Gas Malaysia bekal biomethana hijau ke Jepun - Utusan Malaysia

Gas Malaysia bekal biomethana hijau ke Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gas Malaysia Bhd. (Gas Malaysia) menembusi pasaran tenaga hijau antarabangsa menerusi pembekalan biomethana yang diperakui Pensijilan Kelestarian dan Karbon Antarabangsa (ISCC) bagi menyokong urus niaga jualan segera gas asli cecair bio (BioLNG) ke Jepun.

Pembekalan menerusi anak syarikat milik penuhnya, Gas Malaysia Energy and Services Sdn. Bhd. (GMES) itu merupakan bekalan pertama biomethana diperakui ISCC oleh kumpulan berkenaan bagi menyokong penjualan BioLNG ke pasaran antarabangsa.

Pencapaian itu mencerminkan usaha Gas Malaysia memperluas penawaran gas hijau tempatan ke pasaran luar negara, selain membuka peluang komersial baharu dalam rantaian nilai tenaga boleh baharu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gas Malaysia, Azli Mohamed, berkata ketersediaan hasil sampingan kelapa sawit dan sisa organik yang meluas menawarkan potensi besar untuk meningkatkan pengeluaran biomethana serta memperkukuh rantaian nilai gas boleh baharu negara.

Katanya, infrastruktur sedia ada membolehkan sumber berkenaan dihubungkan dengan permintaan tenaga sektor perindustrian, sekali gus mewujudkan peluang komersial baharu.

“Rangkaian infrastruktur sedia ada membolehkan kami menghubungkan sumber ini dengan permintaan tenaga industri dan mewujudkan peluang komersial baharu seperti urus niaga jualan segera yang memberikan fleksibiliti kepada pelanggan untuk mencapai matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) mereka,” katanya.

ISCC merupakan skim pensijilan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa bagi mengesahkan aspek kemampanan dan kebolehkesanan bahan serta produk, termasuk biomethana yang dihasilkan daripada sisa organik.

Bekalan biomethana diperakui itu diperoleh menerusi Gas Malaysia Green Ventures Sdn. Bhd. (GMGV), anak syarikat milik penuh Gas Malaysia yang bertanggungjawab menerajui perniagaan gas hijau kumpulan sejak 2019.

GMGV mengendalikan aktiviti berkaitan pengeluaran dan perdagangan biomethana serta perkhidmatan pensijilan alam sekitar.

Sejak penubuhannya, GMGV membangunkan Stesen Suntikan Biomethana Berpusat pertama di Malaysia yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records.

Syarikat itu turut memperluas rangkaian pembekalannya dengan bekerjasama bersama sumber pengeluaran biomethana daripada hasil sampingan kilang kelapa sawit, sisa organik dan bahan mentah lain.

Dalam pada itu, Gas Malaysia akan terus memperluas portfolio gas hijaunya dan meneroka peluang pasaran baharu bagi menyokong aspirasi peralihan tenaga negara di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), khususnya dalam memajukan potensi bioenergi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini