PETALING JAYA: Pelakon, Abby Abadi meluahkan rasa syukur apabila menerima kejutan istimewa sempena ulang tahun kelahirannya daripada anak-anaknya.
Abby atau nama lengkapnya Arbaiyah Abdul Manan dilihat berpelukan menandakan hubungan keruh dia dan anak-anak kini kembali jernih.
“Tiga buah hati, tiga anugerah terindah. Terima kasih untuk kasih sayang ini.
“Untuk anak-anak mama, alhamdulillah segala lelah menjadi bahagia, segala pengorbanan menjadi cinta.
“Semoga Allah SWT izinkan kita bersama, bukan hanya di dunia, tetapi hingga hujung nyawa,” katanya menerusi kapsyen di TikTok.
Pelakon drama Gerak Khas itu turut menyifatkan kasih sayang terhadap anak-anak sebagai sesuatu yang tidak pernah diharapkan balasannya.
“Abang, adik dan baby adalah cinta yang tidak pernah mama minta dibalas, pengorbanan yang tidak pernah mama sesali dan doa yang tidak pernah berhenti mama titipkan kepada Allah SWT.
“Semoga syurga menjadi tempat kita bersama selamanya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Abby turut menzahirkan penghargaan kepada anak-anaknya kerana sudi meraikan ulang tahun kelahirannya lebih awal susulan pemergian Marissa Dania ke Tanah Suci bagi menunaikan umrah.
“Terima kasih sudi raikan mama sebelum berangkat menunaikan umrah. Doakan yang baik-baik untuk semua.
“Semoga mendapat umrah yang mabrur/mabrurah. Fokus! Jangan cakap, buat perangai pelik-pelik dekat sana,” katanya.
Perkongsian tersebut mengundang reaksi positif warganet yang rata-ratanya meluahkan rasa syukur melihat hubungan anak-beranak itu kembali mesra selepas berdepan kemelut keluarga sebelum ini.
Terdahulu, kemelut keluarga Abby menjadi bualan selepas dia menitip ucapan ulang tahun kelahiran yang dipercayai telah menghiris hati anaknya, Maria Danisha Hakim.
Pelakon itu juga berkongsi perasaan mengenai pengorbanan yang dilakukannya dalam membesarkan anak-anak dan mendakwa ia seakan-akan telah dilupakan.
Untuk rekod, Mohamed Danish Hakim, Marissa Dania Hakim dan Maria Danisha merupakan anak hasil perkahwinan Abby dengan pelakon, Norman Hakim pada 2002 sebelum mereka bercerai pada 2009. – UTUSAN











