Ah Wong sungguh gembira pada pagi itu hingga kelihatan semua gigi kuningnya. Dia ketawa, tersenyum dan bernyanyi-nyanyi sambil memijak pedal basikal. Ah Meng yang membonceng di belakang sungguh menyampah melihat gelagat Ah Wong.
“Wong, boleh tak kamu diam sebentar?”
Ah Meng tidak begitu gemar dengan perangai Ah Wong. Semua tugas yang diberikan dilakukan sambil lewa.
“Aku ingat hari ini kita tak akan dapat, nasib baik dapat,” kata Ah Wong menggoyang-goyangkan badannya sambil ketawa.
“Lebih baik berjalan sahaja. Kita tak perlukan basikal. Boleh tak kamu mengayuh dengan tutup mulut kamu itu sekejap?” kata Ah Meng dengan marah.
“Apalah kamu Ah Meng. Dahlah kita tinggal di hutan dalam ketakutan. Cuma pada masa-masa begini, kita dapat keluar. Lebih baik kita gunakan peluang ini untuk pusing-pusing bandar.”
“Kamu ingat leader hantar kita ke bandar untuk makan angin? Lebih baik kita cepat-cepat beli dan balik,” jawab Ah Meng.
“Selepas beli barang, kita minum cendol India yang di bawah pokok besar itu,” cadang Ah Wong dengan riang.
“Mana kamu ada duit, Wong?”
“Nanti mesti ada duit baki, bolehlah guna duit itu untuk minum cendol,” jawab Ah Wong lalu ketawa dan menyambung,
“Kalau kita tak cukup wang, bukankah Ah Lek terpaksa bagi juga.”
“Kayuh tengok depan Wong, jangan toleh-toleh tengok saya.
“Pastikan tak ada tentera atau polis di mana-mana. Kalau ada, saya kena cepat-cepat turun,” kata Ah Meng, cemas.
Matanya memandang ke kiri dan kanan.
“Mengapa kamu takut sangat? Kalau kita nampak takut pada mata orang, nanti mereka akan tahu siapa kita,” kata Ah Wong sambil mengayuh secara perlahan keluar dari kawasan kampung.
Ah Wong masih tidak mempedulikan nasihat Ah Meng lalu menyanyikan lagu-lagu Kantonis kegemarannya. Dia sungguh gembira dapat keluar ke bandar.
Walaupun terpaksa meninggalkan keluarga serta sanak-saudara, demi prinsip pasukan dan untuk memerdekakan negara daripada pemerintahan British, mereka haruslah bersabar.
* * *
Somu tiba di pintu masuk Sekolah Rendah Methodist dengan perasaan takut, gelisah dan tidak tenteram.
Dia tidak tahu boleh atau tidak mengadu perkara yang menimpanya kepada ibu, bapa dan guru-guru.
Dia boleh sahaja terus balik ke rumah tadi. Sudah tentu bapanya akan bertanya tentang basikal.
Apa akan dijawabnya nanti? Walaupun kehilangan basikal berlaku bukan kerana kecuaiannya; sudah tentu bapa akan menyiat-nyiatnya nanti dengan rotan.
Jika Somu berjalan ke sekolah seperti biasa tadi, sudah tentu kejadian yang tidak diingini itu dapat dielakkan.
Bapanya juga tidak mengizinkan Somu untuk mengayuh basikal ke sekolah. Dia yang beria-ria kerana bapanya tidak pergi menoreh kerana malam tadi hujan.
Ketika bapanya membawa cangkul dan sabit menuju ke kebun belakang rumah, Somu mengambil peluang itu untuk mengambil basikal.
Somu tidak sangka akan berlaku demikian ketika perjalanannya ke sekolah. Badannya menggigil. Walaupun kedua-dua mereka memiliki pisau, nasib baik mereka tidak mengapa-apakannya. Somu sungguh berterima kasih kepada Dewa Murugan.
* * *
Setelah masuk ke dalam kelas, Mr. Miles memerhatikan semua pelajar lelaki dan perempuan.
Dalam 25 orang pelajar, kelihatan 24 pelajar sahaja pada pagi itu dalam kelas darjah enam.
Sungguh menghairankan. Tidak nampak kelibat Somu. Kebiasaannya dialah orang pertama sampai ke sekolah. Walaupun rumahnya terletak agak jauh dari sekolah, dia tetap datang awal.
Mr. Miles mengagak mungkin Somu tidak sihat. Lagipun, tidak ada pelajar lain yang tinggal berdekatan dengan rumah Somu.
Rumah Somu terletak jauh ke dalam kawasan hutan melepasi perkampungan Melayu.
Setelah 10 minit berlangsungnya pembelajaran, baru kelihatan Somu memasuki kelas.
Langkahnya kelihatan lemah. Mr. Miles dan pelajar lain mendapati wajah Somu tidak ceria seperti kebiasaannya.
“Selamat pagi dan minta maaf, Sir kerana terlambat,” katanya dalam bahasa Inggeris.
“Awak duduk dulu dan keluarkan kerja rumah yang saya bagi semalam,” kata Mr. Miles tanpa menyoal tentang kelewatan Somu.
Setelah tamat pembelajaran, Mr. Miles menyuruh Somu berjumpanya di biliknya pada waktu rehat.
Pada pagi itu Somu tidak bercakap dengan sesiapa pun dalam kelas. Dengan kawan rapatnya, Mohsin pun dia tidak membuka mulut walaupun ditegur.
Ketika waktu rehat dia hanya dapat makan dua suap uppuma dan minum dua teguk kopi O.
Badannya masih menggigil sejak kejadian pagi tadi. Nasib baik mereka tidak mencuri uppuma dan kopinya tadi. Dia berterima kasih lagi kepada Dewa Murugan.
Somu masih tidak pasti sama ada dia perlu memberitahu kejadian tadi kepada Mr. Miles atau tidak. Dia boleh sahaja menipu dengan berkata yang dia sakit perut sebab itu lewat ke sekolah.
Tetapi Mr. Miles sungguh baik orangnya. Walaupun beliau seorang putih dari Amerika, pergaulannya dengan pelajar adalah sungguh baik. Beliau cuma tegas di dalam kelas.
Setelah beberapa minit merenung terhadap makanannya di kantin, Somu kembali ke kelas memasukkan bekas makanan dan minuman ke dalam dalam beg. Kemudian dengan perlahan-lahan dia melangkah ke bilik Guru Besar.
Setelah Mr. Miles bertanya beberapa kali barulah Somu menceritakan apa yang terjadi kepadanya.
“Bagaimana kamu tahu mereka adalah orang hutan? Adakah mereka memakai seragam?” Tanya Mr. Miles dengan bersungguh-sungguh dengan wajah tegang.
“Saya nampak mereka keluar dari dalam hutan atas bukit, jauh sedikit dari rumah saya. Mereka tidak memakai seragam,” jawab Somu dengan sugul.
“Oh, sudah tentu mereka ialah Bandits iaitu Komunis. Tetapi bagaimana kamu tahu mereka itu orang hutan. Mungkin juga mereka orang biasa.”
Mr. Miles bangun lalu menuju ke kerusi tempat Somu duduk dan menepuk-nepuk bahu Somu dari belakang.
“Mereka ada membawa pisau. Orang biasa mengapa perlu keluar dari hutan, Sir?”
“Hmm…,” Mr. Miles mengeluh dan kembali ke tempat duduknya berhadapan dengan Somu.
“Sir, nanti pulang ke rumah sudah tentu saya akan dipukul oleh bapa. Saya sangat takut, Sir. Minggu depan Deepavali. Basikal pula sudah dicuri orang,” kata Somu seperti hendak menangis.
“Kamu tidak perlu takut. Mari kita pergi ke balai polis sekarang untuk buat laporan. Nanti saya akan hantar kamu pulang.”
“Tak apa Sir. Saya sangat takut. Sir, tidak akan hadapi apa-apa masalah. Sir mungkin akan kembali ke Amerika dalam beberapa tahun lagi.
“Sudah tentu saya akan dibunuh kerana melaporkan perkara ini. Dan tempat tinggal mereka dan rumah kami terletak tidak berapa jauh saja, Sir,” kata Somu memandang ke bawah dan ke luar tingkap tanpa memandang terus wajah Mr. Miles.
