Hangat kota Paris di musim luruh - Utusan Malaysia

Hangat kota Paris di musim luruh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

7.15 pagi – Novotel Paris Centre Gare Montparnasse
“Jom jalan-jalan di kota Paris, hilangkan penat 14 jam penerbangan semalam,” ajak isteriku yang baru melabuhkan punggung di atas sofa berwarna kelabu berdekatan dengan tingkap bilik.

Mataku masih kaku melihat cerita di kaca TV yang tergantung di dinding berhadapan katil bersaiz king, namun telingaku tidak alpa menadah butiran ajakan dari Aaniaa, wanita yang aku kahwini sejak 10 tahun lalu.

Suhu kota ini sudah menurun sekitar 10 darjah celsius. Musim luruh baru saja tiba semalam. Aku masih belum dapat menyesuaikan diri dengan suhu di sini. Malah putaran jam juga sedikit keliru.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kenapa masih lewat satu jam, sedangkan di dalam aplikasi telefon bimbit sudah bertukar secara automatik dilewatkan tujuh jam. Bingung juga.

“7.15 pagi?” Aku menjawab soalan Aaniaa dengan satu soalan.

“Awak tak ingat semalam, ketika di lapangan terbang, (Paris Charles De Gaulles Airport) Mehmed Zidan, pemandu uber beritahu, apabila tiba musim luruh, kerajaan Perancis akan menukar waktu, satu jam akan dilewatkan,” jawab Aaniaa sambil tangannya memegang secawan kopi yang masih berasap.

Aku hanya memandang wajah manis wanita yang terbang ke kota ini atas urusan kerja, atau lebih tepat mewakili kerajaan untuk menerima satu anugerah berprestij pada Khamis nanti.

Daun-daun pokok Platanus berputar keperang-perangan sebelum rebah ke tanah setelah disapa bayu pagi di sekitar Montparnasse, kawasan yang menempatkan hab pengangkutan darat yang dikenali sebagai Stesen Gare Montparnasse – Bienvenue. Di sini berkumpulnya 14 laluan Metro, bas, teksi dan kereta api yang menghubungkan bandar-bandar utama yang lain seperti Dijon, Nice,

Lille dan banyak lagi. Jarak stesen itu dari hotel cuma seratus meter.

9 pagi – Stesen Gare Montparnasse – Bienvenue
Langkah kaki kami berdua seperti lipas kudung menuju ke pintu masuk stesen metro yang berdindingkan kaca, gah dengan rekaan moden. Tetapi bukanlah sebab reka bentuk yang menarik itu aku berjalan pantas. Sebenarnya, gigitan angin waktu pagi sedang mencucuk kulit sawo matang aku dan Aaniaa walau sudah berpakaian tebal beberapa lapis termasuk thermal suit, fleece dan jaket labuh.

Mulutku seperti gua, mataku terbeliak ketika tubuhku terpacak melihat papan tanda di sekeliling stesen kereta api Gare Montparnasse – Bienvenue ini. Semuanya ditulis di dalam bahasa Perancis.

Jangankan bahasa Melayu, bahasa English yang dikatakan bahasa komunikasi dunia pun tidak kelihatan. Betul-betul mermartabatkan bahasa kebangsaan negara ini.

“Bonjour.” Satu perkataan aneh hinggap di telingaku. Aku memusingkan kepala dan menghadap Aaniaa. Dia sedang bercakap dengan seorang gadis berbaju seragam dengan logo kereta api, barangkali salah seorang petugas di sini.

“You can go to line number thirteen and find metro to George V Station,” jawab gadis berambut perang, ikal dan bertocang itu.

“Mercy.” Aku membalas dengan senyuman.

“Pandai awak berbahasa Perancis?” Aaniaa bermata bulat, kagum mungkin.

“Itu saja yang sempat saya google,” ringkas jawabku. Ketawa terbahak-bahak terbang dari kerongkong kami berdua.

9.20 pagi – Stesen Champs – Elysees – Clemenceau
Bunyi geresan rel dan tayar kereta api membingitkan telinga. Aku dan Aaniaa berdiri sambil memegang besi di antara dua belah tempat duduk di dalam kereta api metro ini. Laju, sudah lima stesen berlalu, kini di Stesen Champs – Elysess – Clemenceau, stesen terakhir sebelum tiba di Stesen George V.

“Bila sampai di Champ Elysees, saya nak ke Place Charles De Gaulle, bulatan besar di hujung jalan yang menempatkan pintu gerbang Arc de Triomphe.” Sengaja aku beritahu pada Aaniaa terlebih dahulu sebelum dia mengajakku berjalan-jalan di butik di situ.

Champs Elysees memang terkenal dengan ratusan butik fesyen jenama terkemuka dunia di sepanjang jalan itu.

Aaniaa hanya mengangguk sambil matanya terarah ke pintu metro yang bergerak secara automatik. Ramai anak muda membawa sepanduk memasuki gerabak ini. Semua sepanduk ditulis di dalam bahasa yang aku tidak kenali. Mungkin bahasa Perancis. Ada anak muda memakai topeng, ada juga yang mewarnakan muka dengan warna merah, putih dan biru.

“Itukan warna bendera Perancis,” bisikku dalam hati.

Wajah Aaniaa tiba-tiba berkerut dan hinggap ke pandanganku. Aku juga keliru. Kenapa tiba-tiba ramai anak muda bersepanduk di pagi ahad menaiki metro? Persoalan kecil itu mula berputar-putar di dalam kepala.

Aku dan Aainaa kaku berdiri, telefon bimbit dikeluarkan dari kocek jaket labuh berwarna hitam menjadi penebat haba terbaik pada tubuhku. Sambil jari menatal layar kaca di aplikasi Facebook, tiba-tiba ada satu video berlegar-legar menjadi perhatian mata hitamku. “pelajar dan orang awam merusuh di Kota Paris” – 24 jam lalu.

9.25 pagi – Stesen George V
Rel kereta api menjerit sekali lagi sebelum berhenti. Pantas pintu metro terbuka, aku mengangkat kening kepada Aaniaa sebagai isyarat untuk berjalan keluar dari perut metro ini. Kami berdua melepasi sekumpulan anak muda bersepanduk sebelum memijak landasan di Stesen George V. Sesekali bau hancing mencucuk hidung. Kotor.

Setelah memanjat beberapa anak tangga, aku dan Aaniaa keluar dari perut stesen George V dan mula menadah serbuk jingga mentari. Angin juga tidak ketinggalan menyambut kami. Sejuk. Aku memerhati sekeliling, tiada perkara aneh atau lebih tepat lagi rusuhan yang berlaku. Kelihatan orang awam dan pelancong memang ramai di sepanjang jalan.

9.45 pagi – Kafe George V
Setelah dua cawan Americano panas tiba di meja, Aaniaa tiba-tiba bertanyakan soalan.

“Ada apa dengan Arc de Triomphe? Ceritalah… awak kan minat sejarah, budaya, minat sastera, mesti tahu kisah-kisah di sini,” soal Aaniaa teruja.

Asap mula keluar dari mulut setelah mencicip kopi Americano. Aku meletakkan cawan berwarna biru ke lantai meja.

“Kenal Napoleon Bonaparte kan? Sang Maharaja Perancis. Dia yang memberi arahan supaya Arc de Triomphe atau Gerbang Kemenangan dibina di hujung barat Champs-Elysees tanda kemenangan.

“Awak nak tahu, bawah gerbang tu sebenarnya makam askar yang tak dikenali, semuanya dikebumikan di situ. Pada waktu petang pula, ada api akan dinyalakan di tengah-tengah, tanda peringatan kepada askar-askar yang tewas di dalam perang dunia pertama.”

Aaniaa khusyuk mendengar penerangan daripadaku. Perancis punya sejarah yang panjang dari penaklukan Empayar Rom, kepada pemerintahan Karl Agung, bersambung pada kematian Raja Louise XVI and Ratu Marie Antoinette hinggalah pada zaman revolusi yang dipimpin Napoleon dan sehingga kini diperintah secara republik demokratik.

Banyak tinggalan sejarah yang dipelihara dan tersimpan di dalam muzium. Inilah antara sebab kenapa aku setuju untuk menemani Aaniaa ke kota Paris. Aku juga tidak sanggup melihat dia berseorangan di kota yang dipenuhi pelbagai jenis manusia.

10.04 pagi – Jalan Champ Elysees
Bommmmmmmmmm!!!

Satu letupan mengegarkan kafe yang terletak di bahu jalan Champ Elysees, asap dan api mula menjulang di langit Paris. Orang ramai menjerit. Ada yang mula lari tanpa arah. Asalkan menjauhi bangunan yang terbakar kira-kira 30 meter dari meja tempat aku menikmati kopi.

Mataku terarah ke selatan jalan, ribuan manusia bertopeng berarak sambil memegang sepanduk. Jalan Champs Elysees sudah tidak kelihatan, seluruh laluan itu dipenuhi manusia yang sedang menjerit dalam bahasa yang cukup asing bagi diriku. Kelihatan seperti anak muda dan orang awam yang membanjiri kawasan Champ Elysees. Sah, rusuhan sudah kembali di kota Paris.

Pekerja kafe mula berlari sambil mengangkat tangan seperti menyuruhku meninggalkan tempat ini. Batu mula menjunam seperti hujan ke arah kafe, tingkap dan dinding kaca menjadi sasaran. Aku hanya mampu menundukkan kepala dan membengkokkan tubuh.

Aaniaa!

Kerisauan mula menjalar di seluruh fikiran. Aaniaa tidak berada disampingku. Dia ke tandas selepas menikmati secawan Americano dan sepotong croissant. Tandas terletak di tingkat bawah.

Bahang kebakaran semakin terasa, sudah 2-3 butik mewah dijilat api. Maraknya sudah tidak boleh dikawal. Rusuhan kali ini sudah sampai ke kemuncak kemarahan. Teringat bacaan di media sosial.

Ia berpunca dari perkhidmatan awam seperti sistem pendidikan dan kesihatan yang makin merosot. Peluang pekerjaan pula berkurang.

Aku memanjangkan leher. Kelihatan seorang pekerja berkulit gelap sedang menutup tingkap yang berlubang menggunakan papan yang disendal kerusi kayu.

“My wife, downstair.”

Aku menjerit walau dalam riuh pekikan perusuh yang mula mendekati kafe dan kedai-kedai di sepanjang jalan Champs Elysees. Agaknya mereka semua menuju ke Arc de Triomphe. Memang di situ kawasan panas setiap kali rusuhan berlaku. Mereka berkumpul di situ kononnya mengambil simbolik gerbang kemenangan. Aku tidak peduli. Fikiranku hanya tertumpu pada wajah Aaniaa yang masih tidak kelihatan.

Kafe tiba-tiba gelap, bekalan elektrik terputus. Di kotak suiz, api menyala-nyala, mataku terpacak sekali lagi. Sepantas kilat api mula menyambar langsir yang diperbuat dari kain baldu. Asap mula memenuhi Kafe George V. Aku masih merangkak di antara meja menuju ke tengah kafe. Aaniaa masih tidak kelihatan. Pengunjung kafe yang ramai mula merangkak keluar. Bertentangan arah dengan tubuhku.

Pergerakanku tiba-tiba dihalang oleh seseorang. Dia berpakaian serba hitam, bertubuh gempal dan berjambang.

“Run sir..,run. go out from this cafe now!” Lelaki itu menjerit ke arahku.

“My wife, downstair, toilet,” aku membalas antara hangat dan dingin kota Paris.

Lelaki itu tanpa berkata apa, pantas menarikku keluar. Api mula meratah meja serta kerusi kayu. Asap membuak-buak keluar dari lubang tingkap.

Aku tersandar di pokok Maples yang sudah dua hari menggugurkan daun tanda bermulanya musim luruh. Paris tidak lagi dingin seperti semalam. Hangat api dan rusuhan kini membakar kota cinta ini. Aku sudah tidak berdaya. Asap yang kutelan menyesakkan dada. Mulutku masih tidak penat memanggil Aaniaa, isteriku yang masih terperangkap.

Siren mula kedengaran, kenderaan bomba, paramedik dan polis anti-rusuhan mula mendekati Champs Elysees. Jentera Meriam air di barisan hadapan, mula menyembur air pemedih mata ke arah perusuh. Ada dalam kalangan mereka mula lari bertempiaran. Namun ada masih teguh berdiri dengan berbekalkan topeng muka.

Di belakangku, butik-butik mewah telah dirompak. Pakaian dan barangan mewah menjadi mangsa rusuhan kali ini. Beberapa anggota polis mula menangkap perusuh yang memecah masuk butik.

Adegan kejar mengejar berlegar-legar di hadapanku.

Bukan ini yang aku mahu, aku cuma ingin melihat bayang-bayang seorang wanita bertudung warna merah jambu cair berdiri depanku dengan selamat. Itu sahaja.

12 pm – Stesen George V
Aku sudah diberikan bantuan pernafasan oleh paramedik yang membantu orang awam di sekitar Stesen George V.

“Tuan Luria, sila pulang ke hotel dahulu, sebarang perkembangan tentang isteri tuan akan dimaklumkan oleh pihak berkuasa,” terang Nash, anak muda berbangsa Algeria yang pernah menyambung Pelajaran di Universiti Malaya satu masa dulu. Kini berkhidmat sebagai doktor di kota Paris.

Langkah longlai kususun perlahan menuruni tangga Stesen George V. keadaan masih sesak. Orang ramai berpusu-pusu menaiki metro untuk pulang ke kediaman masing-masing. Rusuhan di

Champ Elysess semakin reda, kata pihak berkuasa. Perusuh mula meninggalkan Champ Elysess dan menuju ke tempat-tempat lain seperti Menara Eifel dan sepanjang Sungai Seine.

Sebaik mulut metro ternganga. Aku melangkah perlahan ke dalam gerabak, tubuhku ditolak-tolak penumpang lain. Ada kerusi kosong di sebelah wanita berjaket labuh berwarna biru serta skaf berbunga-bunga. Aku duduk dengan perasaan yang resah. Entah apa yang berlaku pada Aaniaa. Telefon bimbit pula sudah hilang. Semuanya perlu aku fikirkan apabila tiba di hotel nanti. Itu satu-

satunya tempat yang mampu memberi petunjuk apa yang patut aku lakukan.

4 petang – Novotel Paris Centre Gare Montparnasse
Di kaca TV, video seorang perempuan bertudung berwarna merah jambu cair, melakukan bantuan pernafasan kepada seorang wanita warga emas tempatan mendapat liputan meluas di seluruh kota Paris. Kejadian berlaku di landasan kereta api George V, Paris.

Aaniaa?

Antara hangat dan dingin, sekuntum bunga mekar di Kota Paris. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini