pakatan itu.

Houthi meningkatkan serangan terhadap Arab Saudi sejak beberapa minggu kebelakangan ini dengan menyasarkan lapangan terbang, infrastruktur tenaga dan lokasi awam.

Mereka turut melancarkan serangan ke arah dua lokasi paling suci bagi umat Islam, iaitu Mekah dan Madinah.

Majlis Ulama Kanan Arab Saudi minggu lalu mengecam serangan itu sebagai tindakan pencerobohan serius terhadap umat Islam.

Serangan paling dahsyat oleh kumpulan itu yang disokong Iran itu terhadap Arab Saudi berlaku pada 10 Oktober lalu apabila mereka menyerang Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, mengorbankan 13 orang dan mencederakan lebih 300 yang lain. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini