Jururawat ialah tunjang sistem kesihatan negara. Tanpa komitmen dan dedikasi mereka, kita bakal mendepani kelumpuhan sistem penyampaian kesihatan di Malaysia. Namun, hakikat pahit yang perlu dihadapi hari ini adalah isu kekurangan jururawat yang semakin meruncing.
Jika tidak dibendung dengan pelan intervensi yang tuntas, negara akan terus kehilangan modal insan yang kompeten dan berpengalaman, iaitu aset bernilai yang sepatutnya dipelihara demi kelangsungan perkhidmatan kesihatan rakyat.
Penghijrahan jururawat dari sektor awam ke sektor swasta mahupun ke luar negara bukan lagi satu rahsia. Tawaran emolumen yang jauh lebih lumayan, imbuhan kebajikan yang lebih menarik, serta beban tugas yang lebih terkawal menjadi faktor penarik utama. Keadaan ini diburukkan lagi dengan isu pelantikan secara kontrak yang dilihat tidak menjamin masa hadapan serta perkembangan laluan kerjaya.
Pembentangan Belanjawan 2027 baru-baru ini memperlihatkan satu anjakan positif oleh kerajaan.
Peruntukan besar sebanyak RM47.7 bilion kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam menstruktur semula sektor kesihatan dan melaksanakan langkah penambahbaikan demi menjamin kebajikan petugas kesihatan, khususnya jururawat.
Namun, timbul persoalan, sejauh manakah inisiatif yang diumumkan berupaya menangani krisis kekurangan jururawat untuk jangka masa panjang?
Salah satu pengumuman yang mencuri perhatian adalah kenaikan Bayaran Insentif Posbasik (BIPB) daripada RM100 kepada RM200 sebulan. Kenaikan ini disasarkan bagi menarik minat serta mengekalkan jururawat berkemahiran klinikal khusus dalam sektor awam.
Sebagai rekod, elaun ini diperkenalkan sejak tahun 2007 kepada jururawat dan anggota paramedik di bawah KKM serta Kementerian Pendidikan Tinggi yang memiliki Sijil Posbasik atau Diploma Lanjutan dalam bidang klinikal yang diiktiraf.
Kadar RM100 tersebut tidak pernah disemak selama 17 tahun, biarpun usul semakan berulang kali disuarakan oleh Kesatuan Jururawat Malaya (MNU) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).
Walaupun pelarasan kepada RM200 ini satu langkah ke hadapan, jurangnya masih ketara jika dibandingkan dengan sektor swasta yang lazimnya menawarkan elaun pengkhususan antara RM400 dengan RM1,000 sebulan.
Implikasi kewangan yang tinggi mungkin menjadi kekangan utama perbendaharaan negara untuk menawarkan jumlah yang lebih kompetitif, namun realiti jurang pasaran ini tetap wajar diakui dan inisiatif lain perlu diperhalusi.
Hakikatnya, jururawat berkelayakan posbasik atau diploma lanjutan menggalas akauntabiliti klinikal yang amat besar berbanding dengan jururawat lain. Mereka ialah tonggak kepakaran di lapangan kritikal seperti unit rawatan rapi (ICU), dewan bedah, perawatan kebidanan, dan kesihatan awam.
Dengan kompetensi klinikal yang tinggi, mereka bukan sahaja memantau pesakit berisiko tinggi secara khusus, malah berfungsi sebagai tempat rujukan klinikal kepada jururawat baharu, pegawai perubatan siswazah, dan pegawai perubatan yang baru bertugas.
Daripada sudut positif, semakan semula BIPB ini wajar dipuji kerana sekurang-kurangnya langkah ini mampu memberi suntikan semangat kepada jururawat untuk melanjutkan latihan posbasik, sekali gus meningkatkan bilangan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sistem kesihatan negara.
Bagaimanapun, krisis tenaga kerja jururawat yang sedang kita hadapi tidak mampu ditangani sekadar dengan pengumuman berkaitan elaun BIPB semata-mata. Ironinya, pada saat pelbagai inisiatif diumumkan, realiti sistem perkhidmatan kesihatan terutamanya di hospital masih menghimpit.
Susulan pembentangan belanjawan, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad telah menggariskan beberapa kenyataan berkaitan penambahbaikan sistem kesihatan negara.
Sebelum ini, langkah mengekalkan waktu kerja jururawat pada kadar 42 jam seminggu dilihat sebagai tindak balas serta-merta dalam meredakan keresahan susulan kontroversi cadangan pelaksanaan syif 45 jam, dan kesediaan mendengar suara akar umbi ini memang wajar dipuji. Namun, keputusan mengekalkan waktu kerja tersebut tanpa sebarang pengurangan atau fleksibiliti syif kini dilihat agak statik dalam mendepani gejala burnout.
Realitinya, ‘42 jam seminggu’ di atas kertas sering kali bertukar menjadi 48 hingga 50 jam di lapangan klinikal sebenar.
Jururawat terpaksa hadir lebih awal dan pulang lewat demi melengkapkan sesi penyerahan tugas (handover) serta dokumentasi perubatan yang rencam tanpa pampasan masa yang setimpal.
Apabila tempoh bertugas yang panjang ini digandingkan pula dengan nisbah jururawat-pesakit dan akuiti pesakit yang tidak seimbang, pengekalan jadual sedia ada jelas belum memadai untuk meredakan krisis burnout yang kian mencengkam.
Tambahan pula, pada saat pegawai perubatan disajikan dengan berita positif mengenai tawaran jawatan tetap menggantikan lantikan kontrak, komuniti kejururawatan jelas tertinggal.
Ketiadaan pengumuman tentang penyerapan status tetap secara besar-besaran untuk jururawat kontrak telah mencetuskan polemik. Tidakkah jururawat ini juga tergolong dalam kumpulan kritikal yang sama-sama mempertaruhkan keringat di barisan hadapan? Usaha mengekang penghijrahan dan kehilangan bakat jururawat memerlukan pendekatan yang holistik.
Hal ini merangkumi penyerapan jawatan tetap yang telus dan setara dengan profesional kesihatan lain, penstrukturan semula nisbah jururawat-pesakit dengan mengambil kira tahap akuiti pesakit, serta pengenalan dasar waktu kerja yang menjurus kepada keseimbangan kerjaya dan kehidupan (work-life balance).
Kesimpulannya, menjaga kebajikan jururawat bukan lagi sekadar soal melunaskan elaun, sebaliknya pelaburan strategik demi menjamin kelestarian sistem kesihatan negara.
Nordianna Seman ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi Mara, Kampus Puncak Alam Selangor











