Mempunyai kelulusan dalam bidang seni persembahan bukanlah jaminan seseorang pelakon mendapat tempat dalam industri hiburan, apatah lagi ketika populariti di media sosial turut menjadi antara pertimbangan dalam pemilihan pelakon.
Realiti itu turut diakui pelakon baharu, Amirah Razak yang pernah mempersoalkan mengapa individu dengan jumlah pengikut media sosial yang ramai lebih mudah mendapat peluang berbanding mereka yang mempunyai latar belakang pendidikan lakonan.
“Kita selalu dengar persoalan mengapa individu yang mempunyai ramai pengikut media sosial lebih mudah mendapat tempat. Malah mereka yang mempunyai pendidikan dalam bidang lakonan sukar mendapat peluang.
“Tetapi apabila saya benar-benar memasuki industri dan mula bekerja sebagai kru, saya semakin memahami mengapa pihak produksi memilih individu yang mempunyai ramai pengikut. Akhirnya, kita perlu sedar bahawa industri ini juga merupakan sebuah perniagaan,” katanya kepada Pancaindera.
Namun, pemilik nama, Nur Amirah Haisyah Abdul Razak itu percaya seseorang pelakon tetap mampu mencipta nama berdasarkan kemampuan lakonan tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada populariti.
“Saya rasa filem seperti Kudrat sudah membuktikan bahawa pelakon yang mempunyai bakat tetap boleh membantu menjual sesebuah karya tanpa mengira latar belakang mereka.
“Saya berharap filem seperti Baga, Kudrat dan beberapa karya lain termasuk Sayang Sayang dapat membuktikan bahawa graduan teater atau individu yang benar-benar berbakat tetap mempunyai tempat dalam industri walaupun tidak mempunyai ramai pengikut media sosial.
“Saya bukan seorang yang mahu menjadi terkenal secara mendadak. Apa yang saya mahukan hanyalah peluang untuk terus berlakon,” tegasnya.

Tidak Malu BekerjaDi Belakang Tabir
Selepas menamatkan pengajian dalam bidang teater, teraju utama filem Baga: Untuk Siapa itu mula menerima beberapa tawaran lakonan sebelum mengambil keputusan untuk turut menceburi bidang produksi.
Bagaimanapun, Amirah mengakui dia lebih banyak menghabiskan masa bekerja sebagai kru produksi berbanding muncul di hadapan kamera kerana tidak banyak menerima tawaran lakonan.
“Kalau dari segi lakonan, saya sebenarnya tidak begitu banyak menerima tawaran. Sepanjang tempoh tersebut, saya lebih banyak bekerja sebagai kru produksi.
“Sebagai graduan teater, kami sebenarnya diajar untuk mempelajari pelbagai aspek produksi daripada solekan, kostum sehinggalah kepada pencahayaan.
“Jadi, saya melihat kerja di belakang kamera sebagai sesuatu yang masih berada dalam bidang yang sama. Walaupun saya tidak berada di hadapan kamera, saya masih terlibat dalam proses menghasilkan karya.
“Bagi saya, sama ada bekerja di hadapan atau belakang kamera, selagi masih berada dalam industri perfileman, saya tidak mempunyai masalah,” jelasnya.
Dalam masa sama, pelakon kelahiran Johor itu menyifatkan pengalaman bekerja sebagai kru turut mengubah perspektifnya terhadap cabaran yang dihadapi pelakon sepanjang proses penggambaran.
“Apabila saya mula bekerja sebagai kru, saya semakin memahami perkara yang sebelum ini mungkin saya anggap menyusahkan ketika menjadi pelakon.
“Contohnya, mengapa pelakon perlu datang awal ke lokasi penggambaran atau mengapa mereka perlu menunggu lama sebelum babak dirakam.
“Apabila berada di belakang tabir, barulah saya memahami sebab perkara tersebut berlaku. Pengalaman itu menjadikan saya lebih bertolak ansur apabila berdepan dengan sebarang masalah atau halangan ketika bekerja sebagai pelakon,” jelasnya.
Biarpun kini mula mendapat perhatian menerusi penampilan sebagai heroin, Amirah menegaskan dia dia tidak mahu terlalu memilih pekerjaan selagi masih berpeluang menyumbang tenaga dan kreativiti dalam industri perfileman.
“Kalau ada tawaran berlakon, saya akan utamakan lakonan. Kalau tiada, saya akan kembali bekerja sebagai kru.
“Insya-Allah, kalau ada tawaran lakonan dan tiada sebarang halangan, saya memang terbuka untuk menerimanya. Pada masa sama, saya juga masih terbuka untuk bekerja sebagai kru produksi,” ujarnya.










