PAC digesa perluas skop siasatan projek Lebuhraya Pan Borneo Fasa 1

PAC digesa perluas skop siasatan projek Lebuhraya Pan Borneo Fasa 1

ARMIZAN Mohd. Ali ditemui pada sidang akhbar sempena Majlis Perasmian Penutupan Program IP Spark di Dewan SMK Pengalat, Papar. - UTUSAN/RAEESAH HANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAPAR: Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mengemukakan memorandum kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mendesak skop siasatan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1 diperluaskan, khususnya membabitkan punca dan implikasi penamatan model Project Delivery Partner (PDP) pada 2019.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata keputusan menamatkan model PDP susulan pertukaran pentadbiran kerajaan negeri dan Persekutuan pada 2018 perlu disiasat kerana didakwa menjadi antara faktor utama kelewatan pelaksanaan projek berkenaan.

Katanya, perkara itu perlu diberi perhatian memandangkan jawapan rasmi Kementerian Kerja Raya (KKR) di Dewan Rakyat sebelum ini turut mengaitkan penamatan model PDP dengan kelewatan projek Pan Borneo Fasa 1B.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita mahu PAC meneliti bukan sahaja status dan prestasi pelaksanaan projek pada masa ini, tetapi juga keputusan dasar terdahulu yang mempunyai implikasi terhadap status kemajuan semasa.

“Hal ini amat penting untuk memastikan sebarang perubahan dasar oleh mana-mana pihak tidak dibuat atas pertimbangan politik kepartian sehingga membelakangkan keutamaan untuk menyegerakan usaha memperkukuh jalinan infrastruktur jalan raya demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Armizan menambah, penamatan model PDP pada 22 September 2019 dan peralihan kepada kaedah konvensional perlu diteliti bagi mengenal pasti asas keputusan itu serta kesannya terhadap pelaksanaan pakej projek Fasa 1B.

Katanya, ketidaktentuan status PDP dan pelantikan kontraktor selepas pertukaran kerajaan menyebabkan pelaksanaan projek sedia ada terbantut lebih setahun bermula Mei 2018, sebelum kontraktor dilantik semula pada 2019.

Malah, proses pelantikan semula kontraktor sedia ada dan pelantikan kontraktor baharu bagi pakej Fasa 1B turut terganggu sehingga 2021, sekali gus memberi kesan kepada peningkatan kos projek. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini