KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berharap legasi ditinggalkan baginda akan merangkumi kemajuan, institusi yang kukuh dan keharmonian sosial, dengan kepentingan rakyat terus menjadi teras dalam pemerintahan baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah baginda akan menganggap pemerintahannya bermakna sekiranya generasi akan datang percaya bahawa baginda sudah menunaikan tanggungjawabnya dengan penuh amanah dan mengutamakan rakyat.
“Beta percaya sepanjang 25 tahun lalu, walaupun berlaku perubahan dalam kepemimpinan, kita sudah membina legasi institusi kukuh, keharmonian sosial, tadbir urus bertanggungjawab dan peluang untuk generasi akan datang,” titah baginda dalam wawancara khas bersempena dengan Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor.
Sultan Sharafuddin bertitah, bangunan dan infrastruktur mungkin berubah mengikut peredaran masa, namun nilai, kepercayaan dan perpaduan akan berkekalan lebih lama.
Ketika ditanya pesanan akan diberikan kepada generasi pemerintah dan pemimpin akan datang, baginda bertitah kepemimpinan mestilah sentiasa dianggap sebagai amanah.
“Sentiasalah ingat kepemimpinan ialah amanah. Dengar dahulu sebelum membuat keputusan, kekal merendah diri tidak kira sejauh mana kejayaan dikecapi, menjunjung Perlembagaan dengan penuh kesetiaan dan jangan sekali-kali melupakan rakyat yang menjadi tanggungjawab untuk kita berkhidmat kepada mereka,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin, bertitah rakyat Selangor kekal sebagai sumber inspirasi terbesar baginda.
“Melihat masyarakat mengharungi cabaran, golongan muda mencapai kejayaan dan keluarga membina masa depan lebih baik, mengukuhkan lagi komitmen beta untuk terus berkhidmat sebaik mungkin,” titah baginda.
Berkenaan nasihat akan diberikan kepada putera baginda, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, yang bakal menggantikan baginda sebagai Sultan satu hari nanti, Sultan Sharafuddin bertitah jawatan itu ialah tanggungjawab, bukannya keistimewaan.
“Jawatan sebagai Sultan bukanlah satu keistimewaan semata-mata, sebaliknya yang paling utama ialah amanah yang suci. Nasihat beta kepada Raja Muda ialah sentiasa ingat bahawa institusi diraja wujud untuk berkhidmat kepada rakyat dan menjunjung Perlembagaan dengan kebijaksanaan, keadilan dan integriti.
“Seorang pemerintah harus bersedia untuk lebih banyak mendengar daripada bercakap, mendapat nasihat daripada mereka mempunyai ilmu dan pengalaman serta membuat keputusan berlandaskan kepentingan negeri dan rakyatnya, bukannya kepentingan peribadi.
“Akan ada masanya apabila pilihan yang sukar perlu dibuat, dan ketika itulah keperibadian serta keteguhan pendirian amat penting,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin turut mengimbau kembali peristiwa pada 13 Mei 1969, ketika baginda berusia 22 tahun dan bergelar Raja Muda, manakala ayahanda baginda, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah berada di luar negara.
“Ketika itu, beta masih muda dan seorang Pemangku Raja, tetapi beta terpaksa menjadi matang dengan cepat. Mujurlah beta dapat bergantung pada pemimpin lebih berusia dan bijaksana untuk mendapatkan nasihat,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah, baginda akan mengingatkan Tengku Amir Shah bahawa Selangor ialah kediaman bagi rakyat yang mempunyai pelbagai latar belakang, agama dan budaya.
“Seorang Sultan mesti menjadi lambang perpaduan untuk semua, dengan melayani setiap rakyat dengan penuh belas kasihan, bermaruah dan tidak berat sebelah,” titah baginda.
Meskipun teknologi dan inovasi terus berkembang, baginda bertitah prinsip tertentu mesti kekal utuh: integriti, kerendahan hati, penghormatan terhadap institusi dan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap khidmat kepada rakyat.
“Sentiasalah merendah diri dalam tingkah laku, pemilihan kata-kata dan tindakan,” titah baginda sambil menambah tiada pemerintah yang mampu mencapai kejayaan secara bersendirian.
Baginda bertitah, kekuatan institusi beraja terletak pada kepercayaan rakyat.
Sultan Sharafuddin menzahirkan kepercayaan bahawa Tengku Amir Shah akan berkhidmat dengan cemerlang untuk Selangor, di samping menaruh keyakinan terhadap masa depan negeri itu.










