Kemasukan 3,200 babi cetus persoalan patuh titah Sultan Selangor

Kemasukan 3,200 babi cetus persoalan patuh titah Sultan Selangor

SEJUMLAH babi dikesan dipindahkan dari sebuah kapal dan dimasukkan ke dalam lori di Pelabuhan Klang, Klang, Selangor baru-baru ini. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Pematuhan terhadap titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkaitan bekalan daging babi di negeri ini menimbulkan persoalan apabila sebanyak 3,200 ekor babi hidup didakwa dibawa masuk ke negeri ini pada setiap bulan sejak bulan Julai lalu.

Perkara itu menimbulkan pertikaian apabila Sultan Sharafuddin pada Februari dan Mei lalu juga bertitah hanya daging babi sahaja yang dibawa masuk sebagai bekalan bagi memenuhi permintaan dalam kalangan masyarakat bukan Islam.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Pelabuhan Klang, Abdul Rahman Kachil berkata, kira-kira 800 ekor babi hidup dibawa masuk dari Kuching, Sarawak ke Pelabuhan Klang setiap minggu sejak Julai lalu dengan menggunakan kapal sebelum dihantar ke sebuah premis dipercayai menjadi pusat penyembelihan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, aktiviti berkenaan bukan sahaja menimbulkan persoalan berhubung pematuhan terhadap titah Sultan Selangor malah mencetuskan kebimba­ngan terhadap kebersihan perse­kitaran pelabuhan.

“Aktiviti pemunggahan haiwan ternakan itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kala­ngan nelayan berikutan masalah bau serta persoalan mengenai pengurusan sisa pembersihan selepas pemindahan babi dari kapal ke lori.

“Kapal akan masuk ke pelabuhan menjelang waktu senja. Apabila tiba, pemindahan babi dibuat menggunakan kren yang mengangkat sangkar dikatakan boleh memuatkan hampir 100 ekor babi.

“Sebelum diangkat ke atas dermaga, satu kanvas berwarna kuning dibentangkan di atas lantai sebagai alas untuk mele­takkan sangkar babi yang angkut dari kapal sebelum haiwan tersebut dipindahkan ke dalam lori,” katanya ditemui Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum menitahkan supaya hanya daging babi yang diimport bagi memenuhi permintaan masyarakat bukan Islam.

Titah baginda adalah melalui dua kenyataan dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani pada Februari dan Mei lalu.

ABDUL RAHMAN KACHIL

Abdul Rahman yang juga Pengerusi Persatuan Nelayan Selangor (Penegor) mendakwa aktiviti berkenaan juga mencetuskan kebimbangan terhadap kebersihan persekitaran pelabuhan.

Katanya, kawasan perairan sekitar pelabuhan itu merupakan antara lokasi nelayan menjalankan aktiviti menangkap ikan bagi menyara kehidupan mereka.

Beliau bimbang sekiranya sisa pembersihan selepas pemunggahan babi hidup mengalir ke laut, keadaan itu boleh menjejaskan kualiti perairan dan hasil tangkapan nelayan.

“Isu berkenaan perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa bagi memastikan pe­ngurusan sisa dilakukan dengan betul serta tidak menjejaskan kebersihan perairan dan mata pencarian komuniti nelayan setempat,” katanya.

Malah Abdul Rahman berkata, kegiatan itu terus mencetuskan persoalan dalam kalangan penduduk selepas Sultan Selangor sebelum ini menitahkan supaya hanya daging babi yang diimport bagi memenuhi permintaan masyarakat bukan Islam.

“Adakah dengan cara membawa babi hidup masuk ke Se­langor sehingga mencecah 3,200 ekor sebulan itu benar-benar menepati maksud, semangat dan tujuan pendirian baginda?,” soalnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini