IMAM Masjid Al-Aula, Simpang Empat, Bagan Datuk, Perak, Khairuddin Mohd. Saman yang juga Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak meneruskan legasi pendidikan agama keluarganya apabila memilih bidang keagamaan sebagai landasan kehidupan.
Beliau yang berusia 57 tahun ialah anak kepada ulama besar negeri Perak, Tuan Guru Haji Mat Saman Kati yang nama sebenarnya Tuan Guru Haji Muhammad Saman Muhammad.
Allahyarham bapanya dilahirkan pada 1922 dan meninggal dunia pada 1995, selain pernah berkhidmat sebagai guru agama khas di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar ketika pemerintahan Sultan Idris Iskandar Shah sebagai Sultan Perak.
Pengalaman membesar dalam keluarga yang mempunyai latar belakang pendidikan agama banyak membentuk peribadi Khairuddin sehingga mendorongnya mengikuti jejak langkah bapanya dalam bidang dakwah dan pendidikan Islam.
Beliau melanjutkan pengajian agama di Mesir pada 1992 hingga 1999 dalam bidang Usuluddin bagi mendalami ilmu berkaitan akidah, pemikiran dan asas-asas keilmuan Islam.
Selepas menamatkan pengajian, beliau meneruskan khidmat kepada masyarakat melalui bidang pendidikan dan pengimarahan masjid.
Kini, selain bertugas sebagai Imam Masjid Al-Aula, Simpang Empat, Khairuddin turut mengajar dan Guru Besar di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Al-Maska,Simpang Empat Hutan Melintang, di Bagan Datuk.
Menurut beliau, kecenderungannya untuk menjadi guru agama dan imam banyak dipengaruhi didikan bapanya serta tunjuk ajar guru-guru yang membimbingnya sejak dahulu.
“Ini semua hasil didikan orang tua dahulu. Ini antara yang boleh saya sumbangkan untuk masyarakat, itu pun berkat ajaran guru saya,” ceritanya.
Mengulas mengenai pendidikan agama, Khairuddin menyifatkan Sekolah Rendah Agama Rakyat (SAR) sebagai institusi penting dalam membentuk asas pengetahuan Islam dalam kalangan kanak-kanak sejak usia muda.
Menurut Khairuddin, institusi berkenaan memainkan peranan melengkapkan pendidikan arus perdana dengan ilmu fardu ain, sekali gus membantu melahirkan generasi yang memahami asas tuntutan agama.
Bagaimanapun, katanya, tugas mendidik murid di SAR bukan sesuatu yang mudah kerana kebanyakan mereka perlu mengikuti sesi persekolahan kebangsaan pada sebelah pagi sebelum menghadiri kelas agama pada sebelah petang.
Keadaan itu menyebabkan murid berdepan jadual pembelajaran yang padat, sekali gus menuntut kesabaran dan pendekatan pengajaran bersesuaian daripada guru agama.
“Kita seolah-olah berebut dengan masa. Mereka letih kerana pada sebelah pagi mengikuti pelbagai program sekolah.
“Apabila datang ke sekolah agama, mereka pula mahu bermain. Jadi, cabarannya ustaz dan ustazah perlu banyak bersabar,” katanya.
Tambahnya, murid yang masih aktif pada usia kanak-kanak memerlukan perhatian dan pendekatan tersendiri supaya mereka dapat memberikan tumpuan ketika sesi pembelajaran berlangsung.
Malah, katanya, guru kadangkala terpaksa meninggikan suara bagi mengawal keadaan kelas, terutama apabila berhadapan murid yang sukar memberikan perhatian.
“Kadangkala suara ustaz dan ustazah lebih tinggi daripada anak murid kerana hendak mengawal kelas memang susah apabila murid aktif,” katanya.
Justeru, beliau berpandangan guru agama perlu mempunyai kesabaran tinggi, selain bijak menyesuaikan kaedah pengajaran mengikut tahap penerimaan dan keadaan murid.
Menurut beliau, mendidik generasi muda dengan ilmu agama bukan sekadar menyampaikan pengetahuan.
Sebaliknya, kata beliau ia turut membentuk akhlak, disiplin dan keperibadian mereka sebagai umat Islam.
“Kesinambungan pendidikan agama perlu terus diperkukuh kerana institusi seperti SAR menjadi antara landasan penting dalam melahirkan masyarakat yang memahami serta mengamalkan tuntutan Islam dalam kehidupan seharian,” jelasnya. – Mingguan Malaysia