Mr. Miles tersenyum dan kemudian mengetuk-ngetuk meja dengan pen seperti berfikir sesuatu.
“Rupa saya pun kelihatan seperti orang British. Sudah tentu mereka tidak akan suka saya juga. Mungkin gerila itu akan menembak saya seperti mana mereka menembak Sir Henry Gurney di jalan Kuala Kubu ketika menuju ke Fraser’s Hill tiga tahun yang lepas,” jawab Mr. Miles dengan keluhan.
Somu tidak berkata apa-apa.
Fikirannya mengingatkan kejadian pagi tadi sahaja. Wajah bapa dan basikal silih berganti di depan matanya.
* * *
Ah Meng dan Ah Wong membeli barangan keperluan harian seperti sardin, beras dan lain-lain menaiki basikal menuju ke tempat tinggal mereka.
Kemungkinan besar ada orang tahu siapa mereka sebenarnya. Jika tahu pun mereka akan diam-diam sahaja.
Oleh kerana Ah Meng menggesanya untuk pulang cepat, Ah Wong tidak dapat menikmati cendol yang diidamkannya itu.
“Senang sahaja kamu. Mengayuh saja. Aku dengan barang di kedua-dua belah tangan berjalan di tengah panas!” Marah Ah Meng melihat gelagat Ah Wong acuh tak acuh itu.
“Bukankah di karier pun ada barang, bagaimana kamu boleh membonceng?” Jawab Ah Wong, sambil bersiul.
“Wong, nanti sudah masuk hutan, kita buang sahaja basikal ini di mana-mana. Susah mahu naik bukit nanti.”
“Kita simpan sajalah Meng. Buat apa hendak buang? Takkanlah selalu mahu rampas basikal orang?”
Setelah masuk ke dalam hutan, Ah Wong tidak dapat mengayuh dengan teratur lagi. Dia turun dari basikal dan mula menolaknya. Ah Meng pula yang ketawa. Beberapa barang dari karier turut jatuh.
“Bukankah saya sudah cakap tadi. Tengok sekarang, barang semua sudah tercicir. Itulah susahnya kalau ambil budak-budak sekolah masuk ke dalam pasukan,” bising Ah Meng.
* * *
Mr. Miles dan Somu bergerak ke balai polis berhampiran menaiki kereta Volkswagen.
Di balai polis, Mr. Miles melaporkan apa yang terjadi dengan Somu kepada pegawai yang bertugas.
Pegawai polis itu juga mengajukan beberapa soalan kepada Somu. Kali ini Somu menjawab dengan tenang kerana Mr. Miles ada disampingnya.
Selepas itu Mr. Miles menghantar Somu pulang ke rumahnya dan menerangkan kejadian itu kepada bapa Somu. Mr. Miles memesan agar tidak mengapa-apakan Somu.
Dalam beberapa jam selepas itu kelihatan banyak trak tentera dan jip polis mengerumuni seluruh daerah itu. Pagar-pagar dawai berduri dipasang di seluruh kawasan agar keselamatan terjamin dan pasukan gerila tidak dapat keluar dan masuk.
Perintah berkurung dilaksanakan dengan serta merta.
“Sudahlah bagi basikal kepada mereka, siapa suruh kamu melaporkan perkara ini dengan Mr. Miles? Somu, awak ingat sudah jadi orang besar kah?”
Kemarahan bapanya tidak meninggalkan apa-apa kesan pada Somu. Dia bangga telah melaksanakan tanggungjawabnya.
Yang menyedihkan Somu adalah dia tidak akan dapat membakar mercun bersama adik-beradiknya pada hari Deepavali dan tidak boleh ke mana-mana nanti. Mahu menonton wayang gambar pun tidak boleh.
Pada subuh hari Deepavali, burung-burung sedang berkicauan berterbang bebas di angkasa raya.
Somu serta ahli keluarganya sedang menyapu minyak bijan pada kepala dan badan.
Terdengar suatu bunyi ledakan dan gegaran yang sungguh kuat dari arah belakang rumah mereka. – Mingguan Malaysia











