ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, memerintahkan seorang guru yang menjadi ejen kepada skim penjualan emas, untuk membayar sejumlah RM1.5 juta kepada 15 mangsa yang mengalami kerugian.
Perintah itu dikeluarkan Hakim Dr Mohammad Johan Lee yang membenarkan tuntutan dibuat plaintif, kebanyakannya adalah penjawat awam yang diperdaya apabila melabur dalam skim berkenaan.
Difahamkan, kebanyakan mangsa adalah guru yang juga rakan kepada orang kena saman (OKS).
Peguam mewakili semua mangsa, Mahmud Jumaat, berkata berdasarkan fakta kes, anak guamnya tertarik selepas ditawarkan OKS yang menjadi ejen skim jual beli emas yang menawarkan pulangan lumayan.
Katanya, tarikan utama skim itu ialah tawaran pembelian emas pada harga jauh lebih murah berbanding harga pasaran.
“Apa yang menarik dalam kes ini ialah individu yang disaman adalah seorang guru sekolah rendah.
“Dalam pembelaannya, guru berkenaan mendakwa bahawa beliau hanya seorang ejen atau orang tengah.
“Beliau memaklumkan hanya mempromosikan jual beli emas bagi pihak penganjur skim, Siti Hajartul Haini Abd Hamid, 39,” katanya, di sini, hari ini.
Mahmud berkata, tawaran yang menarik itu mendorong anak guamnya untuk mengeluarkan wang hingga mencecah ratusan ribu ringgit bagi setiap individu melabur dalam skim berkenaan.
Katanya, ejen terbabit mendakwa peranannya hanya menyampaikan maklumat dan tawaran jual beli emas yang diberikan oleh Siti Hajartul Haini kepada pembeli.
“Mahkamah menolak pembelaan itu selepas mendapati wujud hubungan kontraktual antara guru dengan plaintif apabila pembayaran wang pembelian emas dibuat secara langsung ke dalam akaun peribadi dan akaun perniagaannya.
“Mahkamah turut mendapati guru berkenaan bertanggungjawab terhadap kegagalan menyempurnakan obligasi kontraktualnya dan memulangkan wang pembelian yang sudah diterima daripada plaintif,” katanya.
Beliau memaklumkan, mahkamah kemudian memerintahkan guru itu membayar RM1.5 juta kepada 15 plaintif berdasarkan jumlah wang pembelian yang berjaya dibuktikan sepanjang perbicaraan.
Pada April lalu, Siti Hajartul Haini yang juga seorang suri rumah, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menipu penjualan emas yang tidak wujud membabitkan kerugian berjumlah RM173,500 pada 2024.
Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita yang dikehendaki polis berhubung penipuan jualan emas membabitkan kerugian jutaan ringgit, ditahan sebaik tiba dari Dubai di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada 22 Oktober 2024.
Wanita terbabit dipercayai menipu lebih 100 mangsa yang berputih mata apabila kerugian lebih RM110 juta selepas diperdaya dengan harga emas 916 yang lebih rendah daripada pasaran.
Kebanyakan mangsa yang bekerja di satu unit di sebuah hospital awam di Lembah Klang, selain guru di beberapa negeri.
Sama seperti skim kutu yang memperdaya mangsa sebelum ini, pelabur ditawarkan dengan harga murah sehingga ada yang sanggup meminjam daripada saudara mara, rakan dan peminjam wang tanpa lesen semata-mata merebut ‘tawaran hebat’ terbabit.











