Puas Imran mencari pekerjaan di Kuala Lumpur. Keputusannya untuk mencari kerja sambilan bagi menyambung pelajaran di universiti belum berhasil. Setiap iklan yang ditampal di papan kaca, setiap borang yang diisi, berakhir dengan senyap yang sama tiada jawapan. Wang simpanan makin nipis, doa pula semakin panjang.
Suatu petang, ketika azan Asar tenggelam di celah bangunan tinggi, Hakim muncul dalam hidupnya semula.
Rakan sekolah lama, wajahnya masih serupa, cuma pandangan mata lebih berhati-hati. Mereka duduk di warung sempit berhampiran stesen LRT, bunyi tren menjadi latar perbualan yang terputus-putus.
“Aku kerja spa,” kata Hakim perlahan, seolah-olah takut ayat itu terdengar lebih jauh daripada meja mereka.
“Spa lelaki. Kerja belakang tabir saja. Tukar tuala, kemas bilik. Yang penting, kita tak terlibat.”
Ayat itu berlegar lama dalam kepala Imran.
“Yang penting, kita tak terlibat.” Imran menunduk. Jarinya menggenggam cawan teh yang sudah suam.
Dalam dadanya, hafazan lama bergerak tanpa diminta. Ayat-ayat yang dulu diulang setiap subuh,kini muncul sebagai bayang, bukan nasihat. Dia tidak bertanya lebih lanjut. Tidak juga menolak. Perutnya lebih dahulu menjawab, dengan rasa lapar yang memalukan.
Malam itu, Imran sujud lebih lama daripada biasa. Doanya tidak berbunga, tidak juga penuh kata. Cuma satu permintaan berulang, agar langkah yang bakal diambil tidak menelan dirinya sendiri.
Hari pertama di spa itu bermula tanpa upacara. Lampu malap, bau minyak panas, dan lorong-lorong sempit yang tidak bertingkap. Hakim menunjukkan tugas-tugas ringkas, bercakap tentang waktu kerja, tentang pelanggan, tentang perkara-perkara yang ‘Tak perlu difikirkan’.
Namun Imran tahu, ada ruang yang tidak bernama di tempat itu. Ruang yang sunyinya berat. Ruang yang membuatkan dada terasa sempit walaupun pintu terbuka. Di situlah, tanpa sedar, Imran mula belajar bahawa tidak semua dosa bermula dengan niat ada yang bermula dengan keperluan.
“Bukankah itu bersuhabat, Hakim?” suara Imran rendah, hampir tenggelam oleh bunyi kipas siling. “Kau tidak ingat pak guru kata apa?”
Hakim tersenyum nipis. Senyum yang tidak sampai ke mata.
“Imran,” katanya sambil membetulkan lencana kecil di bajunya, “Hidup ini tak sama macam di asrama. Kita bukan buat apa-apa. Kita cuma kerja.” Imran diam.
Wajah pak guru terlintas. Suara tegas, tangan berkapur, ayat-ayat peringatan yang dulu dianggap mudah. Kini, semuanya terasa jauh, seolah-olah berasal dari hidup orang lain. Kuala Lumpur tidak memberikan ruang untuk kenangan lama menetap lama-lama.
“Lagipun,” sambung Hakim, “Kau nak sambung belajar, kan? Ini sementara. Ada rezeki kita cari lain.”
Ayat terakhir itu menikam perlahan. Imran mengangguk tanpa sepenuh yakin. Dalam dirinya, ada sesuatu yang cuba bangkit, tapi cepat ditekan oleh realiti. Sewa bilik, yuran pendaftaran, ubat untuk ibu di kampung.
Lorong spa itu memanjang di hadapan mereka. Sunyi, licin, dan berbau asing. Imran melangkah masuk dengan perasaan sukar dinamakan. Bukan berani, bukan juga rela. Cuma satu persetujuan yang lahir daripada keletihan.
Pada langkah itulah, sesuatu dalam dirinya mula bergeser. Antara ajaran yang pernah dihafaz, dan kehidupan yang kini menuntut diam.
Hari pertama juga Imran hanya diminta tauke untuk membersihkan bahagian tertentu sahaja. Tidak seluruh spa, tidak juga ruang hadapan. Cukup lorong belakang, bilik kecil tanpa tanda, dan satu sudut yang jarang dilalui pelanggan. Arahan itu ringkas, tanpa penjelasan.
Pada mulanya, Imran hairan. Semuanya kelihatan bersih. Lantai berkilat, tuala tersusun kemas, tong sampah kosong. Tiada kesan kerja berat, tiada bau yang menyenangkan atau menjengkelkan. Semuanya sekadar sunyi yang terlalu teratur.
“Bersihkan saja,” kata tauke itu tadi, nada suaranya datar. “Yang ini jangan tanya.”
Imran menurut. Dia menyapu lantai yang sudah licin, mengelap permukaan yang tidak berdebu, menyusun semula barang yang tidak berubah kedudukannya. Kerja berjalan lancar, terlalu lancar, hingga menimbulkan rasa tidak selesa yang sukar diterjemahkan.
Sesekali, Imran berhenti. Memandang pintu-pintu tertutup di sepanjang lorong. Ada berkunci, ada sekadar dirapatkan. Dari baliknya, tiada suara. Namun keheningan itu bukan kosong, seolah-olah menyimpan sesuatu yang sengaja tidak mahu ditunjukkan.
Imran menelan liur. Hatinya berbisik, tetapi tidak berani menyebut. Dia menyambung kerja, cuba meyakinkan diri semuanya biasa. Bahawa tugasnya hanya membersih, bukan menilai.
Namun saat mopnya menyentuh satu sudut lantai yang sedikit lembap. Dia terus musykil tetapi kembali meneruskan kerjanya. Kali ini tanpa suara, hanya rasa yang membuatkan dadanya mengetat, walaupun apa-apa belum lagi berlaku.
Hari pertama itu berakhir tanpa kejadian. Tetapi Imran pulang dengan satu soalan yang enggan diam. Mengapa bahagian yang paling bersih, terasa paling berat untuk dibersihkan?
Beberapa orang lelaki, kebanyakannya berusia, menegurnya dengan ramah. Senyuman mereka panjang, suara rendah dan teratur, seolah-olah sudah biasa melihat wajah-wajah baharu datang dan pergi.
“Budak baru ke?” Tanya seorang, sambil menyandarkan badan di dinding lorong.
Imran mengangguk kecil.
“Ya.”
“Kerja elok-elok,” sambung yang lain, nada suaranya lembut tetapi sukar ditafsir.
“Ikut saja arahan.”
Imran membalas dengan senyum nipis. Tangannya menggenggam mop lebih kuat daripada perlu. Keramahan itu tidak mengancam, namun juga tidak menenangkan.
Dia berlalu pergi, menyambung tugas di hujung lorong. Dari belakang, dia masih dapat merasakan pandangan mereka. bukan tajam, bukan kasar, cuma hadir, seperti sesuatu yang tidak mahu dilupakan.
Di situ, Imran sedar: tempat ini tidak menyembunyikan apa-apa dengan kekerasan. Segalanya diselindung dengan suara rendah, senyum sederhana, dan ayat-ayat yang tidak pernah lengkap. Untuk pertama kalinya, Imran merindukan kebisingan asramanya dahulu.
Imran turut membantu tauke menyediakan hidangan ringan apabila diminta oleh pelanggan. Cawan-cawan kecil berisi teh herba, pinggan putih dengan biskut nipis, disusun rapi di atas dulang perak. Kerjanya mudah, hampir mekanikal.
Namun hatinya mula cuak apabila melihat beberapa bilik tertutup dimasuki oleh mereka yang rata-ratanya sudah berusia. Pintu ditarik rapat, kunci diputar perlahan. Lorong kembali sunyi, seolah-olah tidak pernah dilalui sesiapa. Imran berdiri seketika, memandang nombor bilik yang tidak bermakna apa-apa. Nafasnya pendek. Dia menoleh ke kiri, ke kanan.
“Kita buat kerja kita sahaja, ya.” Suara Hakim muncul dari belakang, rendah tetapi tegas. Tidak memujuk, tidak juga mengarah. Lebih seperti peringatan yang lama dihafal.
Imran mengangguk. Dulang di tangannya sedikit bergetar, lalu cepat-cepat dia menstabilkannya. Dalam kepala, satu ayat lama berulang tanpa lafaz. Itu cukup untuk membuatkan dadanya terasa berat.
Dia melangkah pergi, menghantar hidangan ke kaunter, meninggalkan lorong itu di belakang. Namun sesuatu telah pun tertinggal dalam dirinya. Rasa yang sukar dibersihkan, walaupun tangan masih bersih.
Imran berdiri di lorong belakang, dulang di tangan, tetapi hatinya sudah jauh dari kerja itu. Sunyi di sekeliling seperti membentuk dinding tidak kelihatan. Tekanan yang tidak dapat disentuh, tetapi cukup membuat nafasnya sesak.
Dari balik pintu tertutup di hujung lorong, terdengar sesuatu. Bunyi yang samar. Entah ketukan, entah geseran, namun cukup untuk membuat Imran terasa ruangnya direntas tanpa sentuhan. Tubuhnya kaku, jantungnya berdegup seolah mahu menembusi dada.
Dia menoleh ke Hakim. Mata rakan itu tetap tenang, seakan membaca dunia lain, bukan dunia Imran. “Hati-hati. Perhatikan batasmu.”
