Sampul duit raya - Utusan Malaysia

Sampul duit raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Satu
Pak Hassan merenung jauh ke luar jendela. Matanya memerhatikan kepada daun-daun rambutan gading di laman rumahnya gugur ke tanah kering dan layu akibat cuaca panas di bulan Ramadan ini.

Hujan yang turun sesekali pada waktu pagi dan petang tidak mampu menghilang haba yang membakar pohon itu di siang hari. Tinggal beberapa hari lagi, umat Islam akan berpuasa.
Bulan Ramadan akan ditinggalkan apabila umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri menjelangnya pagi Syawal. Lusa, Jabatan Agama akan melihat anak bulan di Telok Kemang.

Di Masjid Biru, barisan saf yang dulunya kekal meneruskan solat sunat Tarawih semakin berkurangan kerana menyediakan persiapan Hari Raya Aidifitri. Tumpuan mereka lebih diberikan kepada pasar raya-pasar raya di Seremban 2 untuk membeli pakaian baru untuk diri dan anak-anak.

Ramadan kali ini, Restoran Kamal Tiga Adik Beradik di Taman Tasik Jaya (TTJ) tidak lagi membuat sajian hidangan buffet untuk mereka yang mahu berbuka puasa di restoran itu.

Di restoran itulah Pak Hassan dan Mak Midah sering menikmati nasi lemak ayam goreng, capati kambing, mee sup, nasi goreng Cina sebelum datang Ramadan.

Restoran Tiga Adik Beradik ini juga menawarkan juadah berbuka puasa ala ‘buffet Ramadan’ dengan harga berpatutan setiap kali menyambut bulan yang mulia itu. Pak Hassan mencari kawasan parkir yang agak teduh apabila sampai ke restoran itu.

“Ramadan kali ini, kami hanya jual lauk saja Mak Midah. Barang keperluan semakin lama semakin mahal hari ini. Kalau barang keperluan bahan dah mahal, kita yang selia kedai makan ni perlu juga kenakan harga yang mahal juga. Pelanggan kami yang datang sudah tentunya merungut kenapa harga ‘buffet’ mahal. Kali ini kami jual lauk sajalah,” ujar Mak Esah.

Mak Midah tidak melihat lagi ada kain rentang promosi Buffet Ramadan seperti tahun lalu. Pak Karim yang berdiri di sisi Mak Esah hanya mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Mak Midah faham, Esah. Lagi pun ikan,daging sayur kat pasar tu pun naik harga,” jelas Mak Midah.

“Dah tahu tak apa, Mak Midah,” usik Pak Karim.

“Betul cakap Mak Esah itu. Sebelah rumah saya peniaga di tapak bulan Ramadan juga menolak menjaja kerana sewa tapaknya mahal,” terang Mak Jah. Suaminya Pak Awi hanya tersenyum.

“Kalau tak mampu kita belilah saja lauk di luar dan buka puasa di rumah sajalah,” celah Pak Awi pula.
Mak Midah pernah bertengkar dengan tukang jahit, Madam Fong kerana upah pakaiannya naik mendadak atas alasan faktor kenaikan harga semasa.

Bukannya Mak Midah tak kenal pada Madam Wong. Sejak bertugas di Wisma Persekutuan, Mak Midah sudah menempah pakaian baju kurungnya di kedai jahit Madam Wong itu.

Apabila perkara itu dibawa berbincang dengan Pak Hassan, lain pula pandangan suaminya itu.

“Awak itu cerewet, Midah. Kalau dah Madam Wong tu merajuk dengan siapa lagi awak hendak menempah pakaian?”

“Ah, kenaikan harga upahnya tak muna­sabah bagi saya,”

“Adalah sebab kenapa Madam Fong naikkan upahnya tu. Dah awak buat sekali pakaian cucu-cucu awak sekali mahallah jadinya.”

Mak Midah kemudian terdiam. Mungkin termakan kata-kata nasihat dari suaminya Pak Hassan itu.
Lewat pagi itu Pak Hassan mengambil sampul raya di atas meja. Tangannya membelek-belek sampul itu.

Kebiasaannya, sampul berisi wang RM5 dan RM10 disediakan kepada anak-anak buahnya yang masih kecil ketika datang berhari raya di rumahnya setiap Aidilfitri.

Tapi kali ini perasaan Pak Hassan berbelah bahagi. Kalau semua pihak sudah mengambil langkah berjimat cermat, dia pun mahu mengambil langkah yang serupa juga.

Minda Pak Hassan merayap seperti sang semut yang mencari gula. Sudah tentunya anak-anak buahnya itu menuduhnya kedekut sebab tidak ada sampul duit raya itu.

Mereka menuduhnya Pak Hassan sebagai ‘Haji Bakhil’ nanti. Sudah tentunya anak-anak buahnya berasa hampa ketika bersalaman dengannya di pagi raya itu dengan tangan kosong dan tidak mendapat sampul duit raya seperti mana tahun-tahun lalu.

‘Biarlah. Nak lakukan perubahan ni bukannya mudah. Sudah tentu ada buruk dan baiknya,’ gerutu Pak Hassan dalam sanubarinya.

Pak Hassan berasa bimbang keputusan yang dibuatnya itu memakan dirinya sendiri. Pak Hassan mahukan pandangan isterinya Mak Midah. Kalau dirinya setuju dan isteri Mak Midah tak setuju, sukar baginya membuat keputusan.

Mak Midah terdengar suara batuk daripada Pak Hassan dalam bilik. Mak Midah datang mendapat suaminya. Daun pintu dikuak secara perlahan-lahan. Irisnya sempat mengerling sampul raya di tangannya.

“Sejak dari tadi saya tengok awak pegang sampul raya tu. Kenapa? Tak cukup ke sampul duit raya tu? Kalau tak cukup, mintalah pada saya

“Nilah yang memeningkan kepala saya ini,” balas Pak Hassan.

“Apa yang peningnya? Agaknya awak kurang minum air ketika berpuasa kot. Sebab itulah perjalanan darah jadi tak betul,” ujar Mak Midah.

“Macamlah awak tu doktor nak nasihatkan saya,” usik Pak Hassan.
“Saya…saya rasa tahun ni saya tak nak bagi sampul duit raya untuk cucu-cucu kita tu,” ujar Pak Hassan.

“Kenapa pula ni?” Tanya Mak Midah.

“Awak tak terasa ke? Sekarang ini peniaga-peniaga dah mulai maklum nilai wang di tangan mereka semakin kecil. Ada yang tak suka berbelanja. Mereka sudah berhati-hati ketika berbelanja. Saya nak ikut langkah merekalah,” terang Pak Hassan yang merupakan seorang pesara daripada jawatan awam.

“ Oh, saya tidak. Saya tak mahu mengikut jejak awak tu. Saya mahukan kanak-kanak itu riang-ria menyambut Hari Raya,” balas Mak Midah.

Pak Hassan terdiam apabila buah fikirannya disanggah. Mak Midah juga seorang pesara daripada jabatan awam. Terasa saraf di bahagian kepala seperti semut yang datang mengigit. Nasib baiklah perkara ini dibincangkan dengan Mak Midah sebelum ia dilaksanakan.

Tiba-tiba Mak Midah teringatkan bayaran fitrah Ramadan kali ini.

“Awak dah bayar fitrah ker untuk saya?” Soal Mak Midah.

“Erk, ke situ pula awak ni. Saya dah lunaskan pada amil bertugas di Masjid Biru itu selepas solat Jumaat tempoh hari,” jelas Pak Hassan.

Mak Midah tersenyum kerana terlaksana hajatnya mengusik suaminya berwajah serius itu. Minda Mak Midah mencernakan cadangan yang suaminya itu.

Mak Midah teringatkan anaknya Zaharah yang bertugas sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) di Putrajaya.

Anak perempuannya itu sudah pun berumah tangga dan mempunyai dua anak perempuan yang berusia 6 tahun dan 8 tahun itu.
Kalau Ramadan tahun lalu, Zaharah ada membelikan kurma atau juadah untuknya berbuka, Ramadan kali ini tidak.

Mak Midah mengharapkan begitu setiap kali Zaharah dan suaminya Kasiman datang mengambil anak-anaknya di rumahnya setelah pulang dari tempat kerja. Sangkaannya meleset. Pernah perkara itu dibangkitkan kepada suaminya Pak Hassan, tapi suaminya itu menasihatkannya jangan meminta-minta daripada orang. Sesuatu pemberian itu biarlah datangnya secara ikhlas dari hati orang itu, waima daripada darah daging sendiri.

“Apa yang awak menungkan sejak tadi tu? Awak tak setuju ke dengan cadangan saya tu?” Soal Pak Hassan.

“Tak setuju langsung. Nanti dituduhnya kita ni kedekut” balas Mak Midah sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Awak tetap tidak mahu hulurkan sampul duit raya pada murid-murid KAFA awak tu?” Soal Mak Midah. Pak Hassan terdiam memperlihatkan mukanya yang cemberut itu.

Dua
Usai mengerjakan solat sunat Hari Aidilfitri di Masjid Biru, Pak Hassan dan Mak Midah bersalaman dengan rakan-rakannya. Ada yang datang membawa cucu masing-masing. Mak Midah sempat menghulurkan sampul duit raya kepada kanak-kanak itu.

“Tak nampak pun awak menghulurkan sampul duit raya pada cucu-cucu anak kawan-kawan awak tu?” Usik Mak Midah dalam perjalanan pulang ke rumah menaiki kereta Aruz yang dipandu Pak Hassan sendiri.

“Kan saya dah kata pada awak. Tahun ini saya tak mahu amalkan sampul duit raya ni macam sambutan Hari Raya Aidilfitri yang terdahulu,” balas Pak Hassan.

Ketika memandu pulang ke rumah jaraknya 10 minit perjalanan, Pak Hassan macam menyepi diri. Perasaannya bertukar menjadi tidak menentu apabila melihat senario orang lain memberikan sampul duit raya kepada kanak-kanak.

Betul ke cara aku ni? Belum pernah dibuat orang sebelum ini?’ Gerutu Pak Hassan di dalam hati.
Setelah sampai ke rumah, Mak Midah ke dapur menyediakan ketupat dan rendang sebagai juadah Hari Raya. Pak Hassan membantu Mak Midah membancuh kopi O.

“Saya terasa diri saya terasing pula kerana tidak menyediakan sampul duit raya untuk kanak-kanak tu,”
Pak Hassan teringatkan cucu-cucunya yang akan datang berhari raya di rumahnya nanti.
Sedang Pak Hassan memikirkan sampul duit raya itu, tiba-tiba kedengaran suara orang memberi salam. Mak Midah menyahut bunyi salam ini.

Zaharah dan suaminya Kasiman datang berhari raya membawa dua anaknya iaitu Anisah dan Aufa. Selang beberapa waktu kemudian muncul mula keluarga Zul-Atfi dan keluarga Zulhelmi.

Zul-Atfi dan Yati membawa Lokman, Suriani dan Ilias. Zulhelmi dan Yan membawa anak mereka Aisyah dan Badrul. Umur kanak-kanak itu dalam lingkungan 6 hingga 8 tahun sahaja.
Menantu Mak Midah ke dapur menolong menyediakan juadah Hari Raya untuk dibawa ke ruang tamu. Pak Hassan semakin tertekan sama ada mahu memberikan cucu-cucunya sampul duit raya atau tidak.

Mak Midah menghulurkan sampul duit raya kepada cucu-cucunya. Sedang masing-masing menghadapi hidangan hari raya itu datang kira-kira 20 kanak-kanak KAFA di mana Pak Hassan adalah salah seorang tenaga pengajar.

“Dah kenapa dengan awak ini? Resah saja saya tengok sejak dari tadi?” Usik Mak Midah.

“Awak nak ke mana tu?” Tanya Mak Midah.

“Saya nak ke dalam bilik sekejap,” balas Pak Hassan.

Pak Hassan mencari sampul duit raya di dalam laci. Pak Hassan memasukkan wang kertas RM5 ke dalam setiap sampul duit raya itu.
“Awak buat apa lama sangat dalam bilik tu? Keluarlah murid-murid KAFA tu nak bersalaman dengan awak,” getus Mak Midah.

Mak Midah hanya tersenyum melihat gelagat Pak Hassan menghulurkan sampul duit raya murid-murid itu ketika bersalaman sebelum mereka pulang.

Pak Hassan dan Mak Midah turut menyumbangkan sampul duit raya kepada cucu mereka setelah usai sesi bermaaf-maafan.

Ketika giliran Zulhelmi, Zul-Atfi dan Zaharah bersalaman dengan Pak Hassan, masing-masing mengeluarkan sampul duit raya untuk Pak Hassan dan Mak Midah.

“Nilah duit raya untuk ayah dan mak. Ampunkan dosa Along pada ayah dan mak ye,” ujar Zulhelmi yang menggelarkan dirinya Along ketika bersalaman dengan Pak Hassan dan Mak Midah.

Ia diikuti oleh Zul-Atfi. Zaharah menghilangkan diri ke dalam bilik kerana terlupa membawa sampul duit raya untuk Pak Hassan dan Mak Midah. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN