SANDAKAN: Parti Warisan mahu bertanding 26 kerusi bersama parti lain yang menjalin kerjasama dengan mereka dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, kata presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
“Insya-Allah, kita mahu 26 kerusi dan rakan parti untuk pastikan supaya kita dapat kejayaan dan suara Sabah ini lebih kuat,” katanya merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Warisan di Dewan Hakka, di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking; Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Priscella Peter dan Pemangku Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Lawrence Gimbang.
Sabah mempunyai 25 kerusi Parlimen selain Labuan daripada 222 yang dipertandingkan pada PRU akan datang.
Shafie berkata, perkara paling penting dalam menghadapi PRU ialah memastikan calon yang diketengahkan mempunyai peluang untuk menang, manakala soal pembahagian kerusi perlu mengambil kira kekuatan setiap parti.
“Tidak ada ertinya kita letak calon kalau tidak menang. Kita perlu pastikan siapa boleh menang. Saya tidak perlu bincang perkara (soal pembahagian kerusi) pada peringkat ini. Apa yang penting, siapa yang boleh menang,” katanya.
Shafie turut menegaskan kepentingan pemimpin mendekati rakyat di peringkat akar umbi dan mendengar suara mereka, bukan sekadar bergantung kepada populariti di media sosial.
Katanya, pengalaman lebih 30 tahun dalam politik mengajarnya bahawa kekuatan sesebuah parti boleh membantu menampung kelemahan parti lain, justeru kerjasama tidak seharusnya berteraskan kepentingan satu pihak semata-mata.
“Saya sudah bekerjasama dengan banyak parti dan melalui pelbagai kesilapan yang perlu kita tambah baik. Kita belajar daripada sejarah. Tanpa adanya suara dan parti yang ada di sini, kerjasama di peringkat pusat itu tidak menjadi menjadi kenyataan,” katanya.
Shafie berkata kehadiran pemimpin daripada KDM dan STAR pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Warisan hari ini memperlihatkan kerjasama politik antara parti berkenaan menjelang PRU akan datang.
Katanya, kerjasama dengan pemimpin dua parti berkenaan berlandaskan keikhlasan dan kekuatan bersama bagi memastikan suara Sabah dapat dibawa dengan lebih berkesan ke peringkat Pusat.











