Kedah umum bonus RM3,000

Kedah umum bonus RM3,000

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan negeri mengumumkan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM3,000 kepada anggota pentadbiran negeri dan penjawat awam negeri sebagai penghargaan terhadap komitmen serta sumbangan mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, bantuan berkenaan akan dibayar sebanyak tiga kali melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM15 juta.

“Gerak kerja cemerlang tuan dan puan di lapangan, bermula daripada kumpulan sokongan sehingga ke peringkat pengurusan tertinggi adalah nadi kepada pelaksanaan setiap inisiatif dan program pembangunan negeri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi menghargai komitmen ini, sukacita diumumkan kerajaan negeri meluluskan Bantuan Khas Kewangan RM15 juta yang akan dibayar kepada semua anggota pentadbiran negeri dan penjawat awam negeri sebanyak tiga kali iaitu pada bulan depan serta Februari dan Ogos tahun depan. Saya berharap berita ini menggembirakan semua,” katanya ketika berucap pada Pembentangan Bajet 2027 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Terdahulu, Muhammad Sanusi membentangkan Bajet 2027 dianggarkan berjumlah RM1.34 bilion di samping menyasarkan kutipan hasil sebanyak RM850 juta yang meningkat RM12 juta berbanding sasaran tahun ini.

“Sasaran itu dijangka disumbangkan menerusi empat sumber utama hasil negeri iaitu hasil tanah menjadi penyumbang terbesar dengan anggaran kutipan sebanyak RM551 juta.

“Selain itu, kerajaan negeri menjangkakan kutipan hasil pelbagai sebanyak RM253 juta, hasil hutan (RM30 juta) dan hasil daerah sebanyak RM16 juta,” ujarnya.

Katanya lagi, kerajaan negeri juga menyasarkan pengurangan defisit mengurus kepada 10.59 peratus pada 2027 berbanding 11.81 peratus pada 2026 dan 12.65 peratus pada 2025.

Muhammad Sanusi berkata, sasaran itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk terus memperkukuh kedudukan fiskal melalui pengurusan kewangan yang lebih berdisiplin dan berhemah.

“Pengurangan ini mencerminkan kesungguhan dan usaha berterusan kerajaan untuk mengawal defisit secara berperingkat, meningkatkan kecekapan perbelanjaan serta mengoptimumkan sumber hasil negeri ke arah mencapai kemampanan kewangan negeri jangka panjang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini