Belanjawan 2027 tingkat pendapatan, kukuh ekonomi - Utusan Malaysia

Belanjawan 2027 tingkat pendapatan, kukuh ekonomi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kenyataan dasar negara yang selalu ditunggu oleh masyarakat, khususnya golongan peniaga dan industri adalah pembentangan Belanjawan negara setiap tahun, lazimnya dalam Oktober. Ini kerana dalam kenyataan belanjawan itu akan terdapat beberapa kenyataan mengenai cukai langsung dan tidak langsung dan juga mengenai perbelanjaan pembangunan kerajaan, yang secara langsung akan mempengaruhi kepesatan pertumbuhan ekonomi negara.

Dasar belanjawan negara selalunya melibatkan perimbangan dan perkiraan dasar negara serta penglibatan sumber atau tabungan kerajaan, selaras dengan kedudukan makroekonomi dan permasalahan dalaman mahupun luaran negara.

Itulah sebabnya kita ada istilah dasar fiskal yang mengembang (expansionary fiscal policy) ataupun menguncup (contractionary policy). Selepas itu pula dipertimbangkan sama ada dasar expansionary atau contractionary itu diletakkan atas bahu bank pusat atau kepada pihak Perbendaharaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kalau di Amerika Syarikat (AS), peranan Bank Pusat adalah lebih penting dalam menstabilkan atau merangsang ekonomi kerana mereka lebih terpengaruh dengan pemikiran Milton Friedman dari Universiti Chicago, manakala di Eropah dan banyak negara membangun, termasuk Malaysia, mereka lebih terpengaruh kepada John Keynes dari Cambridge, yang menerajui golongan Keynesian economics.

Beberapa perkara selalunya menjadi pertimbangan utama dalam penggubalan dasar Belanjawan. Pertama, kedudukan defisit kewangan awam; kedua, kedudukan inflasi negara. Kerajaan mengambil pendirian jangka panjang dalam melihat isu defisit kewangan awam dan memberi fokus kepada objektif mencapai defisit pada kadar tiga peratus dalam tempoh jangka sederhana.

Jelas kelihatan bahawa Menteri Kewangan dalam perkiraannya mengetahui bahawa inflasi adalah terkawal di bawah kadar dua peratus, maka isunya bukanlah inflasi. Yang perlu diambil kira adalah paras harga yang tinggi kerana apabila harga naik, harga tersebut sukar turun semula. Jadi, paras harga yang tinggi akan menghakis nilai sebenar pendapatan kita.

Daripada segi lain, peranan dasar monetary boleh menjadi neutral kerana rendahnya kadar inflasi, maka beban peranan belanjawan pun berpindah kepada bahu pihak Perbendaharaan.

Oleh itu, dasar belanjawan negara bertujuan mempertahankan mutu dan kualiti hidup menerusi kenaikan gaji minimum, peningkatan had pelepasan cukai pendapatan individu, pemberian bantuan seperti SARA dan RAHMAH, serta penyediaan beberapa bentuk bantuan untuk industri pendidikan. Langkah-langkah ini adalah tepat dan wajar.

Tambahan pula, pemberian subsidi serta bantuan kepada industri kecil dan sederhana dan sebagainya merupakan usaha yang baik untuk golongan yang terjejas akibat kenaikan kos hidup dan kos pengeluaran.

Tidak kurang juga bantuan sosial disediakan supaya semua pihak merasai nikmat daripada cadangan Belanjawan 2027.

Cadangan menaikkan kadar upah minimum kepada RM2,000 sebulan daripada RM1,700 adalah sangat wajar dalam usaha mencapai negara berpendapatan tinggi dan meningkatkan peratusan jumlah upah dalam jumlah pendapatan negara, atau Gross National Income, yang kini ketinggalan berbanding Singapura dan Korea Selatan (peratusan upah di kedua-dua negara adalah 42 peratus), serta negara-negara Barat (55 peratus).

Sememangnya, industri akan merasai kenaikan kos pada peringkat awal perubahan ini. Cabaran yang dihadapi ialah bagaimana produktiviti perlu turut dipertingkatkan supaya kenaikan kos itu dapat diatasi melalui peningkatan daya pengeluaran menerusi usaha berbentuk mekanisasi, automasi dan digitalisasi.

Kita jangan juga berpendapat bahawa Belanjawan2027 ini hanya berbentuk budaya memberi sahaja atau ada bau-bau election budget.

Sebenarnya, segala pemberian dan bantuan ini akan meningkatkan putaran pendapatan atau income circulation, yang pada akhirnya akan meningkatkan putaran perbelanjaan dalam negeri.

Justeru, pihak perniagaan dan industri, termasuk juga kedai runcit, akan turut merasai dan mendapat faedah daripada ganjaran Belanjawan 2027.

Juga jangan dilupakan bahawa apa sahaja peningkatan pendapatan dan produktiviti pihak berpendapatan rendah seperti B40 akhirnya akan memberi faedah melalui kesan expenditure multiplier mereka yang tinggi, di samping hampir semua pendapatan tersebut dibelanjakan dalam negeri dan tidak akan meningkatkan import.

Maka, ada baiknya strategi Belanjawan 2027 ini mengutamakan masalah kos dan kualiti hidup pihak rakyat dan pekerja, di samping membantu industri kecil dan sederhana, semasa kedudukan ekonomi masih tercabar akibat pergolakan geopolitik antarabangsa.

Perbincangan mengenai Belanjawan kurang bermakna jika kita tidak menyentuh isu makroekonomi. Ekonomi negara dijangka tumbuh antara 4.2 hingga 5.2 peratus pada tahun hadapan.

Sementara itu, defisit kewangan awam ialah 3.6 peratus pada tahun ini dan pada tahun hadapan defisit akan turun kepada 3.3 peratus.

Sejumlah RM459.8 bilion akan dibelanjakan, yang meliputi RM83 bilion untuk belanja pembangunan bagi membina infrastruktur sosial, sekolah dan hospital, serta menambah baik modal insan dan bakat tenaga kerja Malaysia.

Ekonomi negara masih boleh disifatkan kukuh pada tahun ini setelah ia berkembang enam peratus pada suku kedua tahun ini dan 5.2 peratus pada suku pertama.

Dengan perbelanjaan awam sebanyak RM510 bilion pada tahun hadapan, pertumbuhan ekonomi untuk tahun hadapan dijangka mencapai kadar hampir 4-5 peratus.
Pertumbuhan ekonomi pada kadar ini adalah mantap jika dibandingkan dengan prestasi negara-negara lain di rantau ini. Pertumbuhan ekonomi bagi banyak negara maju pula pada masa yang sama boleh dikatakan lemah.

Momentum seperti ini menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai keyakinan terhadap kedudukan pertumbuhan ekonominya yang bersumberkan perbelanjaan awam dan pelaburan swasta serta eksport.

Namun demikian, ada juga risiko yang terus dihadapi dalam masa terdekat. Risiko ini meliputi kedudukan geopolitik yang masih belum menunjukkan tanda-tanda reda.

Di samping itu, isu-isu domestik dalam usaha kita untuk terus meningkatkan dan menambah baik tatakelola dalam pengurusan dan pentadbiran awam serta korporat, termasuk usaha mengurangkan rasuah dan penyelewengan, masih menjadi cabaran.

Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob ialah Pengarah Eksekutif, MIER

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini