NARATHIWAT (THAILAND): Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN), pergerakan pejuang pembebasan paling aktif di Selatan Thai, mengesahkan setiausaha agungnya, Abdullah Munir, 75, meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah, pagi semalam.
Seorang pemimpin kanan BRN yang enggan dikenali berkata, Abdullah atau dikenali juga sebagai Ustad Abdul Muni mengalami serangan jantung di rumahnya di Tikam Batu, Kedah, sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Menurutnya, Allahyarham adalah pemimpin tertinggi yang bertanggungjawab ke atas keseluruhan perjuangan pergerakan itu berdasarkan kedudukannya sebagai setiausaha agung.
“Allahyarham dilantik sebagai Setiausaha Agung BRN kira-kira empat tahun lalu menggantikan Ustad Mat Ladin. Berdasarkan jawatannya, Allahyarham adalah pemimpin paling atas dalam hierarki BRN.
“Allahyarham yang meninggalkan seorang isteri yang juga warga Indonesia serta dua anak lelaki adalah antara individu paling lama dan kanan dalam BRN,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia malam ini.
Beliau berkata, jenazah Abdullah kini masih berada di hospital Sungai Petani dan dalam pengawasan Kedutaan Indonesia.
Menjawab soalan kenapa jenazah diletak dalam pengawasan Indonesia, beliau menjelaskan keadaan itu berlaku disebabkan kali kedua Allahyarham masuk ke Malaysia dengan menggunakan pasport negara itu.
“Allahyarham sebenarnya berasal dari Daerah Thepa di Wilayah Songkhla. Beliau juga adalah antara pengasas sebuah jemaah terkenal pada 1993, yang kini merupakan sebuah institusi pengajian tinggi Islam di Wilayah Yala, Thailand.
“Atas sebab keselamatan, Allahyarham memasuki Malaysia menggunakan pasport Thailand. Allahyarham kemudian meneruskan perjalanan ke Indonesia melalui Batam,” katanya.
Menurutnya, Allahyarham berkahwin dengan seorang wanita dari Tasikmalaya di Tenggara Bandung, sebelum memperoleh kerakyatan dan pasport Indonesia.
Pemimpin kanan itu berkata, Allahyarham kemudian kembali ke Malaysia menggunakan pasport Indonesia sebelum memohon Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan menetap di Tikam Batu sejak lebih 10 tahun lalu.
“Tempoh PLKS Allahyarham telah lama tamat. Tetapi disebabkan beliau memasuki Malaysia menggunakan pasport Indonesia maka pihak kedutaan negara itu yang mengambil tanggungjawab ke atas jenazahnya.
“Pemimpin kanan BRN kini berkerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia dan Malaysia bagi membolehkan jenazah Abdullah dikebumikan di Tikam Batu, esok,” katanya. – UTUSAN