Bunyi itu muncul sekali lagi. Kali ini, lebih dekat, tetapi tetap tanpa bentuk yang jelas. Imran merasakan sebuah kehadiran yang tidak kelihatan. Tidak menyerang, tidak menyentuh, tetapi cukup untuk membangkitkan rasa terancam yang pekat di setiap inci dirinya.
Dia menunduk, mulutnya terkunci, tetapi mindanya tidak berhenti. Segala hafazan ayat yang pernah diulang sejak subuh muncul sebagai gema yang memantul di dalam kepalanya.
Imran sedar sesuatu. Ketakutan bukan datang daripada yang nyata. Sebaliknya, kesedaran bahawa dirinya rapuh di tempat yang tidak dikenali.
Hari kedua, Imran mengangkat dulang ke bilik yang sama. Pelanggan lelaki itu hadir dengan senyum yang terlalu lama, terlalu dekat. Imran merasakan ruangnya seakan mengecil, bukan kerana disentuh, tetapi kerana perhatian yang tidak dijangka. Hatinya berdebar, jari-jarinya menggenggam dulang lebih kuat, langkahnya menjadi tergesa-gesa
Hakim muncul di lorong. Mata mereka bertembung. Sekali lagi, suara rendahnya menjadi peringatan, “Kita buat kerja kita saja.”
Rasa tidak selesa itu tidak hilang. Imran tahu ada sempadan yang hampir dilanggar. Itu sudah cukup untuk membuatkan dia takut, cemas, dan tersedar bahawa beberapa tindakan pelanggan adalah tidak wajar, tetapi masih belum melibatkan fizikal yang jelas.
Dia menunduk, menafsirkan setiap gerakan dengan hati-hati, dan belajar bahawa kadang-kadang ketakutan sendiri cukup untuk mengajar batas.
Hari seterusnya bermula lebih sunyi daripada biasa. Imran masuk lebih awal, tangannya masih memegang dulang yang berat sedikit daripada biasa. Jantungnya berdegup perlahan tetapi tajam. Lorong belakang yang sempit dan lampu malap seakan menyambutnya dengan bayang yang panjang.
Beberapa pelanggan mula hadir lebih awal. Mereka tidak kasar. Tidak mengucapkan kata yang terang-terangan. Namun setiap sapaan, setiap senyum, terasa terlalu lama dan terlalu dekat.
Imran merasakan ruang peribadinya direntas walaupun tidak disentuh. Ketidakselesaan itu cukup untuk membuatkan dia menunduk, langkahnya tergesa, dan hati berdebar.
Di bilik kecil persiapan, dia menumpukan perhatian pada hidangan ringan: cawan teh, pinggan biskut, dulang berkilat. Hakim muncul di lorong, mata mereka bertemu seketika tanpa menyapa.
Hati Imran semakin berat. Dia sedar batas yang selama ini dianggap jelas kini direntasi oleh kehadiran orang lain. Setiap senyuman yang sengaja lama, setiap gerak tangan yang terlalu dekat, mengajar dia bahawa ketakutan sendiri cukup untuk menegakkan batas.
Sejam kemudian, bunyi siren mula menghampiri. Pelanggan yang baru datang menoleh, tauke menunduk, dan Hakim hanya menepuk bahu Imran perlahan. “Kita ikut arahan saja,” bisiknya.
Tidak lama selepas itu, pintu spa diketuk kuat.“Buka pintu! Polis!”
Imran terkejut, tangan menggenggam dulang erat. Pelanggan berusia itu terdiam, ada yang cuba menolak pintu, ada yang membeku. Hakim berdiri di belakang, tenang.
Serbuan itu pantas. Polis masuk, menyenaraikan semua yang berada di premis. Imran dibawa turut serta ke balai polis, bersama dengan pelanggan dan pekerja lain. Sepanjang perjalanan, hatinya berdebar tidak menentu.
Di balai polis, terkuak bahawa serbuan itu bukan kerana spa, bukan kerana pelanggan, dan bukan kerana Imran. Semuanya berkaitan kesalahan pihak ketiga yang dikatakan menyalahgunakan premis spa tanpa diketahui semua orang.
Imran tersentak. Semua rasa tidak selesa, semua ketakutan yang dirasai sejak hari pertama tidak ada yang bersalah pada dirinya. Namun dia tetap terperangkap dalam keadilan yang tidak masuk akal.
Hafazan, doa, dan ayat yang diulang setiap malam tidak mampu melindunginya daripada rasa bersalah yang ditanam sendiri. Dia hanya kerana berada di tempat yang salah pada masa yang salah.
Hakim duduk di sebelah Imran. Mata mereka berkata-kata. Seketika itu dia memahami, hidup bukan tentang salah atau benar. Sebaliknya, keberanian berdiri walaupun dalam keadaan yang paling tidak adil.
Malam itu, Imran pulang dengan satu kepastian yang pahit. Niat tidak menghalalkan usaha. – Mingguan Malaysia










