Pulau Pinang dilanda banjir kilat, insiden pokok tumbang

Pulau Pinang dilanda banjir kilat, insiden pokok tumbang

HUJAN lebat sejak petang semalam sehingga awal pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan di Seberang Perai dan sebelah pulau di Pulau Pinang dinaiki air.-IHSAN JBPM PULAU PINANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Hujan lebat sejak petang semalam dan berlarutan sehingga awal pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan di Seberang Perai dan sebelah pulau mula dinaiki air.

Selain itu, kejadian pokok tumbang juga dilaporkan berlaku di Balik Pulau akibat hujan lebat, namun, tidak ada sebarang kecederaan dilaporkan susulan kejadian tersebut.

Difahamkan juga, setakat pagi ini, belum ada penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, di Taman Cantek, Butterworth, sekurang-kurangnya 20 buah rumah terjejas akibat banjir kilat apabila air daripada parit berhampiran naik sehingga ke paras satu kaki, sejak tengah malam tadi.

Katanya, pemantauan berterusan oleh Pasukan Kawalan Operasi (PKO) bagaimanapun mendapati, air beransur surut di kawasan itu dan operasi ditamatkan kira-kira sejam kemudian.

“Pasukan bomba juga menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian banjir di Jalan Jelawat, Seberang Jaya kira-kira pukul 3.24 pagi tadi dan mendapati, air juga naik sehingga ke paras satu kaki sebelum surut tidak lama kemudian,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, John berkata, walaupun tidak ada mangsa yang terlibat dalam kejadian pokok tumbang di Balik Pulau, tetapi, insiden berkenaan telah menyebabkan sebahagian kecil struktur rumah serta satu unit kenderaan jenis Perodua Kelisa mengalami kerosakan.

KEADAAN pokok durian yang dilaporkan tumbang sehingga menghempap struktur sebuah rumah dan sebuah kenderaan di Balik Pulau, Pulau Pinang awal pagi ini.-IHSAN JBPM PULAU PINANG

Beliau berkata, pokok yang tumbang dikenal pasti sebagai pokok jenis durian yang berketinggian kira-kira 20 kaki dengan ukur lilit dianggarkan sepanjang 1.5 meter.

“Pihak bomba dengan kerjasama kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kemudian menjalankan kerja-kerja pemotongan dan pembersihan sisa pokok tumbang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya kira-kira pukul 2.43 pagi,” ujar beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini