PETALING JAYA: Ibu kepada Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, Nik Rahimah Nik Mahmood meninggal dunia, hari ini.
Pemergian ibu bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu selepas pemergian bapanya, Nik Ahmad Nik Hassan kira-kira sebulan lalu.
Perkara itu dimaklumkan bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Rafizi turut merakamkan ucapan takziah kepada Nik Nazmi dan seluruh ahli keluarganya serta mendoakan agar mereka diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan tersebut.
“Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada saudara Nik Nazmi dan seluruh keluarga beliau atas pemergian bonda tercinta yang telah kembali ke rahmatullah.
“Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Semoga Nik Nazmi sekeluarga diberi kekuatan dan ketabahan,” katanya.
Rafizi menerusi hantaran sama turut berkongsi poster ucapan takziah yang memaparkan gambar kenangan Nik Nazmi bersama keluarganya.
Bagaimanapun, butiran mengenai pemergian Allahyarham dan urusan pengebumian tidak dinyatakan dalam hantaran berkenaan.
Pada 14 Oktober lalu, Nik Nazmi kehilangan bapanya yang meninggal dunia pada usia 96 tahun.
Allahyarham merupakan bekas penjawat awam yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Telekomunikasi dan Pos pada 1978. – UTUSAN










