BUTTERWORTH : Sebagai antara syarikat subsidiari di bawah Kumpulan MMC, Gas Malaysia Berhad (Gas Malaysia) komited untuk mengekal serta mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia penyelesaian tenaga inovatif menerusi teknologi gabungan Haba dan Kuasa (CHP).
Dikenali sebagai penjanaan haba dan kuasa ‘Cogeneration’ atau Penjanaan Tenaga Gabungan, sistem CHP secara umumnya berfungsi sebagai penjana bagi kedua-dua elektrik dan haba daripada satu sumber bahan api.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Gas Malaysia, Ahmad Hashimi Abdul Manap, teknologi CHP amat bermanfaat untuk pelanggan sektor perindustrian yang memerlukan kedua-dua tenaga elektrik dan haba, seperti wap atau air panas.
“Dalam hal ini, Gas Malaysia Energy Advance Sdn. Bhd. (GMEA) turut menjalin usaha sama antara Gas Malaysia dan Tokyo Gas Engineering Solutions Coorporation (TGES) bagi menerajui industri CHP.
“Untuk rekod, ketika ini, GMEA mengendalikan tiga loji dengan kapasiti gabungan untuk menjana 41.7 MW elektrik, 165 tph stim, dan 1,684 kW air panas, dengan potensi mengurangkan kira-kira 72,261 tan karbon dioksida setahun,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, satu lawatan kerja melibatkan penganalisis serta pengamal media diadakan ke kilang CHP Gas Malaysia di Perai, yang bertujuan memberikan gambaran berhubung perjalanan teknikal loji berkenaan dalam menjana elektrik dengan cekap menerusi penangkapan haba buangan yang dikitar semula bagi menghasilkan haba berguna.
Mengulas lanjut, Ahmad Hashimi memberitahu, sistem CHP dijangka memberikan sumbangan yang signifikan sekali gus mencapai matlamat kelestarian buat persekitaran serta pelanggan.
Katanya, usaha itu bertepatan dalam memupuk masa depan yang lebih ‘hijau’ sekali gus menjurus ke arah pengurangan jejak karbon bagi meningkatkan kelestarian alam sekitar.
“Kita berbesar hati untuk mempamerkan kilang ini bukan sahaja kepada pengamal media dan rakan penganalisis, malah lawatan kerja ini bertujuan untuk meningkatkan pemahaman tentang perniagaan kami sekali gus memperolehi input yang lebih tepat berhubung CHP,” ujar beliau.
Sementara itu, Ketua Hal Ehwal Korporat syarikat itu, Kamarul Ariffin Ibrahim berkata, terdapat tiga loji yang Gas Malaysia yang beroperasi setakat ini dengan dua daripada loji tersebut berada di Perai manakala satu lagi loji di Shah Alam, Selangor.

“Lawatan kerja hari ini memberi sedikit penerangan tentang bagaimana pihak kami menjalankan serta menguruskan operasi loji (plant) di sini,” katanya yang mengiringi wakil media hari ini.
Dalam pada itu, strategi perniagaan 10 tahun Gas Malaysia, yang juga dikenali sebagai GM32 telah disusun untuk memupuk pertumbuhan mampan jangka panjang bagi memastikan perniagaan dan operasi syarikat berkembang dengan cara yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar sambil mengekalkan daya maju ekonomi.
Usaha CHP adalah komponen utama strategi ini susulan ia diambil menerusi peluang daripada permintaan industri yang semakin meningkat ekoran entiti perniagaan mengiktiraf manfaat alam sekitarnya.-UTUSAN









